• Nadi Bangi

Karnival Rahmah Varsiti KPZ Disambut Meriah

Oleh: Ateefa Zulkifli

Penyunting: Muhammad Sahrul Fahiz



BANGI, 25 Okt – Kolej Pendeta Za'aba (KPZ) buat julung kalinya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Karnival Rahmah Varsiti (KRAVA) pada 19 dan 20 Oktober yang lalu.


Karnival Rahmah Varsiti ini merupakan kesinambungan daripada Karnival Rahmah Kebangsaan yang berlangsung September lepas di Putrajaya.


Ketua Pengarah Karnival Rahmah Varsiti (KRAVA), Nur Syahira Syamimi Binti Razali, 21, berkata, "Objektif program ini adalah untuk memperkenalkan konsep rahmah kepada mahasiswa dengan lebih dekat supaya konsep rahmah itu dapat diterapkan dalam kehidupan seharian kita melalui program-program yang diadakan."


Terdapat lima siri Karnival Rahmah Varsiti yang akan berlangsung dari masa ke masa sehingga Mac 2020. Pada KRAVA Siri 1 ini, penekanan diberikan untuk memperkenalkan secara terperinci mengenai Karnival Rahmah kepada umum sebelum diteruskan kepada siri-siri lain dengan pelbagai pendekatan berbeza seperti kepimpinan, diskusi dan keusahawanan.


"Saya berasa gembira kerana karnival ini telah mendapat sambutan yang luar biasa apabila hampir 1000 pengunjung datang pada hujung minggu lepas kerana pada mulanya sasaran sambutan hanya sekitar 600-700 pengunjung." jelas Nur Syahira Syamimi Binti Razali, 21.


Menurut salah seorang pengunjung KRAVA, Nur Syamimi Binti Mohd Saufi, pelajar Sarjanamuda Pengajian Al-Quran As-Sunnah tahun 1, "Pada pendapat saya, pendekatan yang dibawa di dalam karnival ini bagus terutamanya ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Hariri dan Ustazah Nazirah dari JAKIM, yang rata-rata kandungan ceramahnya mengenai martabat wanita dan perbezaan layanan wanita pada zaman dahulu berbanding sekarang."


Aida Yasmin, 21, pelajar Sarjanamuda Komunikasi Media tahun 3 berkata, "Secara umumnya, ia merupakan sebuah program yang baik namun pihak pengurusan KRAVA perlu ada pelan tambahan apabila berlaku kejadian yang tidak dijangka kerana jumlah khemah yang disediakan untuk pengunjung agak terhad, jadi apabila hujan turun pada malam perasmian itu, kami perlu berteduh di bawah gerai jualan pula."


Terdahulu terdapat tiga program dibawah KRAVA iaitu Girls2Care, Bicara Siswa dan Za'aba Street (ZAST) dan antara aktiviti yang telah dijalankan pada KRAVA siri 1 ini ialah senamrobik, pertandingan mewarna, pertandingan beyblade, pertandingan kaligrafi dan pertandingan azan. Pada masa yang sama terdapat 30 gerai-gerai jualan makanan, aksesori, kecantikan dan kesihatan serta seni kraf.


Sementara itu, Karnival Rahmah Varsiti 2019 ini telah dirasmikan oleh Datin Seri Zuraida Binti Husin, isteri YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) pada hari sabtu, 19 Oktober 2019.

227 views0 comments