top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

JSN 8/2019 Jelajah 3 Negeri Di Pantai Timur

Oleh: Deliyana Darwes

Penyunting: Nurul Farhana Abdullah


Sumber: Amiro Ezzat Idraqi

BANGI, 23 Nov - Jaringan Siswazah Nusantara 8 (JSN) 2019 merupakan program kali ke-8 dianjurkan oleh Program Strategi dan Hubungan Antarabangsa (GAP, FSSK) di bawah subjek SKSS 6033: Globalisasi dan Isu – Isu Keselamatan Antarabangsa yang bertemakan “Ilmu Mendekati Masyarakat” dengan penjelajahan ke 3 buah negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan pada 20 hingga 23 November 2019 yang lalu.


JSN merupakan sebuah program jaringan kolaborasi yang diperkenalkan pada tahun 2012 dibawah bimbingan dan cetusan idea Prof. Dr Zarina Othman, Pensyarah di Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.

Program ini bertujuan untuk mendedahkan para pelajar dengan pembelajaran praktikal dunia luar seperti membudayakan tanggungjawab sosial korporat, memahirkan pelajar mengetuai kontinjen dan mengajar mereka memerhati, menulis serta membentangkan kertas kerja di peringkat rantau di samping rakan - rakan sama bidang dari universiti yang berbeza.


Menurut Prof. Dr Zarina, JSN 8 membawa sedikit kelainan daripada edisi-edisi sebelumnya dimana pada kali ini JSN 8/2019 menjelajah ke 3 buah negeri dan bukan sahaja membincangkan isu-isu di universiti tetapi berpeluang mengunjungi agensi-agensi melihat isu-isu seperti pendatang asing tanpa izin di Pusat Tahanan Ajil di Imigresen Ajil di Terengganu.


“Saya juga teruja kerana berpeluang membawa pelajar ke Tasik Chini iaitu pusat penyelidikan Tasik Chini yang juga merupakan satu kebanggaan kepada kita dan juga kepada pelajar-pelajar. Kita bukan sahaja dapat menikmati tetapi juga memahami isu-isu pemuliharaan alam sekitar dan juga isu lokal seperti perlombongan terhadap Orang Asli suku kaum Jakun yang tinggal di sekitar Tasik Chini ini”. Tambahnya lagi.


JSN 8/2019 menjelajah ke 3 buah negeri, berkolaborasi dan bekerjasama dengan pelajar-pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).


Delegasi pelajar siswazah UKM ini membuat lawatan ke universiti-universiti ini dan mengadakan program bersama seperti pembentangan kertas kerja dan perkongsian ilmu mengenai isu-isu semasa bukan sahaja di Malaysia tetapi di rantau Asia.


Azril Eddyra Moksan (42) selaku Ketua Pengarah Program berkata, “Saya berharap semua yang terlibat dalam JSN ini dapat menimba ilmu dan pengalaman, sedikit atau banyak bukanlah isunya tetapi bersama-sama dapat menerima ilmu ini dan dapat menggunakannya dalam sama ada semasa belajar ataupun selepas belajar nanti”.


“Para pelajar yang mengikuti program ini mendapat manfaat dan ilmu berkaitan dengan pengurusan keselamatan dan juga cara hidup masyarakat setempat terutamanya masyarakat di Pantai Timur.” Kata Mohd Dzulkarnain Baharuddin (36), yang merupakan salah seorang peserta program.


“Kami turut didedahkan mengenai aspek bidang keselamatan yang jarang di ketahui oleh mahasiswa pada masa sekarang seperti realiti sebenar pengurusan keselamatan dimana antara bidang yang berkaitan adalah dari segi pengurusan tahanan di depot imigresen serta pengurusan keselamatan sempadan yang diuruskan oleh Majlis Keselamatan Negara dengan kerjasama Agensi Keselamatan Sempadan Negara.” Tambahnya lagi.


Menurut Amiro Ezzat Idraqi Rosle (24), yang juga peserta program berkata “Saya sangat teruja kerana ini adalah pertama kali saya pergi menyelusuri negeri-negeri di pantai timur ini iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan”


“Program ini juga memberi pendedahan kepada saya tentang isu-isu semasa berkaitan keselamatan yang berlaku di rantau Asia disamping memberi peluang kepada kami untuk bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan dimana hal ini amat penting untuk kesinambungan program-program yang akan datang”. Tambahnya lagi.


JSN 8/2019 juga turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat di Kampung Orang Asli Sungai Sayap, Hulu Besut di Terengganu serta melawat kawasan sempadan antara Malaysia – Thailand di Negeri Kelantan.

118 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page