Nadi Bangi
Hak dan Tanggungjawab Pengguna Digalas Bersama
Oleh: Alexandra Prudente
Penyunting: Aqilah Humaira Ab Halim

Sumber: Laman Web Pusat Internet, Kampung Padang Jambu
PUCHONG, 8 Mac – Karnival Keusahawanan dan Program Advokasi Kepenggunaan Komuniti Pangsapuri Enggang 2020 dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia (MACFEA) di Bandar Kinrara, Puchong pada 8 Mac 2020 yang lalu telah berlangsung selama sehari dari 8.30 pagi hingga 4.00 petang.
Karnival ini bertujuan untuk menggalak dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai hak-hak dan kepentingan serta tanggungjawab pengguna di dalam sIstem ekonomi negara.
Menurut Naib Presiden Persatuan Ekonomi Keluarga dan Pengguna Malaysia (MACFEA), Prof. Dr. Faridah Hj. Hassan berkata bahawa MACFEA menjalankan amanah ini dengan penuh dedikasi agar warga universiti dan komuniti, khususnya dari kalangan B40, dapat diperkasa dengan maklumat hak pengguna dan tips untuk melindungi diri dalam era globalisasi dan ekonomi digital.
“Para pengguna perlu memainkan peranan dan menerima tanggungjawab bersama dengan pihak kerajaan dan persatuan-persatuan pengguna dan orang ramai di dalam meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan pengguna,” kata Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Shah Zaidi, Timbalan Pengarah Eksekutif (Kecemerlangan dan Kebitaraan) bagi Pusat Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, yang juga merupakan perasmi pada hari itu.
Pelbagai topik disentuh sempena Program Advokasi Kepenggunaan tersebut seperti ceramah Penipuan Atas Talian, Cakna Ekonomi dan Membeli Belah Berhemah serta aktiviti-aktiviti seperti Explore Race Kembara Bersama, pertandingan melukis kanak-kanak dan jualan gerai juga diadakan.
Dharaniya Subramaniam, pelajar sarjanamuda Ekonomi UKM Bangi berkata, “Penglibatan saya dalam pengaturcaraan program ini telah memberi kesedaran kepada saya tentang kepentingan pengetahuan hak-hak sebagai pengguna dan impaknya terhadap golongan B40.”
Amritjit Kaur, pelajar sarjanamuda Ekonomi UKM Bangi juga berkata, “Ceramah-ceramah yang diadakan sangat bermanfaat kepada para pengunjung kerana membincangkan isu-isu seperti penipuan atas talian yang kerap dilalui oleh some of Malaysians.”
Program ini mendapat mandat dan dana daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar dapat mendorong lebih ramai rakyat menceburi bidang keusahawanan dan menjana pendapatan sendiri.