Nadi Bangi
Jangan Buang Pelitup Muka Merata-Rata!
Oleh : Raihan Rahim
Penyunting : Farah A’lia Manan

Sumber : Nadi Bangi
Setiap kali melalui kawasan-kawasan yang berdekatan dengan longkang mahupun tepi jalan raya, pastinya akan terlihat sampah-sampah yang dibuang merata-rata tempat lebih-lebih lagi bekas pelitup muka yang telah dipakai dan dibuang ke dalam longkang-longkang tersebut.
Hal ini demikian kerana, kerajaan mewajibkan semua rakyat di Malaysia untuk memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah dan di tempat tempat awam seperti pasar-pasar, pusat membeli belah dan sebagainya bagi mengurangan penularan wabak COVID-19 di Malaysia.
Jika orang awam tidak memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah dan juga ditempat awam yang sesak, mereka akan dikenakan kompaun sebanyak RM1000 jika tidak mematuhi arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Hairan kepada sesetengah masyarakat yang suka membuang sampah terutamanya yang mengandungi pelitup muka. Bukankah sampah-sampah tersebut boleh membahayakan manusia dengan virus yang terdapat di bekas pelitup muka yang dibuang itu serta boleh mengganggu kehidupan haiwan-haiwan yang tidak bersalah oleh kerana mereka menganggap pelitup muka atau sampah-sampah tersebut adalah makanan.
Tidakkah sesetengah masyarakat yang kerap membuang sampah di merata tempat ini mempunyai rasa bersalah membuang sampah di merata-rata? bukankah dengan membuang sampah di merata tempat boleh mengotorkan kawasan tersebut?
Menurut sumber daripada Sinar Harian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mendapati bahawa, “Terdapat 60 peratus rakyat Malaysia masih belum ada budaya buang sampah ke dalam tong sampah,” katanya. Ini terbukti bahawa sesetengah masyarakat masih kurang peka dengan keadaan sekeliling, justeru mereka masih membuang sampah di merata-rata tempat.
Setiap masyarat terutamanya di Malaysia haruslah mempunyai sikap yang prihatin dan saling menyayangi terhadap alam sekitar kerana alam sekitar merupakan tempat tinggal bagi kesemua kehidupan yang bernyawa mahupun tidak bernyawa yang ada di muka bumi ini.
Sumber Berita Harian, lebih 30 juta rakyat di Malaysia membuang pelitup muka yang terpakai setiap hari lebih sejuta kilogram sisa buangan ini dibuang secara harian di Malaysia yang telah menjadikan pelitup muka sebagai sampah baharu dalam jumlah yang besar.
Namun begitu, setiap ibu bapa juga mempunyai peranan besar untuk mendidik anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tempat bagi menjaga persekitaran agar sentiasa bersih. Oleh itu, masyarakat haruslah peka ketika ingin membuang pelitup muka kerana kontraktor yang bertugas mengutip sampah akan terdedah dengan risiko COVID-19 jika masyarakat tidak membuangnya degan cara yang betul oleh kerana tugas mereka adalah memunggah sampah yang ada di sekitar kawasan perumahan.
Menurut sumber dari Astro Awani daripada temubual mereka bersama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Kutipan Sisa Domestik Dan Pembersihan Awam, KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir menunjukkan cara paling mudah untuk membuang bekas pelitup muka.
“Kalau betul nak buang mask (pelitup muka), saya tunjukkan cara paling mudah. Dah buka mask, ambil, lipat dua dan kita boleh gulung. Gulungkan perlahan-perlahan dan saya rasa proses ini akan ambil masa tak lebih 20 saat,” katanya. Beliau juga berkata, cara pembuangan pelitup muka yang tidak betul boleh menyebabkan virus itu lebih mudah tersebar.
Dengan adanya cara-cara yang mudah bagi pembuangan pelitup muka ini, diharapkan supaya semua masyarakat untuk lebih peka dengan keadaan sekeliling dan membuang bekas pelitup muka ini dengan baik bagi sama-sama membanteras wabak COVID-19 yang semakin menular di Malaysia.
Realitinya, terdapat ramai yang masih membuang sampah, terutamanya pelitup muka di merata-rata tempat umpama tidak kisah dengan persekitaran yang penuh dengan sampah buangan dan seolah -olah mereka tidak mengambil kisah dengan keadaan bumi yang semakin tenat kini.
Siapa lagi yang harus membanteras dan mendidik keluarga dan kanak-kanak bagi sentiasa membuang sampah ke dalam tong sampah dan tidak membuang sampah merata-rata tempat untuk menjaga bumi yang dicintai ini kalau bukan daripada perubahan diri sendiri dahulu. Setiap pendidikan itu datangnya dari ibu bapa yang akan memupuk anak-anak mereka supaya dimasa akan datang kelak anak-anak yang bakal mengambil alih generasi ini akan dapat ditanam di dalam diri mereka tentang sifat pembuangan sampah merata-rata tempat yang semestinya mahu semua masyarakat mengubah dunia, tetapi biarlah segalanya bermula dengan kita memperbaiki diri sendiri dahulu.