Nadi Bangi
Kdo Raja Tari KAKON 47
Oleh : Nazrin bin Zulkafli
Editor : Jesika Berliana Simatupang

BANGI, 11 Nov - Kelab Tarian Darissa Tari Kolej Dato Onn (KDO) melakar sejarah apabila membolot Anugerah Busana Terbaik dan Anugerah Persembahan Terbaik sekaligus menjadi johan keseluruhan Pertandingan Tarian Filem Melayu Klasik bersempena dengan Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-47 yang berlangsung di UKM baru-baru ini.
Pertandingan yang telah diadakan di tapak karnival konvokesyen UKM tersebut telah disertai oleh 11 buah pasukan yang mewakili kolej-kolej kediaman di UKM sendiri.
Menurut Majlis Eksekutif Pelajar Kebudayaan KDO yang juga merupakan peserta pertandingan tersebut, Muhammad Zuhair bin Azman menyatakan rasa bangga dan terharu kerana setiap persiapan yang telah dilakukan akhirnya membuahkan hasil.
“Kami memanfaatkan masa selama tiga minggu penuh bagi memastikan kesemua perkara siap dengan rapi baik dan cemerlang. Pasukan kami juga sanggup untuk meluangkan cuti pertengahan semester yang lalu demi untuk berlatih sehabis baik.”
Zuhair juga mengakui berasa sangat bersyukur kerana kelab tarian mereka berjaya merangkul gelaran juara bagi pertandingan tersebut yang pada anggapannya sangat sengit.
“Sejujurnya kami sangat bersyukur atas kemenangan yang tidak dijangkakan ini kerana bagi kami, semua pasukan mempersembahkan tarian yang hebat dan kompeten,” tambahnya.
Sementara itu, Artis Budaya Tari merangkap koreografer KDO, Muhammad Fadhil Che Sukarna, 34 semasa ditemubual wartawan Nadi Bangi pula menyatakan bahawa beliau tumpang gembira atas pencapaian yang anak-anak didiknya itu.
“Pencapaian ini merupakan pencapaian tertinggi Kelab Darissa Tari sepanjang saya mengajar di sini. Mereka berusaha keras untuk memberikan yang terbaik bagi kolej mereka.
“Saya mengharapkan agar Kelab Darissa Tari terus maintain dengan pencapaian tersebut dan jangan pernah ‘hilang’ apabila ada pertandingan seperti ini,” katanya yang jelas meletakkan harapan tinggi pada kelab tarian tersebut.
Pelajar tahun tiga Keusahawanan dan Inovasi yang juga merupakan salah seorang penari kelab tersebut, Nur Azliyana binti Ahmad pula berkata “perasaan apabila memenangi pertandingan tarian ini sudah semestinya gembira dan kami sesungguhnya tidak mengjangkakan kemenangan ini kerana saingan terlalu banyak.
“Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana penat lelah yang telah kami tempuh sepanjang sesi latihan akhirnya terbalas,” jelasnya.
“Sebenarnya saya menjangkakan kemenangan berpihak kepada Kolej Ibrahim Yaakob (KIY) atau Kolej Aminuddin Baki (KAB) yang mana bagi saya koreografinya telah menarik minat hati para penonton yang hadir pada malam tersebut.
“Berkaitan busana terbaik, kami sebenarnya hanya merancang untuk mengenakan busana yang menaikkan seri muka penari dengan warna-warna yang menarik seperti hijau, merah dan juga kuning. Anugerah Busana Terbaik ibarat bonus bagi kami” tambahnya lagi.
Selain KDO, Kolej Pendeta Za’aba (KPZ) dan juga Kolej Aminuddin Baki (KAB) berjaya mendapat tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan tersebut dengan masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 dan RM300. Malam penutupan tersebut diakhiri dengan persembahan khas daripada Wani Kayrie.