top of page
  • Writer's pictureNurfaizatul Huda Ahmad

Isu Bakar Al-Quran: UKM Puji Usaha Malaysia Cetak 1 Juta Al-Quran Untuk Diedar Ke Seluruh Dunia

Penulis: Nurfaizatul Huda Ahmad

Penyunting: Farzana Nafiz


Perdana Menteri memaklumkan bahawa Malaysia akan mencetak 1 juta Al-Quran untuk diedar ke seluruh dunia Sumber Foto : Laman Web SAYS


BANGI, 31 Jan – Usaha Malaysia untuk mencetak 1 juta naskhah Al-Quran secara berperingkat untuk diedarkan ke seluruh dunia mendapat komen positif dari pelbagai pihak terutamanya dari kalangan pendidik di institusi pengajian tinggi.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anwar Muttaqin memuji langkah yang diambil oleh Kerajaan Malaysia membidas secara ‘halus’ aktiviti pembakaran Al-Quran di Sweden melalui usaha mencetak semula 1 juta naskhah Al-Quran dan diagihkan ke seluruh dunia ini satu tindakan yang terpuji.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah membuat kenyataan tentang pendirian tegas Malaysia untuk membantah sekeras-kerasnya aktiviti membakar Al-Quran yang dilakukan oleh seorang pemimpin politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan.

“Usaha Malaysia mencetak 1 juta Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia adalah satu tindakan yang terpuji, mulia dan terkehadapan kerana dalam keadaan semua orang sedang marah tentang isu ini tetapi negara kita datang dengan cadangan yang berbeza supaya kemarahan orang ramai itu dapat dirasionalkan dengan langkah yang positif berbentuk amal kebaikan seperti yang digariskan oleh syarak.

“Dalam situasi ini kita boleh lihat bahawa apa yang mahu disampaikan oleh Malaysia kepada dunia adalah kita mahu membidas sekeras-kerasnya isu ini dengan cara yang lebih baik dari provokasi yang dilakukan itu sendiri dan ini juga adalah salah satu usaha kita menunjukkan ‘boikot’ kita terhadap negara yang menghina kesucian agama Islam,” ujar beliau ketika ditemu bual oleh Nadi Bangi hari ini.

Tambahnya, sebagai sebuah negara Islam adalah wajar kita mengambil langkah untuk memelihara martabat kitab suci Al-Quran secara terang-terangan untuk membuktikan kepada rakyat terutamanya yang beragama Islam bahawa sentimen agama tidak boleh diperlekehkan serta dijadikan unsur provokasi kerana ia boleh mengundang kepada perpecahan dan peperangan.


Pemimpin sayap kanan Denmark-Sweden, Rasmus Paludan membakar Al-Quran di depan sebuah masjid di Copenhagen baru-baru ini. Sumber Foto: CNN


Selain daripada menunjukkan bantahan melalui cara boikot produk sesebuah negara pengeluar, umat Islam juga boleh bersolidariti dengan cara mengadakan perhimpunan aman dan menggunakan hak kebebasan bersuara melalui platform media terutamanya media sosial.


Dalam masa yang sama, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Kebangsaan Malaysia juga boleh memainkan peranan yang penting dalam menyahut seruan yang disebut oleh Perdana Menteri baru-baru ini tentang usaha memantapkan pemahaman serta penghayatan Al-Quran dalam masyarakat kita.

“Sebagai sebuah universiti awam yang mempunyai lebih 200 tenaga pengajar dalam pelbagai bidang tentang Islam di fakulti ini, kami sebagai pendidik menerima baik cadangan Perdana Menteri untuk memperkasa program-program pemahaman dan penghayatan Al-Quran untuk para pelajar dan orang awam.

“Adalah sangat penting pihak universiti seperti UKM dan semua IPT lain untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti penghayatan Al-Quran seperti ini dan ia adalah selaras dengan agenda utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta dasar nasional yang merujuk kepada ‘pendirian’ kerajaan dalam membantah penghinaan terhadap agama Islam seperti yang dilakukan oleh pemimpin Sweden tersebut,” tambahnya.


67 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page