Nadi Bangi
Kebimbangan Rakyat Punca Pembelian Panik
Updated: Mar 21, 2020
Oleh: Fazlan Kamaruzaman
Penyunting: Syahzanani Sajidah

Sumber: Facebook
BANGI, 20 Mac – Rakyat Malaysia berpusu-pusu ke pasar raya dan kedai runcit pada Isnin lepas untuk membeli barang keperluan berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap peningkatan kes wabak COVID-19 di negara ini.
Tinjauan yang dilakukan di Pasar Raya Giant Kipmall Bangi, dapat dilihat rak-rak mulai kosong, troli dipenuhi dengan makanan sebagai bekalan dan barisan panjang yang luar biasa serta pekera-pekerja pasar raya yang sibuk mengemas kini stok barangan.
Antara barangan harian yang kehabisan stok di pasar raya adalah beras, telur, sayur-sayuran dan barangan basah seperti ikan dan juga daging. Perkara menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak memahami pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia baru-baru ini.
Seorang suri rumah berumur 37 tahun, Fadillah Kamaruzaman berkata dia membeli bekalan makanan dan barangan harian sebagai langkah berjaga-jaga kerana berkemungkinan perintah berkurung akan diumumkan oleh pihak kerajaan.
“Saya berbelanja lebih daripada kebiasaan kerana melihat wabak ini semakin cepat merebak di negara kita,”
“Saya risau jika kerajaan mengumumkan perintah berkurung dalam masa yang terdekat, jadi saya mengambil keputusan untuk membeli bekalan makanan tetapi masih berpada-pada bagi memberi peluang kepada pengguna yang lain,” katanya kepada wartawan Nadi Bangi.
Ashraf Ismail, 18 tahun yang bekerja di pasar raya berkenaan pula berkata beban kerja semakin bertambah kerana boleh dikatakan bilangan pelanggan yang berkunjung ke pasar raya berkenaan bertambah sebanyak dua kali ganda semenjak penularan wabak COVID-19 berlaku.
“Kebanyakan pelanggan membeli satu troli penuh dan dapat dilihat barangan di rak-rak habis dalam sekelip mata, ada juga pelanggan yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sahaja troli yang dipenuhi dengan barangan dan tidak melakukan pembayaran di kaunter”,
“Saya berharap agar pelanggan lebih bertanggungjawab dalam menangani situasi ini,’ ujarnya ketika ditemu bual.
Sementara itu, Menteri Perdagangan DalamNegeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi merayu agar rakyat Malaysia bertenang dan menghentikan pembelian panik kerana bekalan masih mencukupi untuk tempoh 14 hari.
“Kami merayu supaya rakyat tidak membuat pembelian panik kerana situasi semasa tidak memerlukan rakyat untuk bertindak sedemikian, bekalan kita mencukupi jadi tak perlulah panik dan kami akan pastikan bekalan di pasar raya serta kedai runcit mencukupi sehingga wabak ini reda”, katanya di pejabat beliau di Putrajaya hari ini.
Orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan pembelian panik dengan segera dan peka akan setiap pekeliling dan pengumuman yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.