top of page
  • Writer's pictureMineshwara

Haunted House Keris Kembali Selepas 21 Tahun

Penulis : Mineshwara A/L Ramaispran

Penyunting : Nurul Izzaty Syazwani Bt Hazizi



Sumber: Kolej Keris Mas


BANGI, 18 JUN - Acara yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Sekretariat Interfest2KM berjaya menganjurkan kembara rumah hantu atau lebih dikenali sebagai Haunted House Keris selama dua hari berturut -turut pada 17 dan 18 Jun 2022 di Blok 2 Kolej Keris Mas (KKM) yang terbengkalai selama 21 tahun dengan lebih kurang 50 peserta.


Interfest2KM merupakan program besar tahunan di Kolej Keris Mas dan kali ini program rumah hantu diadakan supaya Interfest2KM kelihatan lebih meriah dengan adanya pelbagai aktiviti yang menarik. Tujuan aktiviti rumah hantu itu diadakan adalah untuk memberikan peluang kepada pelajar UKM yang berada di kolej terutama selepas pandemik untuk merasai aktiviti rumah hantu di dalam blok 2 KKM yang dikatakan berhantu.


“Rumah hantu ini sebenarnya telah dilakukan sebelum PKP tetapi setelah berlakunya PKP rumah hantu blok 2 telah dilupakan daripada mulut orang ramai. Dengan adanya Interfest2KM kami melakukan rumah hantu blok 2 semula untuk memeriahkan interfest2KM serta memberi peluang kepada para pelajar merasa rumah hantu blok 2 yang telah lama dilupakan,” kata Ketua Pengarah Projek, Muhamad Afiq Ayob.


Beliau juga berkata KKM dahulu mempunyai beberapa blok yang tidak digunakan tetapi telah dirobohkan atas isu-isu tertentu kecuali blok 2. Mitos blok 2 dikhabar tidak dirobohkan adalah kerana membenarkan penghuni halus untuk tinggal disana supaya tidak mengganggu para pelajar.


“Kami juga meminta ustaz untuk membersihkan pada aras blok tersebut agar tidak berlaku perkara-perkara yang merbahaya semasa program dijalankan dan sebelum memulakan apa-apa aktiviti, kami meminta izin serta memberi salam sebelum memasuki dalam setiap bilik di dalam blok tersebut,” ujarnya lagi.


Sumber: Kolej Keris Mas


“Idea ini sudah lama muncul dari tahun 2018 lagi oleh senior kolej , dan mereka menganjurkan rumah hantu ketika program Temasya Gemilang KKM(TG2km). Selepas 2 tahun kita dilanda pandemik jadi saya rasa dengan program rumah hantu ini boleh mengembalikan aura pelajar kkm yang sentiasa aktif dalam program kolej ini,” kata Ketua Eksekutif KKM, Syahmie Aidid Adnan.


Menurutnya, semasa persediaan rumah hantu tersebut, beliau terlihat mahluk halus di aras atas dan selepas kejadian tersebut beliau tidak dapat tidur, kakinya kebas.

“Walaupun kami tahu tempat itu memang berhantu, kami tetap memberanikan diri untuk menjalankan program ini dengan berjaya” ujarnya lagi.


Salah seorang peserta, Sudais Perhard, pelajar komunikasi media menyatakan penggunaan blok terbiar sebagai lokasi rumah hantu sangat menarik dan luar biasa daripada rumah hantu yang telah dianjurkan oleh kolej lain sebelum ini.


“Sejarah blok tersebut memang menambah kepada rasa seram semasa melalui rumah hantu tersebut sehingga saya masuk dua kali,” katanya.


“Rumah hantu ini hanya dianjurkan sebagai hiburan, jadi ia hanya akan mendatangkan kesan jika peserta melampaui batas hiburan dan mencabar entiti yang menduduki blok tersebut,” ujarnya lagi.


“Saya berasa teruja untuk masuk ke dalam bangunan lama tersebut dan setelah masuk ke bangunan tersebut saya berasa sangat seram dan gementar. Banyak kejutan dan peralatan yang menggambarkan situasi yang sebenar kepada saya” kata peserta program Rumah Hantu, Nur Aiman Syahmi bin Zainuddin.


90 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page