top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Keindahan Persahabatan dan Cara Mengekalkannya.

Updated: Nov 25, 2019

Oleh : Kumutha Vallii Veloo

Penyunting : Muhammad Sahrul Fahiz Mat Ariff


Sumber : Kumutha Vallii

Ramai mempunyai kawan dalam kehidupan mereka sejak dari kecil lagi. Kawan merupakan seorang yang amat penting dalam kehidupan seseorang. Mereka merupakan insan yang dipilih sendiri untuk menjalinkan hubungan persahabatan bagi seumur hidup. Hubungan yang boleh dipilih ini mampu memberi kesan yang baik atau sebaliknya jika kita gagal memilih dengan betul. Terdapat banyak kenangan manis dan pahit bersama kawan yang sentiasa boleh dikenang semula oleh setiap individu.


Sejak dari bangku sekolah, kita berkepit dengan kawan-kawan sehingga pergi ke mana-mana di kawasan sekolah juga perlu ditemani oleh kawan. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kawan dalam kehidupan seseorang. Selain itu, fasa pemilihan kawan sentiasa berubah dari semasa ke semasa mengikut perkembangan diri seseorang. Semakin meningkat umur kita, semakin berkurang bilangan kawan dalam kehidupan. Hal ini mungkin dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti berlakunya perselisihan faham, tikam belakang, perasaan cemburu, kurang meluangkan masa, dan sebagainya. Menurut kenyataan yang dipetik daripada harian metro, semua orang tahu benteng persahabatan yang kukuh dibina berdasarkan kepercayaan antara satu sama lain. Oleh itu, bagi mengekalkan persahabatan hingga selamanya, seseorang perlu mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan hubungan persahabatan ini.


Cara mengekalkan persahabatan


Kaca yang pecah tidak boleh kembali utuh begitu juga hubungan persahabatan. Jika kawan melukai hati anda, ia tidak boleh diubati semula. Oleh itu, amat penting seseorang mengetahui cara mengekalkan hubungan persahabatan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di masa hadapan.


Pertamanya, sentiasa bersikap positif ketika berada dengan kawan. Sikap positif amat penting dalam hubungan ini untuk mengelakkan ketidaksefahaman antara satu sama lain. Sekiranya anda memiliki sifat yang positif, anda mampu melihat sisi positif pada kawan anda. Misalnya, seandainya salah seorang kawan mempunyai sifat cerewet, anda perlu bersabar dan berfikiran positif untuk membetulkannya demi mengelakkan pergaduhan. Hal ini juga mampu menciptakan hubungan yang lebih harmonis antara satu sama lain.


Selain itu, elakkan sikap cemburu terhadap kejayaan kawan. Sikap cemburu boleh menghancurkan sesebuah hubungan. Menurut Muhammad Syahir Abu Bakar dan kawan-kawanya dalam kajian perspektif Aristotle dan Al-Ghazali terhadap konsep persahabatan, kejayaan atau kegagalan seorang itu dapat disamakan dengan kejayaan atau kegagalan sahabat rapatnya juga kerana mereka saling terpengaruh antara satu sama lain. Oleh itu, sekiranya kawan anda berjaya dalam peperiksaan, perniagaan atau perkahwinan, anda sebagai kawan perlu berkongsi gembira dengan kejayaan mereka dengan memberi sokongan terhadap kejayaanya tanpa mempunyai niat iri hati. Dengan ini hubungan persahabatan tersebut mampu kekal lama dalam kehidupan anda.


Komunikasi juga elemen yang penting bagi menjayakan hubungan persahabatan. Mengapa ia berkatakan demikian ialah kerana untuk menjayakan sesebuah hubungan, komunikasi menjadi alat yang paling berkesan dalam hubungan tersebut. Hal ini demikian kerana perselisihan faham mampu diselesaikan dengan berkomunikasi antara satu sama lain. Jika anda tidak berpuas hati dengan kawan disebabkan sesuatu isu, anda perlu duduk dan berbincang bersama mereka. Bercakap dan meluahkan segala isu mengenainya dengan mereka mampu memberi solusi yang cepat berbanding mengumpat di belakang mereka.


Seterusnya, sentiasa bersedia menolong kawan ketika diperlukan. Dalam hubungan ini, jika kawan anda menghadapi masalah secara tidak langsung anda sebagai kawan perlu sentiasa bersedia menolong mereka. Walaupun anda tidak dapat menyelesaikan masalahnya tetapi sebagai kawan yang baik anda boleh berada disampingnya sepanjang waktu kesusahan tersebut. Kehadiran kita disisinya cukup memadai untuk mereka yang memerlukan bantuan. Berilah kata-kata semangat kepada mereka supaya kembali semula daripada masalahnya. Perbuatan kecil seperti ini mampu memberi kesan yang mendalam bagi mereka dan diri sendiri.


Meluangkan masa bersama kawan juga mampu membantu mengekalkan hubungan bersama. Semakin anda mengutai usai dewasa, semakin sibuk diri anda dalam kehidupan seharian dengan pekerjaan dan pembelajaran. Hal ini menyebabkan wujudnya kesukaran mencari masa untuk meluangkan bersama kawan-kawan. Oleh itu, demi memartabakan hubungan persahabatan anda perlu bijak mencari masa untuk berjumpa kawan-kawan sekurang-kurangnya sekali sebulan. Membeli-belah, menonton wayang atau rancang day-trip bersama kawan menjadi salah satu cara meluangkan masa bersama. Dengan ini, anda dapat berbincang dan berkongsi perkara yang berlaku dalam kehidupan anda ketika ketidakhadiran mereka.


Bukan mudah bagi mengekalkan hubungan persahabatan untuk jangka masa yang lama. Kita perlu mengambil langkah-langkah yang bersesuaian untuk menjayakan hubungan ini. Kawan merupakan insan yang barsama anda ketika masa susah dan gembira. Persahabatan ini cukup indah bagi seseorang yang menghargainya jadi anda perlu mengekalkan insan yang dinamakan sebagai kawan dengan baik. Jadikan hubungan ini dua hala dengan berada di samping kawan pada saat dia berada dalam kesusahan dan sebaliknya. Hargai mereka demi hubungan yang harmoni.

3,813 views0 comments

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page