top of page
Writer's pictureNadi Bangi

Jual Kopi Guna Basikal

Penulis: Nur Farzana Amira Mohd Zaki

Penyunting: Mohamad Noor Amirul Mokhtar


Sumber: Nur Farzana Amira


TEMERLOH, 27 Nov - Inspirasi daripada perniagaan kopi jalanan di negara seberang iaitu Indonesia mendorong seorang pemuda untuk mengusahakan gerai Secangkir Latte dengan basikal beca hasil kreativiti sendiri.


Pemilik Secangkir Latte, Nashrul Haqimi, 24, berkata keunikan perniagaannya berbanding kedai kopi lain di Temerloh ialah konsep pop-up yang membenarkan beliau bebas bergerak untuk berniaga.


“Keunikan yang saya ciptakan ialah perniagaan slow bar berkonsepkan pop-up. Jadi saya boleh kayuh kemana sahaja lokasi yang hendak dituju.


“Kedua, sebagai seorang yang sukakan barangan custom made, daya penarik yang dibangkitkan pada Secangkir Latte ini semestinya keunikan setup iaitu basikal beca dan kaunter meja hasil ubah suai dan kesungguhan dalam mencari bahan-bahan sepenuhnya dari saya sendiri,” katanya.


Meskipun dengan kehadiran pelbagai kedai kopi di Bandar Ikan Patin ini, namun Nashrul percaya bahawa keunikan yang ada di Secangkir Latte ini mampu menarik minat pengunjung.


“Jika nak bercakap dari segi keunikan rasa kopi, saya percaya masih banyak kedai-kedai kopi di luar sana yang lebih sedap.


“Namun, di Malaysia, tak banyak lagi trend perniagaan kopi jalanan dengan konsep seperti Secangkir Latte ini jika hendak dibandingkan di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia,” ujarnya.


Bertanya mengenai sambutan terhadap Secangkir Latte, Nashrul memberitahu bahawa reaksi pelanggan adalah memberangsangkan dan positif meskipun baru sahaja beroperasi sejak enam bulan yang lalu.


“Rata-rata pelanggan yang datang adalah dari golongan berusia dan membuatkan mereka teringat akan memori tahun 70an dan 80an apabila melihat konsep klasik ini.


“Ada juga seorang pelanggan dari Shah Alam yang dahulunya menjual putu mayam dengan konsep yang sama, mengimbau kenangan lamanya dan bertanya tentang setup yang dibangunkan untuk Secangkir Latte ini,” ujarnya kepada Nadi Bangi.


Nashrul yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang barista, turut berkongsi bahawa minat yang mendalam terhadap kopi menyebabkan beliau memulakan perniagaan menjual minuman tersebut meskipun secara kecil-kecilan.


“Saya pernah masuk pelbagai kelas kemahiran kopi secara fizikal dan juga atas talian serta belajar tentang jenis biji kopi, jadi sedikit sebanyak saya ada pengetahuan tentang minuman ini.


“Saya juga sukakan sesuatu yang berterusan dan bukannya perubahan yang mendadak seperti buka kedai atau beli mesin-mesin mahal pada peringkat awal. Jadi saya tak kisah untuk bermula dari bawah dan secara perlahan.” katanya.


Tambahnya lagi, bagi mencipta kelainan, beliau memilih kaedah tradisional untuk mengekalkan aroma wangi kopi iaitu dengan menggunakan alat pembru biji kopi Moka Pot.


Bercerita lanjut mengenai perancangan masa hadapan bagi Secangkir Latte, Nashrul mengimpikan konsep kafe bar di tepi sungai Pahang dengan mengekalkan tema klasik dan tradisional.


“Saya ada perancangan untuk tidak meneruskan idea pop-up ini dan fokus untuk bertapak di tepi sungai dengan suasana kampung satu hari nanti.


“Perancangan dari aspek tempat dan tanah sudah ada tetapi modal agak besar, jadi kita bergerak secara perlahan-lahan dahulu,” ujarnya.


Katanya, antara menu yang menjadi pilihan pelanggan adalah minuman signature iaitu Secangkir Latte di samping hadir dengan pelbagai menu lain seperti Gula Aren Latte, Chocolate Strawberry dan Matcha Latte bermula dari harga RM7 hingga RM10.


“Secangkir Latte beroperasi di Jalan Seberang Temerloh, berhadapan PAIP, setiap hari dari jam 8:30 pagi hingga 2 petang.


“Pada Sabtu malam, Secangkir Latte turut berniaga di Car Boot Sale Temerloh seawal jam 8,” katanya kepada Nadi Bangi.


114 views4 comments

4 Yorum

5 üzerinden 0 yıldız
Henüz hiç puanlama yok

Puanlama ekleyin
Misafir
04 Ara 2023
5 üzerinden 5 yıldız


Beğen

Misafir
04 Ara 2023
5 üzerinden 5 yıldız

Nice article to read!

Beğen

Misafir
02 Ara 2023
5 üzerinden 5 yıldız

kisah yang penuh inspirasi.. boleh la pergi cbs beli kopi secangkir lepasni. penulisan yang terbaik!

Beğen

Misafir
02 Ara 2023
5 üzerinden 5 yıldız

support localll

Beğen
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page