top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Karnival MultiOne Menerapkan Nilai Keusahawanan

Oleh: Syahzanani Sajidah

Penyunting: Fazlan Kamaruzaman



Sumber : Syahzanani Sajidah


BANGI, 10 Mac – Exco Multimedia dan Publisiti (Multi) bersama Exco Keusahawanan dan Inovasi (One) di bawah Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan (PMFSK) telah menganjurkan sebuah Karnival MultiOne pada 7 Mac yang lalu di Dataran Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Bertemakan Usahawan Era Digital, karnival ini merupakan kesinambungan dari program Karnival Siswa (Kaswa) di mana sebelum ini ianya berskala kecil dan hanya dijalankan di Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Kuala Lumpur.


Objektif Karnival MultiOne adalah untuk menerapkan nilai keusahawanan seiring dengan kemajuan teknologi seperti penggunaan aplikasi Boost dalam membuat pembayaran secara atas talian.


Pelbagai aktiviti yang disediakan seperti kempen menderma darah, forum keusahawanan, demo masakan, bengkel mobilgrafi dan konsert mini yang turut dimeriahkan oleh beberapa artis jemputan Emilia Omar, Shazriq, Faizzwan dan Soundsix.


Sebanyak 24 jenis gerai termasuk food truck menjual barangan seperti makanan, pakaian dan barangan solek yang turut dijual oleh pelajar dari karnival itu sendiri.


Menurut Nurfazilah Sulaiman, Ahli Majlis Tertinggi Karnival MultiOne yang juga merupakan pelajar jurusan Sarjanamuda Bioperubatan, 2, mengatakan keunikan bagi karnival kali ini apabila pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan dapat mempraktikkan pengalaman dan ilmu yang dipelajari dalam karnival.


“Banyak kelab yang terlibat dalam menjayakan karnival ini seperti kelab bioperubatan, audiologi, optometri dan lain-lain”.


“Para pelajar dapat membuat pemeriksaan kesihatan kepada pengunjung, memberi kaunseling dan menggalakkan pengunjung untuk melakukan pemeriksaan berkala di fakulti kami, ini sekaligus dapat mempromosikan UKM pada masyarakat khususnya Fakulti Sains Kesihatan”, tambah Nurfazilah.


Noor Ashikin, pelajar jurusan Sarjanamuda Komunikasi Media tahun 2, merupakan salah seorang pengunjung di karnival tersebut mengatakan, “Karnival yang diadakan sangat bagus kerana selain dapat membeli dan berhibur, saya juga dapat menderma darah kepada mereka yang memerlukan”.


Bagi Nur Hasina yang juga merupakan pelajar Sarjanamuda Komunikasi Media tahun 2, “Saya tertarik dengan karnival ini kerana ia menggunakan aplikasi Boost untuk membayar barangan di mana bagi saya ianya memudahkan dan cepat”.


Karnival MultiOne ini telah dirasmikan oleh Penolong Dekan Keusahanawan Dan Kreativiti, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Kuala Lumpur, Prof. Madya. Dr. Zahara Abdul Manaf.


Dalam teks ucapan yang diberikan oleh Prof. Madya. Dr. Zahara Abdul Manaf, beliau mengatakan bahawa sasaran program adalah untuk mencungkil bakat dan potensi pelajar dalam bidang multimedia dan membantu pelajar menjadi usahawan era digital.

98 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page