top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

“KAB Food Fiesta 2023” Tampilkan Pelbagai Vendor Makanan Tempatan

Penulis: Nurul Syazwani Binti Yazid

Penyunting: Nurul Hidayu Binti Yahya


Sumber foto : Nurul Syazwani


BANGI, 10 Mei - Lebih daripada 15 vendor makanan dan minuman beraneka juadah tampil di “KAB Food Fiesta 2023” pada 9 hingga 11 Mei 2023 yang dianjurkan oleh Kolej Aminuddin Baki bertempat di Dataran K4 Kolej Aminuddin Baki, UKM.

Pelbagai vendor makanan tempatan seperti Kora-Kora Matcha, Kopi Dua Darjat, Chef Tako dan banyak lagi vendor lain menjual pelbagai jenis juadah makanan dan minuman di “KAB Food Fiesta 2023” yang diadakan bermula semalam.

Menurut Ketua Pengarah Program KAB Food Fiesta 2023, Muhammad Alif Qayyum Bin Ramli (Ijazah Sarjana Muda Sains Genetik, 2) berkata matlamat acara ini dijalankan adalah untuk memberi inspirasi dan galakan dalam keusahawanan di kalangan mahasiswa di Kolej Aminuddin Baki.

“Objektif penganjuran acara ini adalah untuk menggalakkan kebitaraan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa di Kolej Aminuddin Baki,” ujarnya.

Menurutnya lagi, terdapat juga kelainan dalam acara kali ini dengan penampilan kesemua vendor makanan popular yang datang dari luar kawasan universiti.

“Tahun ini semua vendor terdiri daripada vendor luar dan tiada vendor daripada pelajar-pelajar UKM yang menampilkan vendor-vendor popular seperti Ngopi, Kora-Kora Matcha dan Araska Cameron Highland,” katanya lagi.

Bukan sahaja kehadiran pelbagai jenis vendor makanan dan minuman yang menjadi tarikan, malah acara ini juga dapat membuka peluang perniagaan kepada vendor makanan tempatan untuk berniaga di kampus.

Salah seorang peniaga, Muhammad Suhaimi, 49, berkata keuntungan dan manfaat yang diperoleh melalui acara ini juga bergantung kepada nasib dan strategi pengiklanan yang dijalankan oleh pihak penganjur katanya.

"Ada kalanya menjadi dan ada kala tidak jadi mungkin bergantung kepada beberapa keadaan dan kalau tidak menjadi mungkin kerana kurang pengiklanan dijalankan," katanya ketika ditemui pada hari pertama acara diadakan.

Dia juga berkata jualannya hanya akan mendapat sambutan pada waktu pagi dan malam sahaja atas faktor jenis juadah makanan yang dijual olehnya.

"Selalunya pada waktu pagi dan malam sahaja pelajar akan ramai membeli juadah di gerai saya kerana kebanyakan makanan yang saya jual adalah makanan seperti roti canai pisang nutella, kerabu maggi, dan lain-lain,” katanya.

Selain itu, pengunjung Nur Aliyah Binti Supni, 21 (Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kimia, 2) berkata pesta makanan yang mengumpulkan pelbagai vendor makanan dan minuman ini menarik kerana pengunjung terutamanya pelajar di UKM boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan yang unik pada satu tempat.

“Pengunjung terutamanya kami pelajar yang suka makan pasti seronok mencuba pelbagai jenis makanan yang ada di sini kerana tidak perlu fikir nak makan di mana dan semua makanan yang dijual di sini nampak menarik,” katanya ketika ditemui.

Malah pelajar tersebut juga menyatakan bahawa dia berpeluang untuk mencuba beberapa jenis produk makanan tempatan yang belum pernah dirasai sebelum ini.

“Ada juga makanan dan minuman yang sedap yang belum pernah saya cuba sebelum ini dan agak menarik untuk disyorkan kepada rakan-rakan lain yang belum datang di sini,” katanya lagi.



22 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page