top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Isteri Hadiahkan Suami Seorang Isteri

Oleh: Haziq Fikri Hassan

Penyunting: Zarith Sofea Zawawi



Sumber: Google

Tular di laman sosial apabila seorang isteri yang mempunyai lima orang anak menghadiahkan secara diam-diam seorang isteri berstatus janda anak dua kepada suaminya. Isteri pertama memberi keizinan kepada suaminya untuk berpoligami kerana dikatakan terlalu baik. Khazatul Atiqah Abu Seman, 31 merupakan antara wanita yang menentang poligami. Namun persepsinya terhadap poligami berubah sepenuhnya selepas berkahwin dengan jejaka pilihannya iaitu Abdul Razak Samuel Dzulkifli, 29 kira-kira 10 tahun lalu. Menurut Khazatul Atiqah, dia mula melihat kelebihan kehidupan berpoligami sejak tinggal bersama keluarga mentuanya yang turut mengamalkan Sunnah Rasulullah. Beliau mempunyai tiga orang mak mertua yang hidup bahagia bersama dalam sebuah rumah banglo tiga tingkat. Susulan itu, wanita yang berasal dari Kuching, Sarawak itu terbuka hati dan bersedia untuk hidup bermadu genap empat tahun usia perkahwinannya dengan Samuel Dzul tetapi ketika itu belum bertemu calon yang sesuai untuk dijadikan madu, memetik petikan Mstar Online.


Menurut portal berita Malaysiakini.com, statistik yang dikeluarkan Klinik Bantuan Telenisa menunjukkan kes undang-undang berhubung poligami meningkat dengan kadar yang tinggi setiap tahun. Tahun lalu, terdapat 176 kes poligami direkodkan oleh klinik khidmat nasihat itu, yang menyediakan guaman percuma mengenai hal-hal berkait Undang-Undang Keluarga Islam Syariah. Jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 66 peratus berbanding 106 kes pada 2017. Klinik di bawah kendalian NGO Sister in Islam (SIS) itu menangani 75 kes pada 2016. Pengurus Program SIS, Shareena Sheriff berkata, kebanyakan aduan berkaitan poligami adalah daripada kalangan isteri yang suaminya berkahwin lain tanpa pengetahuan mereka. Hal ini demikian kerana pindaan undang-undang pada 1994 dan 2006 yang memudahkan poligami secara rahsia. Jelasnya lagi, menurut undang-undang syariah, perkahwinan kedua atau ketiga perlu mendapatkan kebenaran mahkamah dan tidak seharusnya menjejaskan taraf hidup isteri pertama.


Berdasarkan Seksyen 23, Poligami, tiada seorang pun lelaki, semasa wujudnya sesuatu perkahwinan, boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain atau perkahwinan tanpa kebenaran sedemikian boleh didaftarkan di bawah akta ini.

Berdasarkan petikan dan akta yang telah dinyatakan, kita dapat lihat sendiri bahawa poligami itu sebenarnya tidak salah selagi ianya masih tidak menyalahi undang-undang dan juga syariat Islam. Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah ketika ditanya tentang hukum berpoligami, beliau menjawab hukumnya sunnah untuk mereka yang mampu. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Quran Surah An – Nisa ayat 3 yang berbunyi:


وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا فِي الْيَتَامَىٰ فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ

أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا


“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilama kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi ; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kawinilah) seorang saja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” [An-Nisa/4 : 3]


Kemudian, berkaca kepada Rasulullah SAW yang memiliki sembilan isteri dan semuanya memberikan sumbangan yang besar dalam kemajuan umat Islam hingga mampu mencapai hingga ke saat yang kita capai dan rasai kini. Kemudian, kesembilan isteri tersebut di tetapkan untuk Rasulullah SAW, sedang kita manusia hanya boleh melakukan poligami tidak lebih dari empat isteri.


Namun demikian, ianya tidak bermakna sebagai seorang lelaki, apabila berkemampuan dalam setiap aspek, boleh sewenang-wenangnya untuk berpoligami tanpa pengetahuan isteri. Hal ini kerana, perkahwinan itu adalah sesuatu yang mengembirakan bukan sesuatu yang menyedihkan. Oleh itu, setiap orang yang berada di samping kita juga haruslah turut bergembira dan bukan sahaja yang berkahwin. Dalam hal ini, masing-masing memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah dengan sebaiknya dengan menggunakan akal yang ada tanpa beremosi berlebihan yang boleh mengundang masalah yang lain nanti.

113 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page