Nadi Bangi
Kelonggaran Syarat PKPB Cara Terbaik Bantu Sektor Ekonomi
Updated: Dec 15, 2020
Oleh : Alis Awasi
Penyunting : Amirul Naim Baseri

BANGI, 12 Dis - Pihak polis bersetuju dengan keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada rakyat untuk merentas negeri demi membantu suntik sektor ekonomi negara pada masa akan datang.
Nadi Bangi telah menemu bual Inspektor Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Ahammad Sadiq Bin Yusoff yang berpendapat bahawa tindakan pihak kerajaan memberi kelonggaran merentas negeri merupakan suatu keperluan bagi memudahkan pelbagai urusan orang awam sama ada untuk tujuan berulang-alik di antara tempat kerja ataupun tempat pembelajaran dengan kampung halaman masing-masing.
“Arahan PKPB atau PKPP masih belum tentu dapat kurangkan kes jangkitan. Malah pada saya, kelonggaran syarat untuk merentas dapat memudahkan urusan rakyat lebih-lebih lagi untuk mereka yang perlu merentas negeri atas urusan kerja mahupun urusan pengambilan anak-anak dari sekolah ataupun institusi pengajian yang dilarang pulang selepas arahan tempoh PKPB dibuat baru-baru ini.”
“Jika dibandingkan dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, rakyat pada ketika itu langsung tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah dan ianya terhad untuk mereka yang mempunyai kerja dan urusan penting sahaja dibenarkan untuk berada di jalan raya. Oleh itu, kelonggaran syarat untuk merentas negeri ketika tempoh PKPB kini adalah perlu dan dapat memudahkan urusan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi bagi mereka yang perlu bekerja untuk mencari punca pendapatan,” kata beliau.
Nadi Bangi sempat menemu bual beliau berkenaan kemungkinan berlakunya peningkatan kes jangkitan dengan kewujudan kluster-kluster baru di negeri Sabah dan penigkatan kes tempat kerja seperti di kilang-kilang Top Glove.
“Seperti yang kita tahu, statistik kes jangkitan COVID-19 masih lagi tidak turun malah meningkat hingga mencecah empat angka. Saya tidak menolak kemungkinan akan berlakunya peningkatan kes pada masa akan datang. Akan tetapi, kita semua sudah jalani tempoh PKP ini hampir setahun. Rakyat Malaysia sepatutnya sudah boleh membiasakan diri mereka dengan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.”
Tambah beliau, majoriti pesakit kluster Top Glove terdiri daripada golongan warga asing. Jadi mentaliti dan pemikiran mereka tidak sama seperti warga Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia sudah tentu kita mempunyai kesedaran dan lebih disiplin dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berbanding dengan warga asing.
“Memang tidak dinafikan keadaan sekarang lebih rumit berbanding dulu tapi kita telah hadapi norma baru ini sudah hampir setahun jadi isu berkenaan pematuhan SOP tidak sepatutnya menjadi masalah untuk kita semua. Ianya bergantung disiplin dan rasa tanggungjawab individu untuk mengurangkan kes jangkitan ini daripada tular di masa akan datang,” ujar beliau.