Oleh: Rafidahtul Aqilah
Penyunting: Wong Sze Wen
BANGI, 25 Okt- Seramai 300 kakitangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi menjadi sasaran program Jom Sihat anjuran Pusat Penuaan Sihat Dan Kesejahteraan (H-Care) yang bakal berlangsung pada Januari sehingga Mac 2020 akan datang.
Buat julung kalinya, program ini diadakan bertujuan untuk memberi informasi dan panduan mengenai gaya hidup sihat serta membantu menurunkan berat badan peserta.
Menurut ketua program, Prof.Dr. Mohd Rizal Abdul Manaf “Idea program ini tercetus berdasarkan hasil kajian yang dilakukan ke atas status kesihatan warga UKM Bangi maka program ini diadakan bagi menilai keberkesanan beberapa intervensi mengurus berat badan unggul.”
“Program hanya menyasarkan kakitangan UKM kerana ia melibatkan aktiviti-aktiviti bersemuka, latihan, lawatan serta menilai prestasi kerja dan kualiti hidup yang tidak melibatkan golongan pelajar,” tambah beliau.
Banyak faedah yang boleh diperoleh daripada program ini seperti peserta akan mendapat bimbingan dalam mengamalkan gaya hidup sihat daripada pakar kesihatan dimana proses penurunan berat badan berlaku secara sihat.
Jom Sihat ini juga membantu dalam mengurangkan faktor yang menyumbang kepada risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan penyakit jantung.
Dengan slogan, Langkah Pertama Anda Untuk Gaya Hidup Sihat! Jom Sihat menyediakan tiga program menarik seperti MyBody, MyMind dan SlimShape di mana setiap program mengandungi aktiviti serta tujuan tersendiri.
Di bawah program MyBody para peserta akan menerima pemeriksaan kesihatan serta maklumat kesihatan daripada doktor perubatan di Pusat Kesihatan UKM sendiri.
MyMind pula merupakan program yang menitikberatkan dalam meningkatkan fikiran ketara sedar (MINFULNESS) serta kerohanian yang akan menerima intervensi penjagaan kesihatan melalui aplikasi apps dan secara bersemuka.
SlimShape yang pernah diperkenalkan pada 2012 kini kembali dengan SlimShape 2.0 dimana para peserta akan menerima intervensi program penurunan berat badan melalui seminar, aktiviti interaktif mengenai aspek diet, motivasi dan senaman.
Tiada yuran dikenakan malah pelbagai hadiah disediakan kepada pemenang yang berjaya dalam program penurunan berat badan ini.
Kakitangan UKM Bangi yang berminat serta memenuhi syarat boleh layari https://tinyurl.com/slimshapeUKM atau menghubungi Siti Munirah Abdul Basir di talian +6019 335 7706.
Comments