top of page
  • Writer's pictureSiti Syazreen Mahdzim

Hujan Rahmat Bantu KTSN Ungguli SUKEM Frisbee 2023

Penulis : Siti Syazreen Mohd Mahdzim

Penyunting : NorFara Faziera Moh Razali


Sumber Foto: Azizul Halim Khairi dan Afiq 'Alauddin


BANGI, 8 Jan - Hujan lebat di padang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semasa hari SUKEM berlangsung ternyata merupakan satu rahmat kepada pasukan frisbee Kolej Tun Syed Nasir (KTSN), Phoenix Ultees apabila mereka mampu menukar corak pertahanan pada saat-saat akhir dan sekali gus muncul sebagai juara SUKEM Frisbee Ultimate Campuran pada Sabtu yang lalu.


Keadaan padang yang basah dan berlecak tidak mematahkan semangat pemain-pemain pasukan Phoenix Ultees apabila mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan berjaya menukar corak permainan dengan lebih efektif dalam cuaca tersebut.


Menurut ketua pasukan Phoenix Ultees KTSN, Azizul Halim Khairi berkata meskipun banyak tangkapan dan balingan mereka yang kurang menjadi kerana keadaan cakera yang licin dan padang yang berlecak, mereka mampu memanfaatkan faktor cuaca sebagai salah satu kelebihan mereka.


“Kami menukar corak serangan kami daripada rentak yang pantas kepada penguasaan cakera yang lebih padu serta mengubah taktik pertahanan pasukan kami agar lebih bersesuaian dengan keadaan cuaca masa tersebut.


“Sebelum pertandingan SUKEM berlangsung, kami juga telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bersama beberapa kelab sukan cakera terbang lain antaranya Beast dan Neko Furisubi dengan harapan dapat memperoleh lebih banyak pengalaman untuk kami gunakan semasa pertandingan SUKEM yang menjelang.


“Walaupun kami mempunyai masa yang terhad untuk berlatih, semangat dan komitmen yang tinggi yang diberikan oleh pemain-pemain sudah cukup untuk kami mempunyai sesi latihan yang berkualiti,” katanya.


Dalam pada itu, pengurus serta pemain kelab Phoenix Ultees, Afiq ‘Alauddin juga berkata antara cabaran lain yang dihadapi semasa latihan persediaan SUKEM adalah fasiliti yang kurang memuaskan seperti padang yang tidak rata dan berlumpur yang menyebabkan ada beberapa atlet yang terpilih untuk bermain di SUKEM telah mengalami kecederaan.


“Namun begitu, setiap cabaran berjaya diatasi oleh pemain-pemain kami dalam mengekalkan momentum serta semangat dalam sepanjang perlawanan dan tidak dilupakan juga kepada penyokong yang turut hadir telah membakarkan lagi semua pemain untuk bermain dengan bersungguh-sungguh sehingga mampu merangkul pingat emas dalam acara ini,” katanya.


Kejayaan pasukan Phoenix Ultees KTSN menentang pasukan Kolej Keris Mas telah menobatkan mereka sebagai juara dan berjaya membawa pulang medal dan piala pusingan.

70 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page