top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Isu Kecairan Integriti Kini Turut Melibatkan Mahasiswa

Oleh: Ercy Gracella A

Penyunting: Farhan Nasir


Sumber: Facebook Kolej Rahim Kajai


BANGI, 28 Mei - Kolej Rahim Kajai telah mengadakan sebuah webinar yang bertemakan Universiti: Titik Mula Mahasiswa Berintegriti bagi membincangkan satu topik yang berkaitan dengan isu kecairan integriti yang kini turut melibatkan mahasiswa di universiti.


Konsep integriti kebiasaannya sering dikaitkan dengan alam pekerjaan, namun sebenarnya fenomena ini turut berlaku dalam kalangan mahasiswa. Dalam webinar ini, pelbagai aspek yang lebih kepada praktikal dibincangkan oleh panel jemputan bagi membuka minda serta membincangkan tentang masalah integriti yang masih wujud dan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat khususnya mahasiswa.


Menurut Pengetua Kolej Rahim Kajai, Dr Razaleigh Muhamat@Kawangit, “soal integriti sering dititikberatkan dalam kehidupan seharian dan ia dikaitkan dengan kejayaan seseorang mahasiswa untuk menjadi seorang yang telus, bertanggungjawab, jujur serta amanah walaupun jika tiada sesiapa yang melihat perbuatannya”.


Beliau juga berkata, “sebagai seorang mahasiswa di universiti, konsep integriti perlu diketahui, difahami, dipegang, dihayati dan diamalkan dalam setiap urusan kehidupan harian agar membantu untuk melahirkan jiwa yang berkualiti tinggi. Secara tidak langsung, pemahaman dan amalan tentang konsep integriti ini turut akan menyumbang dalam mencerminkan kejayaan sesebuah negara dan proses pembangunan sosial setiap mahasiswa pada satu hari nanti”.


“Tidak dapat dinafikan bahawa universiti memainkan peranan yang penting dalam membekalkan ilmu dan pengetahuan dalam usaha memastikan mahasiswa melangkah ke alam pekerjaan dengan nilai integriti yang sangat tinggi suatu ketika nanti”, tambah beliau.


Menurut Timbalan Pengarah Kepimpinan dan Pengurusan Bakat Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, En. Anuar Ahmad, integriti merupakan teras kepada semua perkara dan ia sering dikaitkan dengan nilai moral yang telah diperkenalkan sejak kecil lagi dalam kalangan ahli keluarga.


“Kecairan integriti berlaku bukan hanya dalam ruang pekerjaan yang melibatkan kewangan, rasuah dan berbagai lagi tapi juga dalam ruang kehidupan seharian individu. Dalam konteks mahasiswa, integriti mesti bermula daripada perkara yang paling asas. Misalnya, cara seseorang pelajar menjaga bilik kediamannya”, kata En. Anuar.


“Integriti merupakan istilah yang moden dan sering dikaitkan dengan pekerjaan. Istilah yang biasa didengar sejak kecil seperti moral, adab, sahsiah yang baik, ikhlas, jujur, menjaga maruah diri, dapat diikat dalam satu konteks iaitu integriti. Nilai integriti juga merupakan perkara pokok, jika seseorang ingin mempersoalkan tentang suatu kemajuan dan kecemerlangan.” tambah beliau.


Menerusi webinar ini, pelbagai input diterima oleh pelajar khususnya warga Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri berkenaan dengan isu integriti yang sering dikaitkan dengan ketirisan amanah dalam kalangan pekerja namun sebenarnya, turut berlaku dalam kehidupan seharian sebagai seorang mahasiswa tanpa disedari.

418 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page