Oleh: Marllisa Anttonysamy
Penyunting: Aqilah Azanil
Sumber : easelly
Jualan terbesar sepanjang tahun iaitu Black Friday dan Cyber Monday telah berlangsung pada 27 November dan 30 November lalu di seluruh dunia terutamanya di Amerika Syarikat (US), namun Malaysia juga turut tidak ketinggalan. Potongan harga secara besar-besaran pada kebanyakan produk menyebabkan ramai pembeli tertarik untuk membeli-belah tidak kira secara fizikal atau atas talian.
Black Friday diadakan pada hujung bulan November iaitu selepas Thanksgiving untuk menunjukkan bermulanya musim percutian. Peniaga akan membuat potongan hebat sehingga mampu menarik pelanggan dari serata dunia untuk membeli-belah tanpa berfikir panjang. Pembeli sanggup beratur di luar premis perniagaan sebelum waktu pembukaan. Namun, pada tahun ini dapat dilihat kelainan yang ketara pada gaya pembelian orang ramai disebabkan oleh pandemik yang telah melanda seluruh dunia. Pembeli perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan segelintir pembeli berasa leceh untuk ke premis perniagaan lalu kebanyakan pembeli berubah kepada pembelian secara atas talian.
Cyber Monday jatuh pada hari Isnin sejurus berlakunya Black Friday. Dapat dilihat dari namanya sahaja, bahawa jualan ini hanya berlaku atas talian. Sejak tahun 2005, Cyber Monday dipromosikan secara sengaja atas talian untuk menggalakkan orang ramai menggunakan Internet. Ellen Davis dan Scott Silverman dari US National Retail Federationdan Shop.org telah memperkenalkan istilah ini. Tujuan asal Cyber Monday adalah untuk membantu peruncit yang lebih kecil bersaing dengan jenama besar yang telah mengadakan promosi pada Black Friday. Namun, lama-kelamaan kebanyakan jenama besar turut mempromosikan produk mereka pada Cyber Monday.
Berdasarkan Adobe Analytics, Cyber Monday menjadi jualan dalam talian terbesar dalam sejarah dengan hasil jualan antara $10.8 bilion hingga $12.7 bilion atas talian di Amerika Syarikat sahaja. Shopify, yang merangkumi lebih dari satu juta perniagaan di 175 negara, menunjukkan jualan Black Friday meningkat sebanyak 75 peratus menjadikan $2.4 bilion. Bandar yang merekodkan jualan paling terlaris adalah New York, London dan Los Angeles dengan pembelian terbanyak adalah aksesori dan pakaian.
Di Malaysia, selama sepuluh tahun, dapat dilihat peningkatan dalam penjualan semasa Black Friday berbanding denganCyber Monday, menunjukkan penurunan penjualan pada dua tahun lepas. Menurut Google Trends, pada hari utama penjualan Black Friday, jumlah urus niaga adalah 314 peratus lebih tinggi daripada purata tahunan dan jumlah urus niaga Cyber Monday adalah 40 peratus lebih tinggi daripada purata tahunan.
Walaupun Black Friday dan Cyber Monday tidak begitu popular di Malaysia berbanding dengan Amerika Syarikat, namun anda tidak akan mahu melepaskan peluang mendapatkan produk kegemaran anda dengan harga yang jauh lebih murah setahun sekali. Anda peminat Nike atau Adidas? Sudah lama teringin untuk membeli Nike Air Force atau Nike Air Max? Terdapat 35 peratus pemotongan harga untuk produk terpilih dan juga banyak lagi tawaran yang menarik. Adidas juga menawarkan 40 peratus diskaun untu kasut idaman anda. Ingin bercuti selepas pandemik berakhir? TUMI Malaysia memberi anda 20 peratus diskaun untuk bagasi kegemaran anda untuk dibawa melancong ke destinasi impian anda. Zaman semakin moden dan hampir semua kenangan disimpan dalam telefon pintar sahaja. Inilah masa yang sesuai untuk kumpulkan kesemua momen indah anda dan mencetaknya di Photobook Malaysia. Jangan lepaskan peluang anda untuk mendapatkan tawaran sehingga 90 peratus dan banyak lagi hadiah menarik menanti anda.
Black Friday dan Cyber Monday sudah berlalu tetapi masih belum terlambat lagi. Dapatkan produk kegemaran anda sebelum kehabisan stok. Amazon, Shopee, Lazada dan banyak lagi platform membeli-belah atas talian yang dapat digunakan untuk membeli produk yang anda mahukan setelah sekian lama. Buat senarai barangan yang diperlukan supaya tidak terlupa, tambahkan ke troli membeli-belah anda, buat perbandingan harga, gunakan baucar yang diberi dan daftar keluar. Inilah masa yang sesuai untuk memberi hadiah kepada keluarga, rakan-rakan dan juga diri sendiri.
Comments