Penulis: Gwee Hui Ching
Penyunting: Choong Wei Hang
Sumber Foto: Gwee Hui Ching
Bangi, 24 Dis - Kelab Cina Kajai (KACC) telah menganjurkan Pesta Dong Zhi dengan penuh meriah bagi kali pertama di Kolej Rahim Kajai pada 22 Disember 2023.
Perayaan Dong Zhi atau dikenali sebagai Perayaan Solstis Musim Sejuk merupakan perayaan yang paling penting disambut oleh orang Cina dan Asia Timur dalam tempoh solstis musim sejuk di mana cahaya matahari adalah paling lemah dan tempoh waktu siang adalah singkat.
Secara tradisinya, keluarga akan berkumpul secara bersama-sama semasa meraikan perayaan tersebut untuk melakukan aktiviti utama iaitu membuat dan makan bebola Tang Yuan. Sebenarnya bebola Tang Yuan ialah bebola yang diperbuat daripada beras pulut yang kebiasaannya berwarna putih dan merah di mana ia melambangkan keharmonian dan penyatuan semula dengan ahli keluarga.
Nadi Bangi sempat menemubual Pengerusi Kelab Cina Kajai, Lee Yan Chuan dari Fakulti Sains dan Teknologi, berkata bahawa tahun ini merupakan kali pertama untuk menganjurkan Pesta Dong Zhi bagi kelab ini.
“Oleh kerana KACC tidak begitu aktif pada masa lalu, aktiviti tradisional selalunya dijalankan dalam kelas Cina. Tetapi pada tahun ini kita ingin membuat inovasi baharu dan mengadakan Pesta Dong Zhi supaya membolehkan semua orang merasai suasana Winter Solstice.
“Sebagai salah satu daripada tiga kumpulan etnik utama di Malaysia, kita berharap dapat meneruskan budaya tradisional kita supaya kaum lain dapat lebih memahami kebudayaan kaum Cina. Kita menggalakkan perpaduan antara kumpulan etnik, tetapi perkara yang paling penting ialah memberikan semua pelajar Cina yang belum pulang ke rumah dapat merasai kehangatan rumah dan merasai suasana Solstis Musim Sejuk.
“Bagi Pesta Dong Zhi ini, saya sangat gembira kerana terdapat kira-kira 25 pelajar yang berkaum India dan Melayu menyertai pesta ini," katanya.
Menurut seorang lagi peserta, Kho Yi Ping dari Fakulti Sains Kesihatan, menyatakan bahawa pengalaman pada malam itu sungguh meriah dengan penuhnya aktiviti-aktiviti yang seronok.
“Saya berasa sangat teruja kerana saya dapat menglibatkan diri dalam aktiviti membuat bebola Tang Yuan dan ladu. Saya paling suka permainan teka teki dengan menggunakan pergerakan tangan tanpa bercakap untuk memberikan isyarat bagi perkataan yang dipilih.
“Saya benar-benar berasa sangat terharu kerana kebiasaanya saya akan makan bebola Tang Yuan dengan ahli keluarga di rumah. Oleh itu, saya pasti akan rindu suasana di rumah halaman saya. Dengan adanya pesta ini, saya dapat merasai semula kehangatan suasana Dong Zhi," katanya.
Nor Siti Hamidah, dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, berkata bahawa dia berasa sangat gembira dan pada masa yang sama dia berbangga kerana dapat mempelajari budaya kaum lain melalui pesta ini.
“Secara jujurnya, saya berasa kefahaman saya sendiri terhadap kaum Cina tidak terlalu mendalam. Oleh itu, saya sertai pesta ini untuk mengetahui Perayaan Dong Zhi dengan lebih mendalam dan jelas. Pihak jawatankuasa di situ pun sangat nice, mereka akan terangkan dengan mesra tentang asal usul perayaan ini kepada kaum lain dengan menggunakan Bahasa Melayu dari permulaan pesta ini.
“Sangat gembira dan teruja! Sesi yang paling saya sukai ialah membuat dan membalut bebola Tang Yuan. Saya membalut bebola Tang Yuan dengan adanya peserta di sebelah ajar saya macam mana buat. Ini merupakan kali pertama saya makan bebola Tang Yuan ini dan rasanya adalah berlainan sedap kerana bebola Tang Yuan direndam dalam air manis yang telah masak.” katanya.
Peserta seterusnya yang bernama Thachaayani Abhi, dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, menyatakan bahawa dia dapat merasai suasana Dong Zhi dengan meriah kerana terdapat ramai pelajar yang berbilang kaum menyambut perayaan ini secara bersama.
“Walaupun Pesta Dong Zhi ini dianjurkan di hadapan pusat kemudahan iaitu parkir kereta di Kolej Rahim Kajai. Tetapi ruang yang terhad tersebut tidak mengehadkan kita semua untuk merasai suasana ini dengan penuh meriah.
“Apabila pelajar-pelajar yang berbilang kaum berkumpul bersama untuk meraikan perayaan seperti ini, saya berasa sangat terharu kerana ia melambangkan perpaduan antara kaum di Malaysia," katanya.
gwee!
Hidup krk
besttttt
KRK
Hidup KRK