• Nadi Bangi

‘Jibril’ Kini Dibuka Di Bandar Baru Bangi

Updated: Nov 8, 2021

Penulis: Mohamad Ameruddin Mohamah Nor

Penyunting: Muhammad Danish Muqrieyz Jamaluddin

BANGI, 5 November – Restoran yang terkenal dengan keunikan rasa “Salted Egg Butter Milk Chicken” yang terletak di Subang Jaya kini telah mengembangkan cawangan mereka di Bandar Baru Bangi dua minggu yang lalu.


Majoriti masyarakat dalam negara pasti mengenali restoran Jibril kerana masakan mereka yang sungguh enak dan juga identiti restoran mereka yang sungguh menarik untuk dikunjungi. Pada awalnya terletak di Subang Jaya Seksyen 15, Restoran Jibril kini telah mengembangkan sayap mereka di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi bagi memenuhi permintaan peminat.


Menurut Muhamad’Atiqurrahman Bin Sulaiman, 31, yang merupakan salah seorang rakan kongsi bagi perniagaan Jibril, restoran tersebut memilih Bandar Baru Bangi sebagai kawasan yang sesuai untuk membuka francais pertama mereka oleh kerana kawasan yang fleksibel dan mudah untuk mereka uruskan.


“Jibril menerima tawaran daripada ramai investor untuk kami membuka cawangan di tempat tempat lain seperti Johor dan juga Indonesia. Tapi oleh kerana faktor lokasi yang jauh dan kesukaran untuk kami mengurus dari segi faktor makanan, pekerja dan sebagainya, kami terpaksa menolak tawaran daripada investor–investor tersebut dan kami memilih Bandar Baru Bangi sebagai lokasi cawangan kami.” – kata Atiq.


Atiq, yang juga merupakan salah seorang rakan kongsi bagi perniagaan MONA by Jibril @ Publika juga menyatakan bahawa restoran Jibril masih dalam proses pengubahsuaian restoran dan mereka masih tidak bersedia untuk menawarkan perkhidmatan dine–in kepada pelanggan–pelanggan mereka.


“Buat masa ini, kami hanya menawarkan perkhidmatan take–away dan juga delivery kepada pelanggan – pelanggan kami kerana kami masih dalam proses renovate restoran kami di Bandar Baru Bangi ini. Jika tiada sebarang masalah dalam proses pengubahsuaian restoran kami, kami jangkakan perkhidmatan dine–in akan diberikan kepada pelanggan kami pada akhir bulan ini. Jika ada sebarang update mengenai perkhidmatan kami, akan kami terangkan di media sosial perniagaan kami” – kata Atiq.


Menurut Atiq juga, bilangan pesanan makanan dari Restoran Jibril Bandar Baru Bangi buat masa ini terhad oleh kerana faktor kekurangan pekerja di cawangan tersebut.


Menurut Farhan, 22, yang merupakan salah seorang pelanggan yang telah beberapa kali mengunjungi cawangan Bandar Baru Bangi ini, kualiti perkhidmatan dalam aspek makanan dan penghantaran yang disediakan oleh Jibril sangat menakjubkan.


“Dari pertama kali saya membuat pesanan daripada Jibril oleh kerana ia berdekatan dengan rumah saya, kualiti makanan dan perkhidmatan mereka sangat menakjubkan. Bagi saya, dengan cara begini mereka akan kekalkan prestasi mereka sebagai restoran yang digemari oleh majoriti rakyat Malaysia.” – kata Farhan.


Pelanggan kini boleh membuat pesanan melalui Whatsapp dan pautan yang tertera di laman Instagram rasmi @jibrilbangi. Restoran tersebut akan beroperasi dari jam 11 pagi hingga 3 petang, dan 6 petang hingga 10 malam.



462 views0 comments

Related Posts

See All