top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Harmonikan Bahasa Slanga dalam Sastera

Updated: Jan 25, 2021

Oleh : Aqilah Azanil

Penyunting : Marllisa Anttonysamy


Sumber : Twitter

Penggunaan bahasa slanga sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan remaja hari ini. Penggunaan bahasa slanga dalam kalangan mereka tercetus disebabkan oleh pengaruh teman dan rakan sebaya. Golongan ini menjadikan penggunaan bahasa slanga adalah sebagai salah satu cara pergaulan santai yang lebih mengeratkan hubungan sesama mereka terutamanya di media sosial.


Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan terciptanya bahasa slanga. Faktor pertama, iaitu ingin menunjukkan identiti kumpulan di mana sekumpulan remaja ingin membezakan mereka daripada kumpulan yang lain berdasarkan penggunaan bahasa mereka. Faktor kedua , tekanan emosi yang dihadapi oleh golongan remaja sama ada dari aspek pelajaran, percintaan dan kewangan. Mereka mencipta istilah lain yang dapat mentafsirkan perasaan atau keadaan mereka. Misalnya, kantoi (gagal) dan sengkek (miskin). Selain itu, faktor bahasa slanga ini tercetus juga disebabkan oleh golongan remaja ingin mempercepatkan sebutan perkataan mereka. Misalnya, prep (preparation) , lab (laboratory) dan CC (cyber cafe). Seterusnya bahasa slanga juga turut digunakan dalam jenaka atau gurau senda golongan remaja. Secara ringkasnya, faktor tercetus bahasa slanga datangnya daripada pengaruh rakan sebaya, media hiburan dan medium globalisasi.


Bahasa slanga bukanlah bahasa yang negatif namun pemilihan kata dalam penggunaan bahasa tersebut perlulah diteliti. Betapa canggih pun peralatan dan bertenaganya kuasa rangkaian, jika pemilihan perkataan tidak sesuai sehingga terbawa-bawa dalam penggunaan bahasa formal, sudah tentu ia akan mencemarkan bahasa ibunda kita. Dari situlah seni berbahasa memainkan peranan yang sangat besar. Dapat juga kita lihat, timbulnya kesalahfahaman dan isu yang tidak enak bermulanya dari penggunaan bahasa yang dilontarkan dalam sesuatu penulisan di media sosial termasuklah kesalahan penggunaan bahasa slanga. Pemilihan kata dan kemahiran menulis perlu dititikberatkan. Ini kerana bahasa dapat membentuk jiwa dan membina peradaban bangsa. Kekuatan bahasa juga mampu menjadi aspek terpenting dalam menyebarkan pemikiran yang baik dalam kalangan masyarakat.


Seni Sastera Perlu Disemai dalam Jiwa Anak Muda

"Bahasa lukisan (visual) dan puisi adalah satu bahasa jiwa". Dipetik dari Utusan Malaysia, September 2018 dalam ucapan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang suatu ketika dahulu, jelas menggambarkan bahawa bahasa adalah satu elemen sastera yang sangat penting dan dekat di hati masyarakat. Sastera adalah satu seni bahasa dalam menyampaikan mesej secara tersirat dan perlu dihayati dengan lebih mendalam. Seni sastera bercambah dalam pelbagai corak seperti puisi, lukisan, lagu, cerpen dan sebagainya.


Bagi pencinta karya sastera, keindahan bahasa dan lenggok penyampaian sesuatu karya menjadi satu elemen yang sangat besar dan penting supaya mesej yang ingin disampaikan itu mempunyai makna dan lebih menarik. Begitu juga yang perlu diterapkan dalam kalangan remaja, bahawa seni sastera juga berkait dengan bahasa slanga yang mereka gunakan. Bahasa slanga yang membawa makna yang baik juga boleh dijadikan elemen baru untuk ditambah dalam penghasilan puisi agar lebih dekat di hati remaja. Dapat dilihat juga, hari ini terdapat golongan muda yang sudah mula mendalami dan mencipta puisi-puisi yang lebih segar dan mudah diterima oleh golongan remaja. Sehinggakan mendapat sambutan hangat dan tempat di hati masyarakat khususnya para remaja. Perkara sebeginilah yang perlu dijadikan contoh dan diberi galakan agar karya sastera tak lapuk ditelan zaman.


Selain itu, sastera berfungsi menghidupkan daya imaginasi audiens, meneroka masa hadapan yang lebih mencabar dan menjadikan masyarakat yang cinta akan bahasa yang penuh dengan keunikan tersendiri. Sastera juga adalah cara yang paling universal dan mudah untuk mendidik audiens kearah kebaikan melalui penyampaian karya kreatif seperti cerpen, puisi, lagu dan sebagainya kerana audiens lebih gemar mendengar dan membaca cerita yang disampaikan melalui bahasa yang indah dan kreatif. Karya sastera juga mampu menjadi meditasi yang memberikan ketenangan dan kerehatan minda kepada audiens untuk berfikir secara bijaksana.


Justeru, dapat disimpulkan bahawa sastera adalah keindahan dalam berbahasa dan bahasa adalah elemen penting yang menghubungkan masyarakat. Bahasa melambangkan identiti dan kesopanan masyarakat tidak kira umur, agama, dan bangsa. Bahasa slanga bukan lagi bahasa yang asing dan ia boleh diterimapakai sekiranya diharmonikan ke dalam seni sastera.

606 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page