top of page
  • Writer's pictureDanial Haziq

Kehijauan Flora dan Fauna Bukit Pelindung

Penulis : Muhammad Danial Haziq Bin Roslee

Penyunting : Kogileswari A/P Vellisamy

Sumber : Nadi Bangi


Sebut sahaja Bukit Pelindung, kebanyakan warga Kuantan akan mula mempamerkan senyuman dan kegembiraan di wajah mereka.


Tanpa mengira umur, Bukit Pelindung menjadi lokasi pilihan penduduk Kuantan bagi melakukan riadah melalui aktiviti pendakian.


Namun jika anda bukan penduduk Kuantan, sudah pasti anda tertanya tanya mengenai faktor yang membuatkan lokasi ini mendapat tempat istimewa di hati penduduk Kuantan sama ada golongan remaja, dewasa, tua, bahkan kanak-kanak sekalipun.


Suasana di Bukit Pelindung memberi aura semulajadi kepada pengunjungnya dengan dikelilingi pokok-pokok serta persekitarannya yang bersih dari sampah sarap.


Ketika penulis mengunjungi Bukit Pelindung, penulis sempat menemu ramah beberapa individu yang mendaki bukit tersebut buat kali pertama.


Encik Saiful Bin Ali, salah seorang dari individu tersebut menyifatkan bukit ini sebagai lokasi yang dihiasi kehijauan flora dan fauna, serta udara persekitarannya yang segar.


“Kehijauan flora dan fauna dapat menyenangkan saya semasa pendakian. Udara yang segar dapat membantu sistem pernafasan saya berjalan dengan baik”, katanya.


Melalui beberapa temu ramah yang penulis lakukan dengan pengunjung tetap di sini, mereka rata-rata menyatakan bahawa waktu pagi menambahkan lagi keceriaan dan keseronokan ketika beriadah.


Encik Amirul Bin Abdul Ghani, salah seorang pengunjung tetap Bukit Pelindung menjelaskan waktu pagi memberi pengalaman yang tidak boleh diperoleh jika aktiviti pendakian dilakukan pada waktu petang.


“Saya faham sesetengah individu sukar untuk bangun pada awal pagi. Namun, sudah menjadi rutin saya untuk memulakan aktiviti pendakian pada waktu pagi.Cuacanya lebih nyaman, dan ditambah pula dengan keadaan Bukit Pelindung yang dikelilingi banyak pokok, udaranya lebih segar pada waktu pagi. Setiap kali saya sampai ke puncak, hadir rasa kegembiraan dan kepuasan di dalam hati,” katanya.


Puncak tertinggi Bukit Pelindung ini dengan anggaran elevasi 200 meter menjadikan lokasi ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat.


Jarak keseluruhannya hanyalah 1.2 kilometer sekaligus menarik minat ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka mengikut sama dalam aktiviti riadah yang santai ini.


Sepanjang trek perjalanan, beberapa kerusi dan bangku disediakan bagi pengunjung yang ingin berehat sebentar sebelum meneruskan pendakian.


Terkenal bagi acara pendakian, lokasi Bukit Pelindung yang terletak berhampiran dengan kawasan sekolah secara tidak langsung menarik minat pelajar dan guru untuk menjalankan aktiviti kegemaran mereka di sini.


Aktiviti mendaki Bukit Pelindung sudah menjadi tradisi Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar yang terletak berdekatan dengan bukit tersebut.


Guru sekolah tersebut, Puan Maryam menyatakan kepentingan aktiviti sebegini dalam mengeratkan lagi hubungan para guru dan pelajar.


“Bukit Pelindung terletak sangat hampir dengan sekolah kami. Sangatlah rugi sekiranya para guru tidak mengambil peluang ini untuk menjalankan sebarang aktiviti bersama pelajar bagi mengeratkan hubungan sesama mereka. Aktiviti ini juga tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan oleh pelajar dan guru,” katanya.


Menurut portal rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, menara tinjauan di Bukit Pelindung dapat membuatkan pendaki menyaksikan panorama seluruh bandar Kuantan dari puncak ini.


Meskipun menara tersebut tidak boleh lagi dikunjungi atas faktor keselamatan, suasana meriah bukit ini tidak terjejas sama sekali dan sentiasa mendapat sambutan oleh penduduk Kuantan.


Laluan yang sering digunakan bagi pengunjung untuk sampai ke puncak ialah melalui jalan bertar tetapi boleh juga melalui laluan alternatif yang dikenali sebagai Laluan Harapan.


Menurut masyarakat setempat, laluan harapan adalah jauh lebih panjang dan mencabar sekaligus menjadikan Bukit Pelindung sebagai lokasi riadah yang juga sesuai dikunjungi oleh mereka yang cergas bersukan.


Bukit Pelindung juga terletak berhampiran dengan pantai Teluk Cempedak yang sudah semestinya tidak asing lagi bagi penduduk Kuantan.


Laluan yang dikenali sebagai Trail 1380 boleh menghubungkan pendaki terus ke Pantai Teluk Cempedak.


Malah, telah menjadi kebiasaan sesetengah syarikat di Kuantan untuk mengadakan aktiviti mendaki bukit ini sebagai program mengeratkan hubungan atau bonding.


Pengerusi kelab kakitangan Kolej Yayasan Pahang, Cik Syazwani Binti Muhamad menyatakan bahawa pendakian Bukit Pelindung merupakan aktiviti tahunan syarikat tersebut.


“Selain aktiviti boling, seluruh kakitangan kolej akan berkunjung ke Bukit Pelindung untuk aktiviti riadah setiap tahun. Ketua unit setiap jabatan juga akan turut berserta dalam aktiviti ini dan mendaki bersama kakitangan,” katanya.


Ternyata bukit ini bukanlah sebarang bukit yang tiada nilainya di sisi masyarakat, sebaliknya menjadi tumpuan utama warga Kuantan dari semua lapisan usia.


Tidak hairanlah jika penduduk Kuantan mempamerkan senyuman di wajah mereka sebaik sahaja mendengar nama Bukit Pelindung.


41 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page