top of page
  • Writer's picturePriiyalakshmi Kumarrajah

Impian Lasykar Khaleefa Mengeluarkan Single Tertangguh

Updated: Nov 20, 2022

Penulis: Priiyalakshmi Kumarrajah

Penyunting: Ahmad Bhaihaqi

Sumber Gambar: Instagram @LasykarKhaleefa


BANGI, 16 Nov Impian Lasykar Khaleefa untuk mengeluarkan single dan album

bertemakan Islamik tertangguh sejak penubuhan kelab Nasyid tersebut di Universiti

Kebangsaan Malaysia (UKM).


Pengasas Lasykar Khaleefa, Mohamad Firdaus Mohd Shahir berkata, Lasykar Khaleefa

sudah lama mempunyai hasrat untuk mengeluarkan single atau album pertama. Namun

begitu, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan dana untuk membuat

pembayaran kepada komposer, produser dan syarikat rakaman.


“Sebenarnya, perancangan untuk mengeluarkan single dan album itu sememangnya ada dan menjadi impian kami sejak penubuhan kelab Nasyid ini di UKM. Walau bagaimanapun, banyak kekangan yang menjadi batu penghalang untuk mengeluarkan single atau album adalah masalah dana.


“Untuk membuat lagu dan diterbitkan oleh satu-satunya syarikat rakaman memerlukan dana yang banyak terutamanya untuk dipasarkan dalam platfom syarikat rakaman seperti YouTube, Spotify, Joox dan sebagainya. Proses untuk penghasilan dan pembayaran lagu untuk komposer dan syarikat rakaman adalah agak tinggi yang dianggarkan daripada RM6000 sehingga RM10000 termasuklah rakaman muzik video,” katanya ketika ditemui di Malam Kemuncak Festival Kesenian Pusat Islam UKM.


Beliau juga menambah bahawa hasil kemenangan kumpulan tersebut tidak mencukupi untuk pembayaran tersebut kerana kebanyakan pertandingan tidak menawarkan wang yang banyak.


“Untuk mengharapkan wang kemenangan agak sukar sebab kebanyakan pertandingan

menawarkan wang yang sedikit dan agak kurang wajar sekiranya mengharapkan duit

daripada pelajar kerana itu bukanlah jalan yang terbaik,” katanya lagi.


Firdaus juga berharap agar dengan adanya kolaborasi antara pihak UKM terutamanya Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Pusat Kebudayaan UKM, Fakulti atau mana-mana Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berminat untuk membuat memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat rakaman seperti InTeam Records untuk menyediakan platfom ini.


“Saya memberikan contoh salah satu kumpulan Nasyid universiti yang telah berjaya

menerbitkan album ialah kumpulan Nahwan Nur daripada Universiti Putra Malaysia (UPM). Mereka telah berkolaborasi dengan UPM dengan Inteams Records dan berjaya mengeluarkan sebuah album dan beberapa single.


“Kami juga mengharapkan perkara yang sama berlaku jika adanya MoU antara UKM dan mana-mana syarikat rakaman supaya dapat membantu kami untuk mengeluarkan

sekurang-kurangnya satu single,” ujar Firdaus.


Sehingga kini mereka sudah mempunyai empat buah lagu yang boleh dikomersialkan seperti Nadi Perjuangan, Buta, Halaman Maya dan Cahaya (Ibu) yang mana kesemuanya adalah genre Islamik Kontemporari yang dapat memenuhi halwa telinga pendengar dan menyampaikan pelbagai mesej yang baik kepada masyarakat.


Kumpulan ini juga mengharapkan agar impian mereka dapat direalisasikan pada masa

hadapan. Mereka juga bakal berentap dalam Pertandingan Nasyid antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).


Lasykar Khaleefa merupakan kelab Nasyid yang bertapak di Kolej Rahim Kajai sejak tahun 2016 dan diasaskan oleh kakitangan UKM di Institut Pembangunan dan Inklusif Malaysia, Mohamad Firdaus Mohd Shahir yang juga merupakan jurulatih kumpulan tersebut. Kumpulan ini mempunyai rekod pencapaian yang terbaik dalam arena seni Nasyid seperti Johan Festival Nasyid Kebangsaan 2022 dan Johan Nasyid ICAF 2022 sebelum ini.


Lasykar Khaleefa telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Nasyid Festival Kesenian Pusat Islam UKM baru-baru ini. Malam Kemuncak Festival Kesenian Pusat Islam telah berlangsung di Panggung Seni, UKM bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 14444H/2022M.


Malam kemuncak Festival Kesenian Pusat Islam ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Islam UKM, Dr. Wan Haslan Khairuddin. Pelbagai pertandingan telah dianjurkan selain daripada Nasyid. Antaranya adalah Pertandingan Penulisan Esei, Pertandingan Tilawah Al-Quran dan sebagainya.

73 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page