Farena Hani
HFMD: Ibubapa Masih Hantar Anak Ke Tadika Dan Taska Walaupun Kes Gian Meningkat
Penulis: Farena Hani
Penyunting: Haisyadatul Hurairi

Sumber: Google
BANGI, 17 Mei 2022 - Ibubapa masih menghantar anak mereka ke tadika dan taska walaupun sebanyak 31,661 kes hand, foot, mouth disease (HFMD) telah direkodkan di seluruh negara dengan 95 peratus daripadanya adalah tadika, taska, serta pusat jagaan harian kanak-kanak dan Selangor telah memegang rekod tertinggi iaitu 8,864 kes.
Sesetengah ibubapa masih berani menghantar anak mereka ke tadika dan taska walaupun HMFD menunjukkan trend meningkat kerana tiada lagi kes yang direkodkan di sekolah kawasan mereka.
Suzanahani, 32, mengatakan bahawa dia akan menghentikan penghantaran anaknya ke sekolah sekiranya terdapat kes yang dilaporkan di sekolah anaknya.
“Memang saya tidak akan hantar anak saya ke sekolah sekiranya ada satu kes. Mereka ada waktu bermain di taman permainan yang disediakan di sekolah dan salah satu cara penyebaran virus ini pula menerusi sentuhan. Jadi untuk mengelakkan sebarang kemudaratan, saya tidak akan hantar anak saya ke sekolah sekiranya ada kes dilaporkan,” katanya.
Siti Fairus, 29, mengatakan bahawa anaknya dijangkiti HFMD dan terpaksa dimasukkan ke wad selama tiga hari berpunca daripada jangkitan virus tersebut dan masalah dehidrasi berpunca daripada lepuh yang ada di dalam mulutnya.
“Anak saya masuk ke dalam wad selama tiga hari. Pada awalnya saya hantar anak ke sekolah, dia nampak macam baik sahaja, namun dalam beberapa jam selepas itu, cikgu di sekolah menelefon saya dan mengatakan bahawa suhu badan anak saya tinggi. Jadi saya ambil anak dan bawa dia pulang untuk beri ubat demam.
“Pada malam itu, demamnya tidak kebah dan dia mengadu sakit kepala sehingga menangis, jadi saya bawa dia ke klinik pada keesokan hari dan doktor mengesahkan bahawa dia dijangkiti HMFD,” katanya lagi.
Nurul Syazwani, 23, seorang guru di Tadika Pra Tahfiz Madrasah Al-Quran Sungai Merab Luar telah mengatakan bahawa walaupun kes di Selangor semakin meningkat, ibu bapa terikat dengan kerjaya masing-masing dan tiada pilihan selain menghantar anak-anak mereka ke tadika pilihan mereka. Pihak tadika juga telah mengambil inisiatif untuk memberi cuti kepada pelajar yang menunjukkan simptom-simptom seperti selsema dan demam bagi mengelakkan penyebaran virus berikutan kes COVID-19 yang masih ada dalam komuniti.
“Setakat ini, ibubapa masih lagi menghantar anak-anak ke tadika kerana kebanyakan ibubapa mempunyai komitmen di tempat kerja. Jadi, tanpa pemakluman dari pihak tadika, mereka percaya dengan keselamatan anak mereka.
“Keadaan di tadika buat masa ini masih lagi dalam keadaan terkawal kerana guru-guru peka terhadap perubahan dari segi kesihatan anak-anak murid yang hadir. Walaupun negara telah bertukar status kepada endemik, mana-mana murid yang tidak sihat dan menunjukkan simptom seperti selsema dan demam akan diberikan cuti supaya tidak berlaku penularan COVID-19 dan HMFD dalam kalangan murid,” katanya.