top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ibu Bapa Perlu Pantau Kelas 'Online' Anak-Anak

Oleh: Farah A’lia Manan

Penyunting: Raihan Rahim


Sumber: jpkmalaysia.com

Baru-baru ini, terdapat satu kes mengenai seorang bapa yang memukul anaknya menggunakan kayu akibat terlalu marah terhadap anak perempuannya yang berusia 12 tahun kerana tidak peka ketika menjalani kelas secara atas talian.Siasatan awal mendapati bapa tersebut bertindak memukul anaknya kerana mahu mengajar supaya lebih peka ketika sesi pembelajaran secara dalam talian.


Pembelajaran atas talian bukanlah sesuatu yang mudah untuk kanak-kanak kerana cara berfikiran dan kematangan mereka tidak sama seperti orang dewasa.Malah orang dewasa sendiri juga mengalami kesukaran dan kepayahan ketika pembelajaran atas talian lebih-lebih lagi pembelajaran sepenuhnya dilakukan secara online ketika musim COVID-19 yang memerlukan masyarakat untuk Online Distance Learning (ODL) kerana tidak boleh hadir ke sekolah bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.Sesetengah ibu bapa mula risau sekiranya anak-anak mereka ketinggalan pelajaran yang penting, terutamanya bagi mereka yang akan menduduki peperiksaan utama.


Ibu bapa tidak boleh hanya bergantung kepada pihak sekolah sahaja untuk menguruskan pembelajaran anak-anak mereka.Ibu bapa juga perlu mengambil bahagian untuk bekerjasama bersama guru-guru dan anak-anak mereka supaya anak-anak tidak mengabaikan pelajaran mereka, lebih-lebih lagi pada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang berusia 12 tahun ke bawah. Norma baharu kaedah pembelajaran kini pasti sukar untuk mereka menjalani kelas online dan ibu bapa terpaksa memberikan gajet kepada anak-anak untuk memudahkan mereka menjalani kelas atas talian.Salah seorang ibu yang mempunyai anak-anak berusia 12 tahun kebawah berpendapat bahawa kaedah pembelajaran online ini kurang berkesan untuk kanak-kanak kerana berdasarkan pemerhatian terhadap anak-anaknya, mereka hanya boleh fokus selama 10 minit sahaja ketika sesi pembelajaran atas talian berlangsung.


Melalui temu bual bersama Pensyarah Pakar Pengajaran Berfikir, Kekeluargaan dan Psikologi Cinta, Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, berpendapat bahawa, kanak-kanak memerlukan pemantauan daripada ibu bapa atau adik beradik kerana pembelajaran online melibatkan kemahiran-kemahiran baru yang baru sahaja dipelajari. Ibu bapa perlu duduk bersama dengan anak-anak ketika pembelajaran online.Namun,a pa yang menjadi cabaran ialah apabila ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab yang banyak, lebih-lebih lagi pada mereka yang work from home dan masalah mungkin timbul jika ibu bapa sendiri tidak mengambil atau menurut serta dalam proses pembelajaran secara online anak-anak kerana sudah tentu anak-anak akan ketinggalan dalam pembelajaran mereka.


Beliau berkata, inilah cabaran norma baharu dan cabaran dunia digital. Tidak perlu pukul anak sebenarnya malah tawanlah hati mereka dengan kasih sayang. Easy said than done, akan tetapi, ibu bapa jangan berputus asa ketika mendidik anak-anak.Sentiasa sabar, usaha, doa dan akhirnya baru bertawakal.


Oleh itu, daripada kita mengajar mereka dengan cara yang kasar, ataupun istilah tiger parents, lebih baik kita mendidik dengan menawan hati mereka secara lembut dan penuh kasih sayang. Mereka masih lagi di usia kanak-kanak.Justeru, bagi memudahkan pengurusan pembelajaran atas talian anak-anak,terutamanya yang masih bersekolah rendah, terdapat inisiatif-inisiatif menarik yang boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa mengurus anak-anak supaya mereka tidak bosan menjalani kelas atas talian dan tidak ketinggalan sambil ibu bapa dapat menjalankan kerja mereka lebih-lebih lagi kepada yang bekerja dari rumah.


