Nadi Bangi
Hentikan Penderaan Kanak-Kanak
Updated: Jan 10, 2022
Penulis: Lim Zhi Ying
Penyunting: Nurul Syahira Binti Jais

Sumber: Google
Seringkali kita melihat dan mendengar melalui media sosial berkaitan dengan kes-kes penderaan rumah tangga dan penganiayaan mangsa kanak-kanak. Perkara ini bukan perkara baru malah semakin menjadi-jadi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik COVID-19. Sedang kita dilanda kebimbangan tentang wabak COVID-19, tanpa kita sedar kes penderaan kanak-kanak turut meningkat.
Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk mereka berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah. Di samping itu, penderaan kanak-kanak boleh menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian. Malah lebih teruk lagi boleh membawa kematian kepada seorang kanak-kanak itu.
Penderaan kanak-kanak di negeri Selangor dibahagikan kepada tiga kategori iaitu penderaan fizikal, emosi dan gangguan seksual tanpa mengkhususkan pada kes pedofil. Menurut laporan itu lagi, sebanyak 1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di negeri ini bermula Januari hingga September lalu. Hal ini terbukti kes ini tidak menampakkan penurunan walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan.
Bukan itu sahaja, menurut Harian Metro , faktor utama yang menyumbang kepada penderaan kanak-kanak di Malaysia adalah disebabkan kebanyakan dari keluarga mengalami masalah kewangan, dadah dan mental sehingga mereka sanggup melakukan penderaan dari aspek fizikal, seksual, emosi sehingga sanggup mengabaikan anak-anak sendiri seperti yang sedang berlaku pada negara kita pada masa kini.
Penderaan kanak-kanak ini merupakan salah satu daripada masalah sosial yang menjadi persoalan besar sehingga berkembang menjadi satu isu antarabangsa. Seperti yang kita sedia maklum, negara Malaysia kini dilanda kes penderaan kanak-kanak yang semakin membimbangkan. Di samping itu, penderaan kanak-kanak tidak terhad kepada situasi kanak-kanak, ibubapa atau penjaga sahaja tetapi juga merangkumi orang yang diberi kepercayaan dalam penjagaan pengawalan kanak-kanak seperti pembantu rumah, saudara-mara, jiran atau guru-guru.
Hampir setiap hari ia berlaku tanpa memikirkan kesannya terhadap masa depan kanak-kanak yang didera itu. Kesan-kesan yang akan ditinggalkan kepada kanak-kanak adalah kesan daripada fizikal, emosi, proses perkembangan terganggu, kesan terhadap tingkah laku dan lain lain lagi. Dalam sesetengah kes apabila penderitaan ini berterusan sehinggalah anak mencapai usia remaja ia boleh menyebabkan kemurungan yang teruk.
Awal tahun 2004, masyarakat Malaysia telah dikejutkan dengan kejadian yang tragis mengenai penderaan seksual terhadap kanak-kanak. Pada 8 Januari, Harirawati Saridi (10 tahun) ditemui mati dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu. Berikutan itu, seorang lagi kanak-kanak seusianya Nurul Huda Abdul Ghani mengalami nasib yang sama. Kanak-kanak ini ditemui dalam keadaan lemah selepas dipercayai dicekik dan dirogol di sebuah pondok keselamatan stesen Janakuasa Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di Kampung Rekajang, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor.
Tambahan pula, negara sekali lagi dikejutkan dengan berita kehilangan Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak yang keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran dengan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Di samping itu, berita yang paling terdekat mengenai kes penderaan kanak-kanak adalah seorang wanita dan kekasihnya direman seminggu selepas disyaki mendera hingga menyebabkan kematian anak kandung lelakinya yang berusia lima tahun di sebuah rumah di Nusa Bestari dekat Iskandar Puteri pada 5 disember 2021.
Langkah pencegahan semasa COVID-19
Memandangkan sepanjang tempoh PKP berlangsung, perjumpaan secara bersemuka mungkin sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Namun jika anda mempunyai cara untuk kekal berhubung dengan anak yang mungkin berdepan kes penderaan kanak-kanak, berikut adalah langkah pencegahan yang boleh dilakukan. Pertama sekali, buat panggilan video. Tujuan membuat panggilan video adalah untuk mengekalkan hubungan komunikasi secara bersemuka. Ibu bapa atau penjaga perlu tanyakan jika terdapat sebarang aplikasi yang boleh digunakan mereka untuk berbual dengan rakan-rakan supaya boleh sama-sama memuat turunnya. Kedua, menjadi pendengar. Berikan peluang kepada anak-anak untuk berkongsi tentang apa yang berlaku kepada mereka. Ia mungkin mengambil sedikit masa sebelum mereka berasa selesa untuk berkongsi menerusi panggilan telefon, jadi cuba untuk kerap berhubung. Tanyakan jika mereka memerlukan sebarang bantuan atau mempunyai masalah.
Pada pandangan saya, kebanyakan mereka yang mendera adalah daripada pembantu rumah malah ibu bapa kandung, angkat atau tiri misalnya. Hal ini mungkin disebabkan mereka tidak memiliki fitrah perasaan kasih sayang kepada kanak-kanak tersebut. Faktor lain juga disebabkan oleh tekanan hidup dari ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan kanak-kanak ini menjadi mangsa untuk mereka melepaskan marah atau dendam dan sebagainya. Walaupun banyak undang-undang penderaan kanak-kanak telah dilaksanakan tetapi kes tersebut masih berleluasa tanpa kawalan.
Kesedaran segelintir masyarakat terhadap kes penderaan kanak-kanak masih di tahap yang lemah sehinggalah kes tersebut akan menjadi viral di sosial media dan barulah akan mendapat perhatian. Mungkin perkara ini berlaku kerana masyarakat berasa istilah menjaga anak itu adalah hak masing-masing dan tidak perlu memasuki campur tanpa memikirkan penderaan kanak-kanak boleh berlaku secara dalam diam. Mujur media sosial dan kuasa viral dapat membantu dalam mengetengahkan kes dera ini yang sememangnya wujud dalam kalangan komuniti masyarakat.
Justeru, anak-anak sepatutnya dibesarkan dalam keadaan sihat, tenteram dan sejahtera kerana mereka merupakan amanah dan tidak harus diabaikan semata-mata. Ibu bapa juga harus memikul tanggungjawab dalam memberi perlindungan yang sepenuhnya terhadap kanak-kanak ini. Semua pihak perlu juga memainkan peranan masing-masing dalam membanteras perkara ini supaya penderaan kanak-kanak tidak lagi menjadi isu yang semakin parah dalam negara kita.