Penulis: Natrah Laili Abdul Aziz
Penyunting: Nur Syuhada Abdul Jalil
Foto: Noor Asheeqa Aquila Abd Aziz
Noor Asheeqa didampingi ibu bapanya semasa meraikan Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia ke 49
BANGI, 12 Dis - Seorang gadis yang memuat naik kisah hidupnya mengidap kanser Hodgkin Lymphoma tahap 3B bukan penghalang untuk menghabiskan pengajian dan telah memberi inspirasi kepada warga TikTok apabila video yang dimuat naik tular di aplikasi tersebut.
Noor Asheeqa Aquila Abd Aziz, 24, merupakan graduan dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menceritakan bahawa menghidap kanser limfoma bukan penghalang baginya untuk menggenggam segulung ijazah walaupun terpaksa menangguh pengajian sebanyak dua kali.
Menerusi tinjauan wartawan Nadi Bangi, video tersebut telah mendapat 212.6k tontonan serta memperolehi 35.5k likes, 1281 komen serta dikongsi sebanyak 475 kali oleh pengguna aplikasi TikTok dalam tempoh 4 hari selepas dimuat naik.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Bangi, Noor Asheeqa memberitahu bahawa salah satu inspirasi hidupnya untuk terus berjuang adalah agar dapat membalas segala jasa kebaikan untuk keluarga dan individu sekeliling yang berada bersamanya sewaktu diuji kanser limfoma.
“Saya terapkan unconditional love agar lebih ramai mendoakan kesejahteraan saya. Saya turut kuatkan semangat untuk terus berjuang supaya dapat membantu masyarakat yang senasib dengan nasib.” Tambahnya lagi.
Noor Asheeqa turut berkongsi pengalaman hidupnya di media sosial Instagram tentang kepahitan hidup di dalam mengharungi cabaran menyambung pengajian.
“Sakit bukan pilihan kita, semua org kalau boleh nak sihat. Bila nikmat sihat ditarik, semuanya terjejas. to be honest, Shqa terpaksa limitkan diri dari banyak perkara. Jiwa meronta nak buat itu ini but badan tak mampu!!”
Menurutnya lagi, perasaan sedih dan hiba tetap dirasa meski mendapat pelbagai dorongan dan kata kata semangat daripada rakan rakan serta keluarga. Namun jasa yang diberikan oleh mereka tidak akan dilupakan begitu sahaja dan diambil sebagai pembakar semangat menghadapi cabaran ini.
“Pensyarah FSSK banyak memberikan motivasi untuk meneruskan pengajian, mereka banyak memberi sokongan kepada saya sepanjang pengajian. Malahan, pengetua Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) antara individu yang sering memberikan galakan untuk sentiasa positif.” Katanya lagi.
Nasihatnya, teruskan menjaga hubungan dengan semua orang yang ada di sekeliling tanpa mengharapkan balasan daripada mereka.
Noor Asheeqa turut menyatakan bahawa dia kini fokus dalam memberikan kesedaran berkaitan kanser agar dapat membantu rakan-rakan yang masih berjuang melawan penyakit kanser.
Usaha yang dilakukan tanpa henti pasti akan membuahkan hasil yang setimpal. Video yang berdurasi 36 saat itu telah memberikan semangat kepada pengguna media sosial TikTok dalam mencapai impian mereka biarpun menghadapi pelbagai rintangan dan ujian di dalam hidup.
Comentários