Oleh: Ziera Adurah
Penyunting: Mariam Zamri
Keadaan semak samun di kawasan projek di tepi sebuah rumah penduduk
GOMBAK, 16 April – Kewujudan semak samun di sebuah kawasan projek milik Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS Selangor) yang terletak berdekatan dengan beberapa rumah di kawasan Taman Melewar Indah didakwa menjadi punca gangguan keselesaan kepada penduduk berdekatan dengan kawasan tersebut.
Projek tebatan banjir yang dilakukan oleh JPS Selangor ini telah mula dibina sejak tahun 1993 lagi, namun kawasan projek itu kelihatan seperti dibiarkan terbengkalai tanpa sebarang penyelenggaraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang menyebabkan wujudnya semak samun yang tebal dan hal ini menyebabkan penduduk risau akan gangguan binatang berbisa.
Menurut seorang penduduk, Rafeq Aziz, 26, berkata bahawa beliau sering ternampak binatang berbisa di kawasan semak samun tersebut.
“Ada sekali itu, saya berjaya tangkap seekor anak ular sawa. Anak ular sawa tersebut tersesat masuk ke dalam bilik air rumah saya.
"Saya pasti yang ular tersebut datang daripada semak samun yang ada di tepi rumah saya kerana kawasan itu sudah pastinya menjadi tempat tinggal kepada binatang-binatang berbisa,” ulasnya.
Seorang lagi penduduk yang telah menetap di sini selama 25 tahun, Rahimah Hashim, 61, berkata projek tersebut kelihatan seperti ianya hanya separa siap dan kini dilihat seperti ia ditinggalkan begitu sahaja.
“Kami penduduk berhampiran rasa tidak selesa kerana adanya semak samun tersebut, pagar di sekitar rumah kami juga seperti tidak diselenggara dengan baik oleh pihak yang bertanggungjawab.
“Saya risau dengan keadaan semak samun yang ada sekarang ini sebab di kawasan perumahan kami ini ramai kanak-kanak bermain di luar, saya risau jika binatang-binatang berbisa dalam semak samun itu menyerang mereka sebab saya pun dah beberapa kali ternampak biawak di sekitar rumah saya,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk di kawasan itu, Rabiah Binti Ludi, 76, menyatakan bahawa beliau sering berasa risau dengan keadaan semak samun yang terletak di belakang rumahnya itu kerana ketakutan akan ada binatang-binatang berbisa.
“Saya sering risau apabila keluar rumah untuk menyidai pakaian kerana tempat saya menyidai kain betul-betul terletak di sebelah semak samun tersebut, hanya dipisahkan oleh pagar.
“Semak samun ini juga menganggu pemandangan saya daripada melihat ke luar rumah, saya betul-betul berharap pihak yang berkuasa mampu untuk membantu kami penduduk di sini untuk menyelesaikan masalah ini,” tambah beliau lagi.
Isu semak samun ini bukanlah satu masalah yang baharu bagi penduduk setempat di sini, namun ia semakin menjadi sesuatu yang memerlukan penyelesaian dengan pantas kerana ia menganggu keselesaan penduduk.
Tinjauan di lokasi mendapati semak samun adalah tebal, pagar-pagar di kawasan sungai juga banyak yang sudah dicuri dan tiada apa-apa penyelenggaraan yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab di kawasan itu.
Menarik berita ini. Hal ini menunjukkan mungkin kita berasa perkara itu kecil sahaja tetapi memberi impaknya kepada masyarakat. Harap suara penduduk didengari oleh pihak yang berkuasa. Syabas Nadi Bangi.
Kadang kala lalu juga kawasan tersebut, memang agak terbiar dengan semak samun yang tumbuh liar menjalar. Sepatutnya pihak berkuasa tempatan menyelesaikan masalah ini dengan segera sebab bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini misalnya jika ada haiwan berbisa ataupun menjadi tempat pembiakan haiwan perosak. Bahaya jika dibiarkan begitu sahaja, pelbagai masalah lain boleh timbul jika tiada sebarang tindakan diambil. Walau apa pun, ini merupakan pendedahan yang bagus terutamanya bagi penduduk Gombak sebab dapat membuka mata masyarakat setempat tentang kewujudan kawasan sedemikian. Secara tidak langsung juga, pendedahan ini juga dapat membantu pihak berkuasa untuk lebih cakna dengan keadaan wilayah pengurusannya.