top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Karnival Konvokesyen Ke-47 Melabuhkan Tirai Dengan Meriah

Oleh: Nur Nadzra Natasha Binti Zulkifli

Editor: Muhammad Sahrul Fahiz Bin Mat Ariff


Sumber: Nadzra Natasha

BANGI, 11 Nov – Karnival Konvokesyen UKM Ke-47 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPP UKM) yang bertempat di Perkarangan Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM akhirnya melabuhkan tirai malam tadi selepas berakhirnya pertandingan Tarian Filem Melayu Klasik.


Karnival konvokesyen (KAKON) yang diadakan pada setiap tahun ini membuat perubahan apabila tema pada tahun ini berbeza dari tahun sebelumnya iaitu “Mahasiswa Pemangkin Varsiti” di mana UKM telah meletakkan sasaran untuk mendekatkan universiti dan mahasiswa kepada masyarakat terutama mereka yang tinggal di sekitar Bangi, Selangor.


Menurut Ketua Pengarah Program Karnival Konvokesyen UKM Ke-47, Faris Osman, pelajar Tahun 3 Jurusan Sains Komputer berkata, objektif utama karnival konvokesyen tahun ini adalah untuk mendekatkan mahasiswa kepada masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan sepanjang berlangsungnya karnival ini yang mana ianya bersesuaian bagi setiap lapisan umur.


“Aktiviti yang kami anjurkan tahun ini lebih bersifat kemasyarakatan contohnya seperti Program UKM Share yang sesuai untuk dihadiri oleh golongan peringkat umur yang lebih tinggi dan pertandingan Beyblade yang dijalankan bagi menarik perhatian pengunjung kanak-kanak supaya karnival ini disambut dengan meriah.


“Bukan itu sahaja, salah satu pertandingan yang dijalankan pada sebelah malam iaitu Pertandingan Nasyid turut mempunyai kelainan apabila ianya dijalankan secara terbuka kepada semua Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia dan apa yang menariknya sebanyak 8 buah IPT termasuk UKM sendiri menyertai pertandingan ini termasuklah beberapa buah universiti awam lain seperti UMK, UMP dan USM.”


Semasa berucap dalam majlis penutupan Karnival Konvokesyen yang dirasmikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Ir Dr. Othman A. Karim selaku Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, beliau berbangga dan menunjukkan tanda penghargaan kepada sekretariat yang bertungkus- lumus dalam menjayakan karnival ini.


“Tahniah kepada barisan penganjur terutamanya ketua pengarah serta jawatankuasa pelaksana kerana berjaya menjayakan program yang sangat meriah serta berjaya mencapai objektif iaitu untuk mendekatkan universiti dan masyarakat di kawasan ini.”


Turut hadir pada malam tersebut ialah Puan Hazelina Ghazaly selaku Pegawai Kebudayaan UKM, Dato Dr. Syed Kamaruddin Hj. Sadak yang merupakan Ketua HEPA UKM serta penyanyi jemputan Wani Kayrie yang memeriahkan lagi majlis pada penutupan Karnival Konvokesyen UKM Ke-47.

119 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page