top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Karya Najimuddin Muif Terima Pengiktirafan Apple Dan National Geographic

Oleh: Hazwani Syairah

Penyunting: Ain Natasha



KUALA TERENGGANU, 28 April - Siapa sangka bermula sekadar hobi mengambil gambar dan video sahaja, akhirnya telah mendapat pengiktirafan dari syarikat Apple dan National Geographic melalui hasil karya yang telah berlatar belakangkan keindahan negeri Terengganu Darul Iman.


Najmuddin Muif Zulkifli, 26 yang juga merupakan graduan dalam bidang Matematik lepasan Universiti Teknologi Mara (UITM) Seremban, Negeri Sembilan yang kini bekerja sebagai seorang barista di Gong Badak, Terengganu, mula menanam minat di dalam bidang fotografi dan videografi sejak di bangku sekolah lagi. Pada awalnya minat ini hanya dilakukan secara suka-suka sahaja namun kini ia telah menjadi satu hobi yang serius malah mampu memberikan kepuasan kepada dirinya.


Ketika ditemu bual oleh wartawan Nadi Bangi, Najmuddin atau lebih mesra disapa sebagai Muif berkata bahawa beliau juga tidak menyangka bahawa karyanya terpilih di antara banyak penyertaan untuk dipaparkan oleh pihak Apple dan National Geographic. Malah, kita juga sedia maklum bahawa dua nama besar ini merupakan syarikat yang bertaraf antarabangsa dan sentiasa mendapat perhatian masyarakat dunia. Pencapaian ini sememangnya sesuatu yang membanggakan untuk semua pihak malah apa yang lebih menariknya apabila Muif banyak berkongsi foto dan video berasaskan tempat-tempat menarik di negeri Terengganu di laman media sosialnya iaitu Instagram dan Tiktok miliknya di mana secara tidak langsung telah memperkenalkan keindahan dan keunikan negeri di Malaysia ke mata dunia. Dikelilingi rakan-rakan yang turut mempunyai minat yang sama merupakan satu kelebihan buat individu ini di mana mereka sering bersama-sama dalam meneroka banyak tempat menarik di negeri itu.

Sumber: Instagram @n.muif


Pelbagai cabaran yang telah dilalui pemuda ini dalam usaha untuk memperoleh foto dan video yang bagus antaranya ialah terpaksa menyelam dan lakukan free diving untuk mengambil visual dari dalam air, bangun seawal 3 pagi untuk mengambil montaj matahari naik, mendaki bukit dan sebagainya.


“Saya terharu ada yang mesej beritahu bahawa mereka tidak pernah tahu mengenai lokasi-lokasi di Terengganu yang saya tunjukkan melalui gambar atau video malah ada juga masyarakat Thailand dan Kanada yang bertanyakan mengenai lokasi-lokasi tersebut”. Mengulas perkara itu ketika ditemu bual mengenai sambutan masyarakat atau pengikutnya di Instagram dan Tiktok. Menurut Muif juga, beliau sangat gembira apabila hampir semua postingan yang dimuat naik mendapat sambutan dan komen-komen yang positif malah beliau sangat bangga untuk memberitahu mengenai lokasi yang ditunjukkan melalui video dan foto tersebut.


Muif sebelum ini dibesarkan di Pahang dan kemudian berpindah ke Terengganu di mana sejak dari itu beliau mula jatuh cinta dengan keindahan negeri tersebut. Semenjak berpindah, beliau cuba meneroka lokasi menarik di negeri itu ditambah pula dengan hobinya yang suka mengambil gambar dan video menjadikan aktiviti ini lebih menarik serta boleh dikongsi kepada masyarakat dari dalam ataupun luar negara melalui media sosial. Tambahan lagi, kebolehan beliau untuk menerbangkan drone mampu memotretkan lebih banyak sisi keindahan negeri yang terkenal dengan tarikan semulajadi seperti pantai, pulau, sawah padi, air terjun dan sebagainya.


“Saya akan menceburi bidang video dengan lebih banyak mempromosikan tempat pelancongan terutamanya di Malaysia dengan kualiti video yang mempunyai elemen cinematic dan lebih menarik minat masyarakat” ujarnya ketika ditemu bual oleh wartawan Nadi Bangi mengenai perancangan masa hadapan beliau.


Muif juga turut menyampaikan pesanan kepada anak muda di luar sana yang berminat untuk menceburi bidang ini untuk terus belajar walaupun terpaksa bermula dari bawah dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara dalam usaha untuk terus memajukan diri sendiri. Tambahan pula, anak muda kini sememangnya telah sebati dengan media sosial jadi ia bukanlah sesuatu yang sukar untuk berkongsi aktiviti atau hobi yang dilakukan di platform tersebut.

769 views2 comments

2 Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nurliyana Atiqah
Nurliyana Atiqah
May 07, 2021

Tak pernah tak perform ❤️


Like

izzatiamer178
May 06, 2021

Padu!

Like
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page