Nadi Bangi
Kak Shikin Penyelamat Haiwan Jalanan Di Hentian Kajang
Oleh : Nur Liana Afandi
Penyunting : Muhammad Aiman Shaharudin

KAJANG, 8 Dis. - Keprihatinan salah seorang penduduk Sungai Chua, Nor Asikin Hassan, 49 atau lebih mesra dengan panggilan Kak Shikin dianggap sebagai penyelamat haiwan apabila beliau secara sukarela mengagihkan sumbangan bekalan makanan kepada haiwan jalanan, di kawasan Hentian Kajang.
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan kes Covid-19 yang kini mencatatkan seramai 2166 individu positif di sekitar Plaza Hentian Kajang, aktiviti perniagaan seperti kedai runcit, restoran dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian masyarakat malahan haiwan jalanan turut terkesan akibat penularan wabak ini.
Pada awalnya, beliau menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada seorang rakannya yang terperangkap di Plaza Hentian Kajang kerana pelaksanaan PKPD selama sebulan yang mula berkuat kuasa pada 28 Oktober untuk tempoh dua minggu sebelum dilanjutkan lagi sehingga 24 November.
Rakannya memaklumkan bahawa kucing dan anjing yang berkeliaran di sekitar kawasan tersebut turut terkesan apabila menghadapi masalah kebuluran kerana tidak menerima sumber makanan dari premis perniagaan seperti restoran makanan ekoran pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam tempoh PKPD.
Menurut Kak Shikin yang bekerja di Syarikat Coway berkata, “Saya pencinta kucing. Saya memang mengambil berat terhadap kebajikan haiwan jalanan sejak dari dahulu lagi. Di dalam kereta saya, memang ada bekalan makanan kucing untuk saya beri sekiranya saya terjumpa kucing atau anjing kelaparan”.
“Anggaran sumbangan yang dikumpulkan daripada orang ramai sebanyak RM2400 disalurkan ke akaun bank saya sebagai wakil untuk membelikan beberapa bungkus makanan dalam pek yang besar dan dihantar kepada rakan saya di Plaza Hentian Kajang dengan keizinan daripada petugas keselamatan”, katanya kepada Nadi Bangi.
Kebiasaannya, bekalan makanan untuk haiwan jalanan adalah mencukupi untuk tempoh beberapa hari sebelum beliau kembali menghantar bekalan makanan yang baru. Beliau telah menguruskan sumbangan makanan sebanyak 7 kali dan masih mempunyai baki wang yang dijangka habis pada pemberian sumbangan yang ke 10.
Faktor kenderaan yang kecil menyebabkan beliau tidak boleh membeli dan menghantar makanan bersaiz pek besar dalam kuantiti yang banyak serta melebihi had muatan kenderaannya.
Kak Shikin menyarankan agar setiap beg rakyat Malaysia mempunyai satu pek kecil makanan haiwan untuk diberikan kepada kucing dan anjing yang kelaparan setiap kali berjumpa dengan haiwan jalanan ini.
Semua insan di muka bumi ini perlu memiliki rasa kasih sayang dan belas ihsan kepada haiwan, terutamanya kepada kucing dan anjing jalanan yang kelaparan. Diharapkan supaya masyarakat tidak hanya memberi sumbangan dalam waktu pandemik sahaja.
Tetapi, diingatkan agar terus konsisten dalam inisiatif pemberian bekalan makanan bagi membela nasib haiwan jalanan tersebut. Amalan berkongsi rezeki dengan setiap makhluk ciptaan Tuhan menjadi salah satu asbab kepada pertambahan rezeki seseorang.