• Nadi Bangi

Kecacatan Fizikal Bukan Bahan Jenaka

Penulis: Danish Muqrieyz Jamaluddin

Penyunting: Ameruddin Mohamah Nor

Sumber: Google


Baru-baru ini tular satu video pendek di media sosial apabila terdapat beberapa individu melakukan satu aksi yang dikatakan sebagai gurauan terhadap golongan OKU. Hal ini telah mendapat kecaman oleh seluruh pengguna media sosial yang lain terhadap tindakan dua wanita apabila mereka berlakon seperti golongan tersebut sebelum memasuki tandas khas yang disediakan untuk golongan OKU di sebuah stesen minyak. Dalam video yang dimuat naik itu, kedua-dua individu tersebut yang dipercayai sebagai penunggang basikal lajak berdasarkan cara pemakaian dan dilihat mereka sedang bergelak ketawa apabila salah seorang daripada mereka berlakon berjalan seperti mengalami kecacatan ketika memasuki tandas yang dikhaskan untuk golongan OKU.


Di samping itu, satu lagi isu yang mendapat perhatian daripada pengguna media sosial adalah apabila lot parkir khas untuk golongan (OKU) telah disalah guna. Terdapat sekumpulan lelaki muda yang merupakan salah seorang media sosial influencer tergamak untuk berkongsi tips untuk mudah mendapat parkir di kawasan sesak. Rakaman video Tiktok yang dihasilkan oleh mereka tentang tips untuk mudah dapat parkir dengan mengambil parkir khas yang disediakan oleh golongan OKU dan berlakon seperti orang cacat apabila keluar daripada kereta. Sudah semestinya tindakan mereka itu mendapat kecaman daripada pengguna media sosial malah mereka juga dianggap sebagai biadap.


Kerajaan sentiasa menekankan penyertaan seluruh rakyat Malaysia dalam pembangunan negara. Dalam gagasan negara, Malaysia mengiktiraf kewujudan setiap anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, paras rupa dan tahap keupayaan fizikal serta mental dalam agenda kemakmuran negara. Dalam hal ini, orang kurang upaya (OKU) juga antara kelompok penting masyarakat yang tidak boleh diabaikan oleh setiap lapisan masyarakat yang lain.

Laporan Polis Tetap Dibuat Walaupun Sudah Maafkan

Isu ini juga telah mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Negara (Wakil OKU) iaitu Senator Datuk Ras Adiba yang telah menyelar tindakan individu yang terlibat sebagai biadap. Beliau memberi amaran dan meminta agar individu yang terlibat dalam menghasilkan video-video yang kurang beretika itu supaya memohon maaf kepada seluruh komuniti atau golongan OKU menerusi satu video yang telah dimuat naik oleh beliau sendiri. Menurut petikan daripada Harian Metro, Ras Adiba bagaimanapun telah membuat laporan polis berhubung dengan video yang tular terbabit. Beliau berkata, meskipun sudah menerima permohonan maaf daripada individu yang terbabit, laporan polis masih perlu dibuat.


“Saya perlu jelaskan laporan polis ini dibuat supaya kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempersendakan golongan OKU, seperti kami ini tidak mempunyai harga diri. Kami adalah sebahagian daripada keluarga Malaysia jadi kami mempunyai hak menyuarakan apa yang kami rasai ketika ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.


Ras Adiba turut menasihatkan para influencer media sosial untuk tidak menjadikan golongan OKU sebagai satu bahan untuk dipersendakan hanya untuk menarik penonton di media sosial mereka.


Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai pula, aduan telah diterima oleh pihaknya setelah pengadu menonton dua klip video yang dimuat naik di Tiktok itu.


“Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan sama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian. Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar,” katanya.


Tingkatkan Kesedaran Dalam Kalangan Masyarakat

Kesedaran terhadap wujudnya golongan OKU dalam masyarakat ini sepatutnya dipupuk sejak kecil lagi agar golongan tersebut tidak dipinggirkan dalam masyarakat. Peranan ibu bapa sangat besar untuk mengajar anak-anak mereka sifat ehsan dan kasih sayang supaya mereka tidak berasa takut atau terancam apabila mendekati golongan tersebut.


Kesedaran yang dipupuk sejak kecil ini secara tidak langsung akan membentuk sikap suka membantu kepada mereka yang lebih memerlukan dalam diri anak-anak apabila mereka meningkat dewasa. Mereka juga akan lebih menghormati hak orang lain dan ini dapat membuatkan kemudahan atau hak yang disediakan untuk golongan OKU terjaga dan dihormati. Tidak ada lagi salah guna kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk golongan ini. Tidak perlu lagi meletakkan kon di parkir kenderaan OKU bagi menghalang pemandu bukan OKU meletakkan kenderaan mereka dan tidak ada lagi kes masyarakat yang sengaja menggunakan tandas khas golongan tersebut atas kepentingan diri sendiri.


Perlaksanaan pendidikan mengenai komuniti OKU juga amatlah penting. Sektor pendidikan terutamanya boleh dijadikan tempat untuk permulaan usaha ini kerana ianya mudah untuk menyampaikan maklumat. Pendidikan mengenai komuniti OKU boleh dilaksanakan sebagai salah satu sukatan pembelajaran. Kesan daripada pendidikan ini ialah untuk membuatkan masyarakat Malaysia lebih peka mengenai keperluan asas golongan OKU dan secara tidak langsung mewujudkan kesedaran terhadap komuniti OKU. Perkara ini bukan sahaja membabitkan aspek kebajikan, malah dalam aspek perkhidmatan, peluang pendidikan dan juga peluang pekerjaan terhadap komuniti OKU.


Berdasarkan isu yang disebut diatas, ianya menggambarkan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang menganggap bahawa ianya adalah satu perkara yang sensitif untuk dibuat bahan jenaka atau menjadikan mereka sebagai content untuk akaun media sosial masing-masing. Sebagai salah seorang influencer media sosial, mereka sepatutnya mencari kandungan yang bermanfaat dan lebih bersifat kemasyarakatan ataupun kandungan yang mampu memberi input yang baik kepada masyarakat, bukannnya kandungan yang mempersendakan golongan tertentu hanya untuk menarik penonton di media sosial masing-masing.

62 views0 comments

Related Posts

See All