top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Isteri Yang Didera Dilindungi Akta

Oleh: Saeid Juwanda

Penyunting: Arif Zahran

Gambar : Saeid Juwanda


Gambaran keganasan rumah tangga (Sumber: Google)

Peningkatan Kes Keganasan Rumah Tangga

Sekali lagi, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan selama 14 hari di beberapa negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam 13 Januari hingga 26 Januari ini. Sedarkah anda, ketika kegawatan pandemik ini terdapat banyak perbincangan mengenai isu keganasan rumah tangga di media massa?


Peningkatan kes keganasan rumah tangga dilaporkan hampir di seluruh dunia termasuk di China yang melaporkan peningkatan kes sebanyak tiga kali ganda di daerah Hubei sejak diletakkan di bawah perintah berkurung ekoran wabak COVID – 19. Manakala di Perancis pula, terdapat peningkatan sebanyak 32 hingga 36 peratus sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.


Kes Penderaan Isteri di Malaysia

Menurut satu kajian yang telah dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2014, sembilan peratus daripada wanita yang pernah berpasangan di Semenanjung Malaysia mengalami keganasan rumah tangga pada suatu ketika dalam hidup mereka.


Keganasan serta penderaan isteri di alam perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang digemari oleh mana-mana pihak, baik lelaki mahupun wanita, akan tetapi perkara sebegini seringkali terjadi apabila kurangnya didikan tentang pertahanan undang-undang terhadap wanita serta pertolongan dan perlindungan yang dapat diperolehi seseorang wanita.


Pihak Nadi Bangi telah mendapatkan pandangan seorang pakar undang-undang wanita dan kanak-kanak dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Noor Aziah Hj. Mohd. Awal. Beliau mengatakan keganasan rumah tangga dan kes penderaan isteri ini bukanlah perkara baru di Malaysia.


Prof. Dato’ Noor Aziah Hj. Mohd. Awal yang ditemu bual di dalam pejabatnya.

“Kes keganasan rumah tangga bukan perkara yang baharu, malah ia telah mencapai tahap tertinggi di Malaysia pada tahun 1980-an dimana saya bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain telah mendesak kerajaan untuk meluluskan Akta Keganasan Rumah Tangga dengan melakukan seminar-seminar di serata tempat sehinggalah ia diluluskan pada tahun 1994.


“Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 ini bertujuan untuk mempertahankan keselamatan serta hak isteri mahupun suami apabila berlakunya ketidakadilan di dalam sesebuah rumah tangga.


“Bagi saya dengan terlaksananya akta ini, ia dapat membela nasib para isteri di luar sana tidak kira agama mahupun bangsa,” katanya.


Apabila seseorang isteri terbabit di dalam penderaan dalam sesebuah perkahwinan, mangsa hendaklah mengetahui langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan penderaan tersebut berterusan dan juga supaya suami yang mendera mendapat balasan yang setimpal mengikut undang-undang yang ditetapkan.


“Langkah pertama, si isteri haruslah melaporkan kes dera tersebut di balai polis, seterusnya mendapatkan pemeriksaan doktor perubatan dengan menghadirkan diri ke hospital bersama laporan dan setelah itu memasuki pusat sehenti yang disediakan di hospital untuk kes penderaan yang sebegini.


“Setelah membuat pemeriksaan, pihak hospital sendiri yang akan menghubungi pihak polis untuk siasatan lanjut serta mereka akan hubungi badan kebajikan untuk membantu mangsa tersebut,” tambahnya lagi.


Terdapat juga sesetengah kes penderaan di mana isteri berhak dijatuhkan hukuman kerana telah mencederakan suami dengan sengaja. Dalam hal ini, apabila berlakunya penderaan di dalam rumah tangga sudah semestinya mana-mana mangsa sekalipun akan bertindak mempertahankan diri bagi mengelakkan penderaan itu berterusan.


“Apabila isteri menggunakan kekerasan untuk melawan suami sewaktu didera dan perkara itu menyebabkan kecederaan ke atas suami, mangsa dapat terlepas daripada hukuman undang-undang jikalau asbab mencederakan suami itu adalah untuk mempertahankan diri.


“Namun, jika isteri didera secara emosi dan menyebabkan si isteri merancang untuk membunuh suami iaitu bukan mencederakan suami secara spontan, si isteri akan dikenakan hukuman jenayah melainkan apabila si isteri mengatakan dirinya tidak siuman. Dalam kes ini, si isteri boleh terlepas dari hukuman sekiranya pakar psikiatrik mengesahkan bahawa dia tidak siuman,” katanya.


Apabila Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diperkenalkan, kebanyakan kes yang melibatkan penderaan isteri dapat dibela, dan suami yang mendera mendapat hukuman yang setimpal dengan perilaku mereka.


Hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas suami adalah berdasarkan tahap penderaan yang dilakukan ke atas isteri.


“Sebagai contoh, jika si suami membunuh si isteri, dia akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.


“Manakala, dalam sesetengah kes penderaan fizikal, terdapat suspek yang dikenakan hukuman 5 tahun penjara ataupun jika suspek menyimbah asid, suspek akan mendapat hukuman penjara sekurang-kurangnya 3 tahun,” berdasarkan pengetahuannya.


Kebanyakan kes dera atau keganasan rumah tangga yang dilaporkan berpihak kepada mangsa. Mangsa yang didapati didera akan mendapat beberapa bantuan daripada kerajaan dari segi undang-undang dan juga kebajikan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.


“Jika suami didapati bersalah, terdapat undang-undang yang melarang suami untuk bertemu isteri ataupun menjaga jarak 50-meter daripada isteri.


“Selain itu, bantuan seperti rumah perlindungan untuk isteri menetap sementara menunggu kes perbicaraan suami, dan juga pertolongan dari kebajikan masyarakat untuk membantu isteri menampung diri serta anak-anak turut disediakan.” jelas Noor Aziah.


Faktor Peningkatan Kes Keganasan Rumah Tangga

Menurut satu artikel oleh Dr. Firdaus Abdul Gani di Astro AWANI, peningkatan kes keganasan rumah tangga boleh berlaku sewaktu PKP dilaksanakan.


Antara faktor yang boleh menyebabkan peningkatan adalah, pendera sentiasa berada bersama mangsa serta menghabiskan masa yang banyak bersama, sekaligus meningkatkan peluang untuk berlakunya konflik.


Selain itu, pengasingan sosial menjadi punca peningkatan stress kerana tiada saluran lain yang dapat menghilangkannya. Tambah lagi, masalah kewangan serta ketidaktentuan masa depan akibat wabak COVID-19 ini turut menimbulkan konflik di dalam kehidupan sehingga menyebabkan mereka menggunakan kekerasan untuk menangani “masalah”.


Oleh itu, rakyat Malaysia, lebih – lebih lagi golongan wanita yang sudah berumah tangga, perlu peka dan mengambil tahu tentang perkara yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Ketahuilah hak serta cara – cara menangani isu keganasan rumah tangga kerana ia mampu memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan juga jiran tetangga.

256 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page