Ditulis oleh: Muhammad Aziq
Disunting oleh: Muhammad Syakir
Sumber: Google
KUALA LUMPUR, 15 MEI: Kewujudan pelbagai jenama pakaian siap dipakai atau lebih dikenali sebagai ready to wear (RTW) di pasaran tidak menjejaskan kebiasaan para pelanggan membuat tempahan baju raya daripada pelbagai butik tertentu ketika menjelang syawal baru-baru ini.
Bagi peminat fesyen, mereka lebih menginginkan yang terbaik serta rekaan tersebut benar-benar sesuai mengikut cita rasa mereka terutama bagi yang bertubuh gempal kerana tidak perlu memikirkan tambahan kos bagi pengubahsuaian baju mereka.
Cik Nazifa, 24, berkata beliau lebih cenderung menempah baju raya berbanding beli siap kerana sering kali tidak memuaskan hatinya.
“Menempah lebih baik dan boleh mengikut kehendak serta cita rasa kita sendiri. Saya lebih gemar membuat tempahan kerana hasil jahitan atau rekaan tersebut dapat mengikut saiz badan kita. Jika saya beli di kedai atau yang sudah siap ada kalanya tiada saiz yang sesuai malah warna yang diingini juga tidak menepati keinginan kita.
“Baju yang sedia ada atau siap tidak kena dan perlu diubahsuai pada bahagian yang kurang cantik. Contoh dari segi panjang lengan dan juga potongan baju tersebut.
“Ini menyebabkan kita perlu menambah lagi banyak kos perbelanjaan bagi tujuan tersebut.”, katanya.
Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Ismail Kassim, 55, mengakui baju yang sentiasa menepati cita rasa beliau adalah dengan membuat tempahan daripada tukang jahit,
“Banyak perkara yang perlu diambil kira. Kalau pakai baju saiz besar susah nak dapat, seperti saya bertubuh gempal jika ada sekali pun tidak seperti yang diinginkan, jadi lebih baik tempah.
“Jadi setiap kali syawal saya akan buat tempahan. Bukan sahaja kemas, tetapi selesa dan mengikut kesesuaian pada tubuh saya apabila tukang jahit sudah siap-siap ukur.”, katanya.
Beliau juga tidak menafikan bahawasanya kos tempahan baju pada zaman sekarang lebih mahal berbanding dahulu.
Walau bagaimanapun, kemeriahan syawal masih dapat disambut meriah bersama keluarga tersayang di kampung halaman masing-masing. Kesukaran yang dihadapi dalam mencari baju raya tidak menjadi penghalang untuk meraikan syawal yang kian lama tidak dapat disambut bersama keluarga susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara sebelum ini.
Comments