top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Guru Tidak Berpatah Semangat Demi Amanah dan Anak Didik

Oleh: Aqilah Azanil

Penyunting: Marllisa Anttonnysamy

Sumber: HMetro.com

Norma baharu menuntut proses PdP dijalankan secara atas talian bagi memastikan penyampaian ilmu yang berterusan kepada pelajar tidak mengira peringkat sama ada di peringkat tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun pengajian tinggi.


Para pendidik terutamanya guru sudah tentu akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang sukar dalam usaha melunaskan tanggungjawab mereka dengan baik. Kebelakangan ini, sering kita lihat tular di media sosial menceritakan tentang para pendidik yang gigih bertungkus-lumus dan mencari jalan bagi memastikan anak didik mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.


Menurut sumber dari Harian Metro, satu usaha murni telah dilakukan Mujalifah Kassim, 39 atau lebih selesa disapa sebagai Cikgu Muja yang kini berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya, Sarawak. Beliau telah berkhidmat selama 12 tahun sebagai seorang guru. Kisah beliau tular apabila sekeping gambar yang menunjukkan beliau sedang menyemak tugasan di hadapan rumah pelajarnya dalam keadaan berdiri di luar pagar dan berpanas. Menurut beliau, kesanggupannya untuk pergi ke rumah para pelajarnya itu adalah supaya mereka tidak ketinggalan jauh dari rakan-rakan yang lain kerana ketiadaan kemudahan capaian internet dan sebagainya.


Menurut beliau lagi, inisiatif ini dilakukan adalah sebagai satu bentuk pertolongan dan penghargaan kepada pelajar yang kurang bernasib baik berbanding rakan sekelas mereka. Beliau tidak mahu pelajarnya berasa terpinggir dek kerana kekurangan yang dihadapi. Beliau juga berharap dengan berkat usaha beliau itu, dapat memberi suntikan semangat dan motivasi buat pelajarnya untuk belajar walaupun serba kekurangan untuk mengikuti kelas secara atas talian.


Beliau juga ada menitipkan kata-kata motivasi buat pendidik di luar sana agar sentiasa bersemangat dan tidak lelah dalam mendidik anak bangsa dengan penuh kasih sayang.


Selain itu, menurut Rohaizan Abdul Hamid, 49 yang telah berkhidmat selama 20 tahun sebagai seorang pendidik dan kini mengajar di Sekolah Agama Menengah Sungai Selisek, Selangor. Beliau berkata, dalam usaha menjalankan PdP secara atas talian, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekangan. Antaranya, terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang ketiadaan akses internet di rumah atau tiada peranti untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran secara atas talian.


Menurut beliau lagi, proses pembelajaran secara atas talian ini mempengaruhi semangat dan motivasi pelajar, di mana mereka kurang mendapat sokongan daripada ibu bapa dan keluarga. Mungkin ada sesetengah keluarga yang tidak memahami keperluan masa dan perhatian pelajar ketika sedang mengikuti proses pembelajaran dalam jadual waktu yang telah ditetapkan. Hal ini secara tidak langsung, mampu memberi kesan kepada emosi dan fokus pelajar ketika proses PdP sedang berlangsung dan menyebabkan pelajar kurang berminat untuk meneruskan pembelajaran.


Walau bagaimanapun, beliau tidak berputus asa dan terus berdedikasi dalam melaksanakan amanah sebagai seorang pendidik. Beliau turut berkongsi, sumber motivasi untuk beliau terus bersemangat dalam mendidik anak bangsa ini adalah kerana minat yang mendalam dalam profesion ini dan prinsip tanggungjawab yang sentiasa dipegang teguh dalam diri beliau. Beliau turut menjadikan pengajaran dan pembelajaran dalam norma baharu ini sebagai ruang dan peluang untuk meningkatkan prestasi kerjaya dan kehidupan beliau secara menyeluruh.


Justeru, tanpa guru atau pendidik dunia umpama kegelapan kerana dari merekalah ilmu itu terus berkembang dan mengalir dalam diri anak bangsa. Seperti pepatah Arab yang berbunyi, المُعَلِّمُ النَّاجِحُ هُوَ أَهَمُّ أَعْمِدَةِ بِنَاءِ التَّعْلِيْمِ النَّاجِحِ - Guru yang sukses merupakan unsur terpenting dalam pengembangan pendidikan yang berhasil.

151 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page