• Nadi Bangi

Kejadian Banjir Tidak Patut Dikaitkan dengan Isu Politik

Updated: Jan 10

Penulis: Audrey Tung Kuo Ying

Penyunting: Ghirija Muthu

Sumber: Google


Kejadian banjir telah melanda kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia pada Disember 2021 susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan telah mendatangkan satu isu politik yang tidak patut dikaitkan.


Pengurusan banjir kali ini yang dibuat oleh pihak kerajaan telah mengundang kritikan sesetengah pihak misalnya sikap kerajaan yang dilihat mempergunakan bencana itu untuk mempromosikan diri dan kerajaan mereka sehingga mendatangkan perasaan tidak berpuas hati dalam kalangan masyarakat. Selain itu, kritikan juga diekspresikan kepada kerajaan persekutuan kerana tidak mengguna pakai sistem mesej pukal negara untuk mengutarakan maklumat-maklumat berkenaan banjir tersebut.


Tetapi, pihak kerajaan sebenarnya telah berusaha untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi dalam kejadian ini. Namun, sebarang tindakan yang memberi bantuan kecemasan serta beberapa aktiviti kesukarelawanan yang dilakukan telah dijadikan sebagai sesuatu isu politik. Dengan ini, saya berpendapat bahawa pemberian bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda negara baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana soal kesukarelawanan dan pemberian bantuan merupakan satu ibadah yang tidak seharusnya dijadikan sebagai satu isu politik.


Sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan adalah seperti menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak berkuasa Malaysia telah menggerakkan lebih daripada 3,000 pegawainya bagi memastikan penempatan dan kebajikan mangsa-mangsa banjir berada dalam keadaan terurus serta makan minum yang mencukupi dan sebanyak RM35 juta telah dibelanjakan oleh pihak kementerian bagi tujuan penyediaan barangan keperluan asas.


Selain itu, seramai 1,500 Sukarelawan Kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia juga telah digerakkan untuk menjalankan Intervensi Psikososial kepada mangsa bencana yang terlibat. Kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita juga telah menggerakkan Skuad Waja yang memiliki keahlian berdaftar seramai 100 hingga 200 orang untuk turun sama membantu mangsa bencana memberikan sokongan emosi termasuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir.


Pada pendapat saya, kejadian banjir yang serius kali ini seharusnya memberi perhatian kepada kesan yang berlaku dan bagaimana ia boleh dielak daripada menjadi lebih serius pada masa akan datang. Setakat akhir Disember ini, sekurang-kurangnya 48 orang maut dalam banjir ini di seluruh Semenanjung serta lima orang lagi hilang. Di samping itu, sekitar 71 ribu orang dipindahkan di lapan buah negeri pada kemuncak bencana.


Kita dapat lihat kejadian banjir ini telah mendatangkan kerosakan infrastruktur yang ketara di tempat-tempat terjejas, dengan anggaran awal kerugian oleh pihak pakar mencecah RM300 juta. Banjir besar ini menyebabkan lebuhraya di sekitar Lembah Klang terjejas menyebabkan orang awam terkandas di sekitar kawasan ini misalnya laluan-laluan yang terpaksa ditutup termasuk Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Kuala Lumpur dan jalan utama ke lapangan terbang.


Bukan itu sahaja, bekalan elektrik juga terpaksa dipadamkan di tempat-tempat tertentu di beberapa negeri bagi tujuan keselamatan. Sistem pendidikan negara juga sedikit sebanyak terganggu akibat banjir ini. Institusi-institusi pendidikan tinggi negara memberikan cuti kecemasan bagi para pelajar untuk memberi ruang kepada pelajar untuk memfokuskan diri mereka terhadap masalah banjir.


Oleh yang demikian, kita seharusnya mencari langkah-langkah untuk mencegah kejadian sebegini daripada berlaku sekali lagi ataupun mencari kaedah untuk mengurangkan kesan buruk yang akan terjadi. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh melaksanakan projek pembesaran sungai-sungai terutama sungai Damansara yang sudah kerap diutarakan oleh penduduk setiap kali banjir melanda di kawasan bandar di sekitar Selangor. Mereka juga boleh bertindak untuk mendalamkan lagi kolam-kolam takungan sedia ada di sekitar kawasan bandar, terutama di Taman Sri Muda. Semua ini boleh diberi perhatian untuk membantu penduduk di negeri-negeri yang menghadapi risiko yang lebih besar terlibat dalam kejadian banjir.

Sebagai rakyat, kita juga mempunyai tanggungjawab sendiri untuk mencegah masalah tersebut. Perkara yang penting adalah seperti menghentikan segera penerokaan hutan di kawasan-kawasan pinggir bandar dan hutan simpan terutama di sekitar hutan bukit bagi mengembalikan keseimbangan iklim alam semulajadi. Tambahan pula, kita perlulah memberikan perhatian untuk menyelesaikan segera masalah pembuangan sampah ke dalam longkang sehingga tersumbat yang menjadi antara kecuaian manusia yang mampu menyumbang kepada bencana banjir.

Secara kesimpulannya, pihak berkuasa juga perlu mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kejadian banjir dalam skala yang berlaku pada tahun ini ada persediaan dari pihak kepimpinan negara dan negeri untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.


Secara kesimpulannya, pihak berkuasa perlu mencari jalan penyelesaian untuk memastikan kejadian banjir dalam skala yang berlaku pada tahun ini ada persediaan dari pihak kepimpinan negara dan negeri untuk memastikan kejadian itu tidak berulang.

57 views0 comments

Related Posts

See All