top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kemahiran Grafik Pilihan Utama Industri Pekerjaan

Oleh: Nadia Nurshazira Mohd Sharani

Penyunting: Seri Haidah Jaapar


Sumber: Google Image


Pada era yang mencabar kini, para graduan tidak sewajarnya terlalu bergantung pada CGPA sahaja untuk mencari pekerjaan. Mereka seharusnya melengkapi diri mereka dengan ilmu dan kemahiran yang boleh menaikkan nilai para graduan. Pelbagai kemahiran yang boleh para graduan asah untuk melengkapkan diri bagi menempuh alam pekerjaan seperti menggunakan perisian Microsoft Word, AutoCad, Photoshop dan banyak lagi.

Zaman yang serba moden dan persaingan sengit sekarang, para graduan perlu bijak mempelajari dan menguasai kemahiran yang akan memberi mereka kelebihan dan akan menarik majikan untuk memilih mereka. Seringkali apabila ke temuduga kerja, kita akan disajikan dengan soalan seperti ‘Apakah kepakaran tambahan yang awak ada?’ dan ‘Sejauhmanakah awak mampu menggunakan software ini untuk meningkatkan prestasi organisasi?’. Hal ini demikian kerana, kita seringkali memasukkan skala pengendalian software sebagai tambahan dalam resume seolah-olah untuk menarik perhatian dan meyakinkan majikan, tetapi apabila ditemuduga, ramai graduan yang kecundang dan kemahiran dalam resume hanyalah hiasan semata-mata.

Bidang komputer dan kemahiran digital yang tinggi amat diperlukan dalam menjadikan Malaysia peneraju Revolusi Perindustrian Keempat (Industrial Revolution 4.0) kerana pada era ini, teknologi digital adalah penggerak utamanya. Bukan itu sahaja, aspek celik digital dan teknologi maklumat (IT) juga sering menjadi penanda aras kepada kejayaan sesebuah negara. Jika dilihat pada masa kini tiada satu pun pekerjaan yang tidak memanfaatkan revolusi digital ini malahan asas kemahiran berkomputer juga menjadi prasyarat untuk mendapatkan pekerjaan. Ilmu IT dan kemahiran komputer kini semakin penting selari dengan pertumbuhan pantas dunia digital masa kini.

Jika dapat dilihat, kerjaya sebagai pereka grafik pada zaman ini banyak dipandang remeh oleh segelintir masyarakat di Malaysia dan menganggap kerjaya ini tidak memberi sebarang manfaat mahupun menjamin masa depan mereka. Sebenarnya, ramai yang masih tidak memahami dan menghargai kerjaya dan bakat pereka-pereka grafik. Grafik merupakan antara visual yang paling utama dan popular digunakan bagi memperlihatkan keterampilan sesebuah aplikasi multimedia.

Mengapakah para graduan perlu mempunyai kemahiran menyunting dalam diri mereka? Hal ini demikian kerana persaingan di dalam dunia pekerjaan di Malaysia menuntut para graduan lebih peka terhadap keperluan semasa dalam memenuhi kehendak pasaran pekerjaan. Memiliki kerjaya sejurus seorang graduan menamatkan pengajian di sesebuah pusat pengajian tinggi adalah salah satu ukuran kebolehpasaran graduan. Secara umumnya graduan yang dilahirkan oleh universiti tempatan memenuhi sebahagian besar ciri yang majikan inginkan. Namun demikian pendedahan kerja sebenar, kemahiran berkomunikasi, keyakinan diri dan nilai-nilai murni perlu ditingkatkan lagi dari masa ke semasa.

Kemahiran menyunting boleh menaikkan nilai seseorang kerana ia boleh menambah impressi daripada bakal majikan. Para graduan boleh menguasai kemahiran seperti menyunting atau mereka menggunakan perisian Adobe Photoshop, Lightroom, Flash, Illustrator dan banyak lagi. Para majikan juga amat gemar akan pekerja yang boleh multitask kerana mereka akan lebih percaya dengan kebolehan para graduan. Selain itu, dengan mempunyai kemahiran menyunting, ianya boleh digunakan sebagai punca pendapatan sampingan seperti mereka poster, baju, bunting mahupun keperluan komersial organisasi apabila bekerja nanti.

Kemahiran menyunting semakin penting dalam bidang pekerjaan kerana pekerja yang mempunyai kemahiran tersebut mampu menjana pembinaan daya kreativiti dan inovasi selain mempunyai kecekapan dalam menggunakan teknologi untuk mengakses maklumat daripada pelbagai sumber sejajar dengan perkembangan global.

155 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page