Penulis: Azril Izzat Ramlan
Penyunting: Farah Natasya Ramani
DUNGUN, 23 Oktober - Rancangan percutian sebuah keluarga di sebuah resort terkenal di Kampung Pulau Serai disini berakhir dengan tragedi apabila 2 daripada 5 ahli sebuah keluarga disahkan mati lemas ketika mandi di kolam renang sedalam 3 meter pada 22 Oktober yang lalu.
Mangsa Leong Choy Kee, 35 yang merupakan seorang akauntan bersama anak lelakinya, Ng Ho Jun, 4 ditemui lemas di dalam kolam. Pada waktu kejadian, tiga daripada ahli keluarganya yang lain sedang berehat di dalam bilik penginapan yang terletak kira-kira 15 meter dari kolam tersebut. Kejadian malang itu hanya disedari oleh pengunjung lain setelah melihat kedua-dua mangsa terdampar dengan keadaan yang agak mencurigakan pada dasar kolam ketika mereka ingin menggunakan kemudahan rekreasi tersebut sebelum bertindak memaklumkan kepada petugas di kaunter penyambut tetamu, kira-kira jam 1.45 petang. Sejurus dimaklumkan, tindakan pantas oleh 3 pekerja pusat peranginan tersebut menyelam serta mengangkat kedua-dua mangsa dari kolam. Mangsa turut diberi bantuan pernafasan selama beberapa kali namun tidak berhasil. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Dungun dengan menggunakan ambulans untuk prosedur bedah siasat.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua beranak itu disebabkan oleh lemas. Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah memaklumkan bahawa hasil siasatan yang dijalankan mendapati dua beranak yang tidak mahir berenang itu lemas akibat berada di dalam air bagi tempoh yang lama. “Hasil siasatan yang kami dapat dari pihak hospital mengatakan bahawa punca kematian mereka adalah disebabkan oleh lemas. Saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan saya harap orang ramai terutamanya rakyat Dungun dapat mengambil iktibar daripada kejadian ini sebab saya sering mendapat laporan bahawa masih terdapat ramai orang yang bermandi-manda di Pantai Teluk Lipat walaupun sering kali kita dengar kes lemas di situ. Biarpun mandi pantai dengan kolam tak sama tapi haruslah sedar dan cakna dengan keadaan sesebuah tempat kemudahan atau rekreasi itu.” katanya.
Kamarulzaman Hassan, 34, yang merupakan juruelektrik serta bertugas sebagai ketua keselamatan di pusat peranginan tersebut berkata bahawa kolam berkedalaman 3 meter itu terbuka kepada sesiapa sahaja namun ianya dikhaskan untuk pengunjung-pengunjung yang ingin menjalankan latihan menyelam. “ Saya turut terkejut dengan kejadian yang berlaku sebab terdapat papan tanda yang jelas mengatakan tentang kedalaman kolam tersebut serta fungsi kegunaannya tapi ianya terbuka kepada sesiapa yang pandai berenang. Biasanya rata-rata pengunjung disini merupakan penyelam-penyelam yang datang dari seluruh negara untuk aktiviti menyelam di Pulau Tenggol kerana ia sebahagian daripada pakej yang kami tawarkan maka kolam ini dibina sebagai pusat latihan mereka namun ianya terbuka kepada sesiapa yang pandai berenang malah disini juga terdapat kolam yang berkedalaman 4 kaki dan 2 kaki mengikut kesesuaian umum.” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarga mangsa untuk dibawa pulang ke tempat asal mereka setelah prosedur bedah siasat selesai.
Commentaires