Nadi Bangi
Isu Alam Sekitar Antara Perhatian Bajet 2021
Oleh : Nur Liana Afandi
Penyunting : Muhammad Aiman Shaharudin

KUALA LUMPUR, 6 Nov - Matlamat ketiga Bajet 2021 iaitu Ketahanan Ekonomi menjurus kepada langkah Pemuliharaan Alam Sekitar di bawah Strategi 4, Menjamin Kelestarian Sumber akan menerima peruntukan awal sebanyak RM20 juta bagi penubuhan Dana Amanah Malaysia SDG (MySDG Trust Fund) sejajar dengan persetujuan kerajaan dan negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menerima Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) turut menyumbang kepada bajet 2021 dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar dan keseimbangan sosial pada 2021.
Menurut sumber daripada Berita Harian, Menteri Kewangan Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan bahawa antara inisiatif yang disuntik dalam Belanjawan 2021 ialah Pemuliharaan Sungai bernilai RM50 juta, Penguatkuasaan Pemantauan Kualiti Alam Sekitar bernilai RM40 juta dengan mewujudkan 30 stesen pemantauan, aktiviti Ecological Fiscal Transfer bernilai RM70 juta yang diambil daripada peruntukan TAHAP (Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur Dan Kesejahteraan Hidup) yang menerima peningkatan daripada RM350 juta kepada RM400 juta sebagai insentif tambahan untuk menjamin kelestarian biodiversiti negara.
Mengulas dengan lebih lanjut mengenai peruntukan Pemuliharaan Alam Sekitar, kerajaan memandang serius susulan kes pembuangan sisa toksik di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang sejak 7 Mac tahun lalu yang melibatkan seramai 5848 mangsa.
Nadi Bangi sempat menemubual seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi pencemaran iaitu Nurrul Fariza binti Ab Rahman, 36, berkata, “Kebanyakan pemilik kilang persendirian memang akan ambil jalan singkat untuk buang sisa kotoran terus ke salur air kerana mereka menganggap proses rawatan air ini memerlukan banyak prosedur yang perlu dipatuhi.” Tambahnya lagi, “Bagi saya, semua inisiatif yang dibentangkan bagus jika seiring dengan pelaksanaan yang efektif dan menerima kerjasama semua pihak. Saya harap isu alam sekitar ini mendapat perhatian daripada kerajaan dan segala inisiatif tersebut akan mendatangkan hasil.”
Memetik sumber temubual oleh Astro Awani, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, “Sungai Kim Kim akan melalui proses pemulihan sepenuhnya dalam masa tiga tahun bermula November tahun ini dan menjadikan lokasi berkenaan sebagai pusat rehabilitasi dan riadah serta mesra penduduk. Usaha ini diambil bagi mengelakkan insiden pencemaran berulang.”
Seiring dengan langkah kerajaan dalam memelihara khazanah alam, peruntukan khas juga diberikan sebagai ganjaran bagi penyalur maklumat salah laku dan pelanggaran undang-undang. Dengan pelaksanaan pelbagai insentif Ketahanan Ekonomi dalam Belanjawan 2021, diharapkan agar keseimbangan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan bagi mencapai keharmonian sejagat.