Menyediakan Jadual Waktu Homeschool

Pengurusan masa yang strategik dapat menyenangkan anak-anak. Ibu bapa atau anak-anak yang lebih dewasa boleh membantu untuk merangka jadual harian ibarat jadual kelas seperti mana jadual mereka ke sekolah Mereka perlu mempunyai jadual untuk membantu mereka berdisiplin dan menambah baik pengurusan masa.Justeru, dengan cara ini, dapat menyenangkan ibu bapa untuk memantau anak mereka mengikut jadual.Ibu bapa perlu mendidik anak mereka supaya sedaya upaya dapat mematuhi dan mengikuti jadual yang telah ditetapkan.Dalam perangkaan jadual tersebut, pandangan anak-anak perlu diambil kira contohnya jika mereka memerlukan 2 jam waktu rehat mengikut kemampuan mereka.


Mengadakan Sistem Ganjaran Di Rumah

Sebagaimana di sesetengah sekolah dan tadika,mereka mewujudkan sistem ganjaran mingguan atau bulanan bagi setiap subjek.Perkara ini juga boleh dilakukan di rumah untuk mengalakkan anak-anak berminat untuk terus belajar walaupun hanya secara atas talian.Sebagai contoh, mereka memperoleh satu bintang jika mereka dapat mengikuti jadual dan menyiapkan tugasan dengan baik bagi setiap subjek kemudian bintang dikumpul dan dikira pada setiap minggu atau bulan. Seterusnya ganjaran diberikan dalam bentuk makanan ataupun hadiah supaya mereka lebih bersemangat untuk belajar kerana kanak-kanak suka akan ganjaran.Sistem ini bukan bermakna untuk mengajar anak-anak bersifat materialistik tetapi sebagai inisiatif untuk boost semangat dan kesihatan mental mereka.


Menyediakan Game Berbentuk Pendidikan

Seperti yang kita ketahui,kanak-kanak cukup menyukai permainan di dalam gajet,gajet menyediakan pelbagai jenis permainan yang menyeronokkan, selari dengan pernyataan daripada Pensyarah Psikologi Klinikal, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor berkata, tingkah laku manusia ini yang gemar bermain gajet sehingga sampai ke tahap obses.Disebabkan kanak-kanak obses dengan gajet, ibu bapa perlu memanfaatkannya dengan cara menyediakan game berbentuk pendidikan.Perkara ini dapat membantu anak-anak belajar dengan lebih menarik dan meningkatkan daya pemikiran mereka ketika menyelesaikan masalah di dalam permainan tersebut.Para pensyarah juga menggunakan kaedah permainan seperti Kahoot untuk menarik minat pelajar dewasa untuk fokus di dalam kelas, apatah lagi kanak-kanak yang sememangnya suka akan pembelajaran berbentuk permainan.


Ketiga-tiga inisiatif yang dinyatakan ini dapat memberi peluang kepada ibu bapa untuk meluangkan masa bersama anak mereka dengan lebih baik dalam masa yang sama dapat menggalakkan tingkah laku yang baik dalam diri anak-anak, bagi ibu bapa yang sibuk menyiapkan kerja pejabat di rumah, inisiatif-inisiatif ini boleh dikendalikan oleh anak-anak yang lebih dewasa. Jika tiada, suami dan isteri boleh mengamalkan toleransi dalam giliran tugas memantau anak-anak supaya kerja masing-masing masih dapat diselesaikan.Bertolak ansur adalah kunci keharmonian rumah tangga yang nyaman, anak-anak juga dapat memperoleh aura yang positif dan suasana yang kondusif untuk menjalani pembelajaran atas talian.






654 views1 comment

1 Comment

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Farhan Rozli
Farhan Rozli
Jan 24, 2021

menarik topik ini

Like
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page