Nadi Bangi
J&T Express Terus Komited Di Musim COVID-19
Oleh : Nur Liana Afandi
Penyunting : Muhammad Aiman Shaharudin

BATU PAHAT, 23 Nov. – Perkhidmatan pos dan kurier, J&T Express menganggarkan sebanyak 100 ribu penerimaan bungkusan pada setiap bulan setelah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat ancaman COVID-19.
J&T Express mula menapak di Malaysia sejak 2018 dan masih meneruskan usaha untuk membuka beberapa cawangan kecil di setiap zon dalam sebuah daerah kerana bilangan bungkusan semakin bertambah lebih lebih lagi di musim promosi seperti Shopee 11/11 dan shocking sales.
Kebanyakan peniaga atas talian yang menggunakan platform Instagram, Facebook, Lazada dan Shopee gemar memilih syarikat J&T Express sebagai kurier pilihan. Oleh itu, para kakitangan perlu merancang perjalanan dengan sistematik bagi kelancaran perjalanan dan mempercepatkan proses penghantaran bungkusan kepada pelanggan dengan selamat.
Menurut Mohd. Nazrul Hamizi, 26, salah seorang kakitangan syarikat kurier tersebut berkata, “Sebelum penguatkuasaan PKP, sasaran bilangan minimum penghantaran bungkusan dalam satu hari ialah 60 bungkusan. Semasa PKP pula, sasaran bertambah kepada 80 bungkusan setiap hari kerana syarikat cuba untuk mengelakkan masalah bungkusan pending di pejabat berikutan pertambahan bungkusan satu kali ganda lebih banyak dari jumlah kebiasaan”.
Tambahnya lagi, “Apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dikuatkuasakan semula pada 9 November hingga 6 Disember, bungkusan yang sedia ada banyak semakin bertambah menjadi dua atau tiga kali ganda berikutan jualan 11/11 di Shopee dan Lazada yang berlangsung dalam tempoh tersebut. Oleh itu, syarikat telah menawarkan ganjaran dalam minggu sales iaitu pemberian RM100 sehari kepada kakitangan yang berjaya menghantar 140 bungkusan dan ke atas sebagai dorongan dan motivasi kepada pekerja untuk terus komited menyelesaikan penghantaran dengan segera.”
Ketua J&T Express Cawangan Batu Pahat, Muhammad Amirul Afiq, 26, menjelaskan bahawa pelaksanaan PKP sejak Mac yang lalu mendorong pertambahan bungkusan daripada kebiasaannya iaitu sebelum PKP hanya 90 ribu dan kini 100 ribu dan ke atas. Apabila PKPP pula dilaksanakan beberapa hari sebelum jualan Shopee 11/11 bermula, penerimaan bungkusan yang kami anggarkan mengalami peningkatan sebanyak 20 ribu menjadikan jumlah bungkusan menjadi 120 ribu sebulan. Permintaan penghantaran bungkusan biasanya meningkat dalam bulan September hingga Disember kerana dalam tempoh ini, kebanyakan orang sibuk melakukan persiapan untuk menyambut Deepavali dan Krismas.
Nadi Bangi juga sempat menemubual seorang pelanggan J&T Express iaitu Siti Nurul Dyana, 22, berkata, “Saya berpuas hati dengan perkhidmatan kurier tersebut kerana telah memberikan khidmat pelanggan yang efisien dan tempoh penghantaran yang cepat berbanding syarikat kurier lain.” Baru-baru ini, beliau juga melakukan pembelian pada jualan Shopee 11/11 dan kagum dengan pengendalian barangan yang baik oleh kakitangan J&T Express. “Setakat ini, barangan yang diterima tidak pernah mengalami sebarang kerosakan walaupun saya beli dalam waktu kemuncak promosi berlangsung.”
Manakala, pelanggan yang juga merupakan pembeli atas talian, Intan Syuhada, 21, berkata, “Bungkusan sampai dengan cepat menjadi salah satu faktor ramai penjual menggunakan perkhidmatan J&T Express. Jika saya tiada di rumah, mereka juga akan hubungi saya untuk memaklumkan status bungkusan saya”. Beliau turut mengatakan bahawa urusan pengeposan bungkusan di kaunter J&T Express sangat mudah dan teratur.
Shopee dan J&T Express telah bekerjasama dalam Program Pengiriman Percuma supaya pelanggan dapat menebus baucar penghantaran percuma untuk pesanan sehingga 3kg.