top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

KAB Kekal Rekod Kemenangan SUKEM 11 Tahun Berturut-turut

Penulis: Intan Sabrina Hanapi

Penyunting: Nur Aleeya Alisha Mohammed Farish

Sumber: Nureen Izzati


BANGI, 21 Nov- Kolej Aminuddin Baki (KAB) telah dinobatkan sebagai juara secara keseluruhan bagi Kejohanan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) sekaligus berjaya mengekalkan kejuaraannya selama 11 tahun berturut-turut yang melibatkan 271 atlet di Stadium UKM baru-baru ini.


Kejohanan Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (SUKEM) 2023 telah dilaksanakan dengan melibatkan sebanyak 12 kolej secara 2 fasa iaitu fasa pertama pada 3 hingga 5 November manakala fasa kedua pada 17 hingga 20 November dan sebanyak 33 acara termasuk acara balapan, acara padang dan acara woodball telah dipertandingkan.


KAB telah memperoleh sebanyak 22 pingat emas, 10 pingat perak dan 14 gangsa serta memenangi tempat ke-8 bagi pertandingan perbarisan pada malam itu sejurus menjadikan mereka johan secara keseluruhan Kejohanan Sukan UKM 2023.


Menurut Timbalan Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Dr. Lai Wei Sieng, 37, berkata KAB telah merangka strategi pada setiap tahun bagi memastikan misi mengekalkan kejuaraan dapat dicapai.


“Bagi memastikan KAB menjadi juara bertahan SUKEM, kami telah merangka pelbagai strategi antaranya dengan mencungkil bakat atlet baru dalam kalangan pelajar tahun 1 dan pada masa yang sama memastikan atlet senior terus bersemangat untuk menyumbang kepada kolej serta memberi tunjuk ajar kepada mereka bagi penyediaan semasa latihan dijalankan atau semasa kejohanan sedang berlangsung.


“Felo kolej dan MEP sukan juga turut membuat pemantauan kepada semua atlet dengan mengaturkan susunan mereka dalam penyertaan pelbagai acara bagi SUKEM 2023 dan penyediaan keperluan atlet-atlet yang terlibat.


“Sokongan dari segi moral juga turut diberikan kepada semua atlet bagi memastikan mereka semua mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menyumbang pingat kepada kolej,”katanya kepada Nadi Bangi.


Menurut Dr Lai, beliau berharap agar atlet KAB pada tahun hadapan akan terus memberikan persaingan dengan sebaiknya bagi mengekalkan status juara keseluruhan yang dicapai sehingga kini.


Nadi Bangi sempat menemubual Majlis Eksekutif Pelajar Sukan Kolej Aminuddin Baki, Nureen Izzati, 20, yang menyatakan beliau tidak menyangka akan kemenangan yang diraih pada hari itu kerana tidak ramai atlet dari Sukan dan Rekreasi (SUKRES) yang dihantar sebagai wakil pada tahun ini.


“Sudah tentu sebagai MEP Sukan KAB pada tahun ini, saya agak tercabar untuk mengekalkan status juara keseluruhan yang dipegang oleh KAB untuk 10 tahun berturut-turut namun apabila KAB sekali lagi diumumkan sebagai juara keseluruhan, saya berasa amat lega dan bangga.


“Sejujurnya, bagi SUKEM tahun ini saya hanya meletakkan harapan sebanyak 50 peratus sahaja kerana kali ini tidak ramai atlet dari Fakulti Pendidikan yang merupakan ahli SUKRES dihantar sebagai wakil kolej kami.


“Bagi persediaan SUKEM kali ini, saya hanya fokuskan kepada para atlet manakala bagi pertandingan perbarisan pula saya serahkan kepada MEP kebudayaan kolej,” katanya kepada Nadi Bangi.


Nureen juga berkata, kebanyakkan persediaan dilakukan pada saat-saat terakhir terutamanya bagi pertandingan perbarisan namun beliau tetap bangga dengan pencapaian yang diperoleh pada malam itu.

44 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page