top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Jenaka Lucah Dalam Kalangan Pendidik

Penulis: Laila Husna Mahadi, Prof. Madya Dr. Shahrul Mizan Ismail

Penyunting: Muhammad Shaffiq Fauzan Nusi

Sumber: mynewshub


Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan fenomena #MakeSchoolASaferPlace ekoran pendedahan oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Puncak Alam, Ain Husniza Saiful Nizam berkenaan seorang guru yang membuat sebuah jenaka rogol semasa mengendalikan kelas. Guru berkenaan didakwa berkata, “Kalau nak rogol, rogol yang berumur 18 tahun ke atas.” Kata -kata kurang sopan itu seterusnya disambut dengan gelak ketawa oleh pelajar-pelajar lain.


Tidak cukup dengan itu, pendedahan demi pendedahan turut dilakukan oleh pengguna-pengguna media sosial, dan bukti perbualan mereka turut dilampirkan. Bukan itu sahaja, Ratu terjun negara, Dato’ Pandelela Rinong Pamg turut mendedahkan berkenaan jurulatihnya yang sering membuat jenaka rogol, dan kemudiannya telah disabitkan dengan jenayah merogol. Rentetan dari kejadian ini, pelbagai NGO dan aktivis telah tampil kehadapan bagi menyuarakan kebimbangan mereka serta meminta pihak berwajib untuk menggubal hukuman yang setimpal kepada golongan pendidik yang membuat jenaka sedemikian.


Menurut laporan sebuah akhbar tempatan pada November 2020, Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2020 menunjukkan jenayah rogol dan mencederakan orang mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 dan 2.9 peratus pada 2019 berbanding tahun sebelumnya. Senario itu agak membimbangkan sekali gus menyebabkan kita tertanya-tanya tentang tahap keselamatan anak-anak di sekolah.


Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘lucah’ bermaksud kehinaan dan kejian yang dikaitkan dengan perempuan seperti pelacur, kecabulan dan lain-lain. Manakala ‘rogol’ pula merujuk kepada perbuatan memperkosa atau mencabul kehormatan perempuan dan merupakan kesalahan jenayah. Selain itu, jenaka rogol pula turut tergolong dalam jenaka lucah kerana ia mengandungi konteks tidak sopan dan sebenarnya mempunyai elemen ‘jenayah’ kerana rogol itu adalah sebuah perbuatan jenayah yang keji. Di dalam konteks ini, pendidik yang didakwa itu telah bercakap perkara yang hina dan keji dihadapan pelajar-pelajarnya. Ini merupakan perbuatan yang haruslah dilarang sekeras-kerasnya.


Mengikut perspektif jurispruden barat, terdapat pelbagai aliran pemikiran yang berkaitan dengan isu iaitu, kebebasan individu, moraliti dan undang-undang semula jadi atau disebut sebagai undang-undang dari Ilahi. Yang pertama adalah aliran pemikiran kebebasan atau ‘Law of Freedom’. Di dalam aliran falsafah ini, Roscoe Pound telah mengklasifikasikan kebebasan sebagai kebebasan untuk kepentingan individu, kepentingan awam dan kepentingan sosial.


Secara asasnya, prinsip ini menyatakan bahawa setiap individu mempunyai hak terhadap diri sendiri tentang apa jua yang ingin dilakukan, namun terdapat beberapa sekatan yang harus digariskan bagi menjaga kepentingan-kepentingan yang disebut diatas. Sebagai contoh, ahli falsafah John Locke dalam bukunya yang berjudul ‘Two Treatises of government’ menyatakan bahawa seseorang tidak boleh mencederakan orang lain atau memberi mudarat dari segi nyawa, kesihatan dan kebebasan. Oleh yang demikian, kebebasan yang dimiliki bukanlah mutlak bagi menjaga kepentingan semua pihak. Dalam isu yang sedang dibincangkan, membuat jenaka rogol dan lawak lucah mengancam keselamatan serta keharmonian individu lain. Maka mengikut prinsip ini, kebebasan seseorang untuk menuturkan sedemikian haruslah disekat.


Seterusnya, dari segi prinsip moraliti pula, ia adalah sebuah prinsip berkenaan adab dan kelakuan yang betul. Apa yang dikatakan bermoral ini boleh berbeza diantara sesebuah masyarakat dan masyarakat yang lain. Melihat pada konteks isu ini, masyarakat di Malaysia amat menyanjung prinsip adab dan kelakuan yang sopan. Maka, perbuatan melakukan jenaka rogol dan lawak lucah ini bertentangan dengan moraliti kesopanan yang dipegang oleh masyarakat kita.


Akhir sekali, prinsip undang-undang semula jadi atau ‘Natural Divine Law’ bererti undang-undang yang diwahyukan oleh Tuhan. Dalam undang-undang semula jadi, manusia mempunyai maruah, dan dianggap suci. Justeru, setiap individu perlulah menghormati sesama manusia kerana ia merupakan suruhan tuhan untuk menjaga kehormatan dan kemuliaan setiap manusia. Sebagai seorang pendidik yang bakal melahirkan permata-permata baru dalam masyarakat, seharusnya menunjukkan contoh dan tauladan yang baik bagi generasi seterusnya. Justeru, adalah wajar untuk pihak berwajib mengenakan sekatan dan memberi amaran keras terhadap mereka yang membuat jenaka-jenaka lucah ini.


Penulis adalah Pelajar dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

101 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page