• Nadi Bangi

Hentikan Kegiatan Meminta Sedekah Kanak-Kanak Rohingya Sebelum Menjadi Kudis Negara

Penulis: Natrah Laili Abdul Aziz

Penyunting: Nur Syuhada Abdul Jalil

Sumber: Twitter


Kegiatan meminta sedekah dalam kalangan kanak-kanak etnik Rohingya bukan lagi satu isu yang baru berlaku di negara ini. Malahan, isu ini boleh dianggap sebagai ‘kudis’ dalam negara jika ia melarat di dalam komuniti masyarakat kita. Kebanyakan kanak-kanak Rohingnya ini boleh dijumpai meminta sedekah di bandar, trafik jalan serta tempat tumpuan orang ramai. Persoalannya, siapakah yang berlindung disebalik sindiket kanak-kanak Rohingya dalam meminta sedekah ini?


Pelarian Rohingya merupakan pemegang kad UNHCR iaitu satu dokumentasi yang mengiktirafkan status mereka sebagai orang pelarian dan pemohon suaka yang memerlukan perlindungan antarabangsa. Menurut data daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sehingga Disember 2021, seramai 180,440 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Daripada jumlah itu, seramai 103,380 pelarian merupakan etnik Rohingya.


Baru-baru ini tular di sosial media apabila kelihatan seorang kanak-kanak peminta sedekah yang dipercayai merupakan etnik Rohingya telah mencetuskan kemarahan orang awam dengan tindakannya yang kurang ajar semasa meminta sedekah daripada satu kereta ke kereta yang lain. Kebiasannya kanak-kanak ini akan meminta sedekah dengan membawa surah yasin untuk dijual dan memberikan kepada individu yang memberi wang kepada mereka.


Menerusi rakaman video berdurasi 25 saat yang tular di aplikasi Twitter, kelihatan kanak-kanak Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger Kecil meminta sedekah dengan lagak samseng dan menunjukkan isyarat lucah sambil mengetuk cermin tingkap sebuah kenderaan. Perbuatan kanak-kanak itu telah dirakam dan telah menerima pelbagai reaksi serta pendapat yang berbeza daripada pengguna aplikasi tersebut.


Kegiatan Meminta Sedekah Wajar Diberi Perhatian

Penulis berpendapat bahawa kegiatan ini harus diberi perhatian orang ramai serta pihak yang bertanggungjawab kerana peminta sedekah yang menunjukkan sifat agresif seperti seperti memaki, menghentak cermin kereta, serta meludah berpotensi untuk mencederakan orang awam. Tidak hanya itu, mereka juga turut membahayakan diri kerana mereka turut meminta sedekah di atas jalan raya sekaligus membahayakan pengguna jalan raya. Perkara ini haruslah dibendung sebelum kudis menjadi tokak.


Kegiatan meminta sedekah ini dipercayai mempunyai dalang disebaliknya, namun menurut kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain menerusi Sinar Harian berkata beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kegiatan ini mempunyai sindiket namun tiada kepastian yang boleh disahkan kerana perkara sebenar akan diketahui selepas tangkapan atau siasatan dijalankan.


Penulis tidak menolak akan kemungkinan bahawa terdapat orang yang berselindung disebalik sindiket ini yang menyuruh kanak-kanak Rohingya untuk meminta sedekah kepada orang ramai. Modus operandi yang dilakukan amat membimbangkan terutama sekali jika benar kanak-kanak tersebut dipaksa untuk meminta sedekah demi kepentingan peribadi.


Tambahan lagi, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Saiful Anuar Yusoff susulan rakaman yang tular di media sosial itu, pihaknya kini telah berusaha untuk mengesan kanak-kanak tersebut. Tambah beliau lagi, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mana-mana orang menyebabkan atau mengakibatkan kanak-kanak itu berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud mengemis dan menerima sedekah adalah melakukan kesalahan.


Walaupun pelarian daripada Rohingya ini memegang kad UNHCR namun mereka juga tidak terlepas daripada dikenakan undang-undang dalam negara. Hal ini kerana, kegiatan meminta sedekah ini turut mengganggu keselamatan pengguna dan menyebabkan kesesakan jalan raya. Bukan itu sahaja, malahan ia turut berpotensi untuk menjejaskan imej negara kepada pelancong luar yang melawat negara ini. Pelarian Rohingya yang meminta sedekah ini memberikan Malaysia seolah-olah negara yang mundur.


Oleh hal demikian, kegiatan ini haruslah diberikan perhatian yang sewajarnya agar ia dapat menghentikan pencemaran imej negara sebagai negara yang mundur. Hal ini kerana, kegiatan meminta sedekah ini bukan sahaja mampu mencalarkan imej negara tetapi penulis berpendapat bahawa ia akan menjadi salah satu penyumbang kepada kelahiran ramai lagi peminta sedekah yang bukan sahaja daripada etnik Rohingya malahan pendatang tanpa izin (PATI) yang telah lama menapak di negara kita.


Bayangkan jika kita membiarkan pelarian Rohingnya ini meneruskan kegiatan mereka dalam meminta sedekah secara berterusan? Bukankah ia akan menjadi satu masalah yang besar dalam komuniti kita kerana kita sedia maklum bukan pelarian Rohingya sahaja yang melakukan kegiatan ini malahan kegiatan seperti meminta sedekah ini turut berlaku dalam masyarakat kita. Tambahan lagi, berkaitan isu dimana pelarian Rohingya ini memerlukan bantuan daripada kerajaan namun kita harus sedar bahawa masih lagi terdapat masyarakat kita yang lebih memerlukan bantuan kerajaan.


Isu berkaitan pelarian Rohingya ini juga pernah dibincangkan di Sidang Kemuncak Asean ke-36 pada tahun 2019, dimana pada waktu itu bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan Malaysia tidak mampu lagi menampung lebih ramai pelarian kerana kapasitinya yang sudah melebihi hadnya.


Penulis berharap pihak atasan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat tangani isu ini dengan cara berhemah serta dapat merungkai sindiket eksploitasi yang membabitkan kanak-kanak pelarian Rohingya ini. Hal ini kerana, isu ini sangat serius kerana ia berkemungkinan membabitkan perdagangan manusia berlaku. Malahan, pihak Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) juga seharusnya memantau kegiatan ini agar ia tidak semakin berleluasa.

68 views0 comments

Related Posts

See All