Zurain Syahira
Impak Industri Fesyen Kepada Bumi
Penulis: Zurain Syahira Jupri
Penyunting: Yasmin Alyaa Fathinah Jafpar

Sumber: Internet
Generasi yang semakin hangat dengan teknologi, berlumba untuk memuatnaik setiap “OOTD” harian mengejar pengikut media sosial. Setiap hari menyajikan gambar “OOTD” dengan fesyen berbeza demi kepuasan diri dan perhatian orang sekeliling. Tak lupa juga, sesetengah orang dengan slogan “shopee haul time!” atau “it’s unboxing time” yang membeli pakaian secara atas talian menerusi aplikasi Shopee untuk konteks video dan mengejar popularity dengan kuantiti pukal yang akhirnya mungkin hanya akan menghiasi almari pakaian sahaja.
Kini, dunia fesyen menjadi lebih luar biasa, pakaian harian menjadi sangat menarik dengan warna-warna memikat, fabrik yang mempesona ditambah pula individu dengan solekan yang menawan. Secara tidak sedar, melalui semua ini, bumi terbinasa dan dianiaya oleh manusia sendiri. Mengapa pula fesyen kita dikaitkan dengan bumi? Apa pula kaitan pemakaian kita dengan keadaan bumi sekarang?
Fesyen merupakan salah satu tarikan dalam diri setiap individu. Sesetengah orang dinilai dari segi pemakaian dan rata-rata mereka berusaha untuk tampil bergaya demi memastikan bahawa mereka mendapat pandangan yang baik dari masyarakat sekeliling. Tanpa kita sedar, sebenarnya, dalam sibuk mengejar populariti dan pujian dari orang lain, kita membinasakan diri kita pada masa akan datang. Semata-mata hanya untuk menjadikan diri kelihatan gah, mempesona dan memikat orang sana sini, bumi semakin tertindas tanpa mencuit kerisauan individu untuk masa akan datang.
Menurut Pensyarah Kanan PPPJJ Subjek Biologi dan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Alam Sekitar, Prof. Madya Dr. Nazirah Binti Ahmad Azli berkata fesyen merupakan antara industri terbesar yang menyebabkan ancaman kepada alam sekitar. Ini kerana industri ini mengeluarkan pelbagai jenis fabrik pakaian dalam skala besar yang mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar sepanjang proses pembuatan, pengeluaran serta penggunaan.
Industri fesyen kini mengeluarkan pakaian dalam skala yang besar demi memenuhi kehendak pengguna. Bagi memproses kesemua jenis pakaian dan fabrik yang digunakan, kebanyakan hasil bumi dikorbankan seperti air dan hidupan laut. Contohnya dapat dilihat melalui proses penghasilan pakaian daripada fabrik kapas. Kapas merupakan tanaman yang mana menyerap air yang banyak dalam proses pembuatannya iaitu 95% air. Ini menjadikan sesetengah negara kekurangan sumber air dalam meneruskan hidup akibat daripada pembuatan fabrik pakaian.
Selain daripada itu, pengguna rata-ratanya membuang 31.75 kilogram pakaian setahun yang mana sebenarnya boleh digunapakai semula atau dikitar semula menjadi sesuatu yang bermanfaat. Antara fabrik yang paling popular ialah poliester iaitu fabrik yang berasal dari plastik. Masyarakat cakna tentang bahaya penyedut minuman serta botol plastik kepada alam akan tetapi masih menggunakan fabrik yang diperbuat daripada plastik yang mana memberi kesan buruk yang sama seperti penyedut minuman dan botol plastik. Dengan membasuh fabrik poliester, ia akan menghasilkan berbilion gentian mikro yang bersamaan dengan 50 juta botol plastik. Jadi, daripada industri fesyen, bukan sahaja kita memerlukan penggunaan air yang tinggi malah ia juga mencemarkan sumber air.
Tidak ketinggalan juga, 10 peratus penyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau berpunca dari industri fesyen. Meskipun digabungkan peratus pencemaran berpunca penerbangan antarabangsa dan maritim, industri fesyen masih mempunyai peratus yang lebih tinggi.
Berdasarkan analisa ini, industri fesyen dijangkakan bakal menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau lebih kurang 50 peratus menjelang tahun 2030.
Bagaimanakah kita sebagai pengguna bijak mampu menghalang perkara ini daripada berlaku? Bagaimanakah caranya kita dapat bergaya tanpa menganiaya bumi kita? Antara inisiatif yang boleh diambil bagi mengurangkan kemusnahan bumi akibat pemakaian seseorang individu dalam kehidupan seharian.

1. Menderma pakaian ke pusat kebajikan atau kenalan lain.
Kebanyakan pengguna membuang pakaian yang mereka sudah tidak lagi pakai ke tapak pelupusan tanpa mengetahui bahawa sesetengah pakaian mengambil masa yang sangat lama untuk dilupus bahkan ada yang tidak boleh dilupus. Antara alternatif terbaik ialah, mendermakan pakaian terpakai ke pusat kebajikan atau kenalan. Ia dapat mengelakkan timbunan pakaian di tapak pelupusan dan mencemarkan bumi. Sebagai tambahan, seorang pekerja di butik pakaian yang lebih gemar dikenali sebagai Jaja, 25 tahun, membuktikan keberkesanan ini dan mengatakan bahawa beliau gembira apabila menerima pakaian dari majikannya, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik ini. Ia membantu beliau menjimatkan wang menempuh kehidupan dalam pandemik COVID-19.
2. Membeli pakaian terpakai di “thrift shop”

Sekiranya anda tidak boleh mengubah gaya hidup anda dalam membeli pakaian dengan kerap, cuba menukar pilihan pusat pakaian kegemaran anda kepada kedai yang menjual baju terpakai ataupun yang meyumbang kepada kelestarian alam sekitar. Kedai pakaian terpakai ini sebenarnya memberi kesan positif dari segi persekitaran dan juga ekonomi. Menurut Faisal Sufyean, 20 tahun, yang merupakan pelajar di salah sebuah akademi lakonan, beliau bersetuju bahawa kedai pakaian terpakai banyak membantu beliau untuk bergaya dalam masa yang sama berjimat dan menjaga kelestarian alam.
3. Elakkan pembelian pakaian secara kerap

Sesetengah pihak yang membeli pakaian secara kerap akan memakai pakaian mereka beberapa kali sahaja dan kemudian membuang atau tidak lagi memakai pakaian tersebut. Kebiasaan itu perlu dielakkan kerana ia memudaratkan alam sekitar. Oleh itu, pembelian pakaian hendaklah dibuat secara berkala dan mengikut keperluan. Sekiranya anda tidak berada di dalam situasi yang memerlukan anda untuk membeli pakaian baharu, maka elakkan dari membeli. Apabila permintaan pakaian rendah dari pengguna, pengeluar akan mengurangkan pengeluaran dan ia dapat menjamin kesejahteraan alam sekitar.
Kesimpulannya, kita tidak pernah dihalang untuk bergaya, akan tetapi sebagai pengguna kita seharusnya bijak dalam membuat keputusan. Pengguna dan pengeluar seharusnya berganding bahu dalam memastikan industri fesyen tidak menjejaskan alam sekitar. Masyarakat harus sentiasa tanamkan rasa sayang terhadap alam sekitar dalam diri dan ingat bahawa semakin banyak wang ringgit yang dihabiskan bagi menghiasi tubuh anda, semakin banyak khazanah alam yang termusnah. Gaya pemakaian anda masa kini, memberi impak kehidupan akan datang. Buatlah keputusan dengan bijak demi kesejahteraan di masa hadapan.