Oleh: Rafidahtul Aqilah Seri Lanang
Penyunting: Shafiq Muslim
Bangi, 24 Nov - Panel jemputan forum Job Creator Upskilling for Future Generation menegaskan bahawa kemahiran kendiri menjadi punca utama yang membolehkan seseorang pelajar itu memasarkan diri mereka dalam sektor pekerjaan pada 16 November lalu.
Prof. Madya. Dr. Zalinda Othman berperanan sebagai moderator di ikuti tiga panel jemputan iaitu Datin Ida Ketua Pegawai Eksekutif iCycle Malaysia, Nikhil Khandelwal Pengarah Pemasaran Razer Pay dan Eldrick Koh Pengasas GenYouth membincangkan kemahiran kendiri yang perlu dikuasai pelajar dalam kebolehpasaran diri.
Program anjuran Institut Pembangunan Dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), kementerian Belia Dan Sukan dengan kerjasama Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan anjakan minda para pelajar yang memfokuskan bidang keusahawanan atau erti kata lain menjana peluang pekerjaan pada masa hadapan yang dapat mengurangkan jumlah pengangguran.
Datin Ida menekankan bahawa pengurusan masa perlu dititikberatkan oleh semua pelajar terutamanya persediaan untuk menempuh dunia pekerjaan samada kerja makan gaji ataupun seorang usahawan.
“Kemahiran utama yang diperlukan di tempat kerja adalah pengurusan masa kerana apabila kita dapat menguruskan masa dengan baik kita dapat menghabiskan kerja kita tepat pada waktunya maka kita akan mempunyai banyak masa untuk mempelajari perkara baru serta kita tidak akan berasa tertekan dalam kehidupan seharian kita,” kata beliau.
Dua tahun yang lalu Eldrick Koh mendapati banyak pelajar mempunyai isu dalam berkomunikasi serta cara memperkenalkan diri ketika temuduga menyebabkan mereka gagal dalam temuduga.
“Kita jangan menolak temuduga yang kita peroleh malah kita perlu menghadiri temuduga tersebut dan belajar kerana soalan yang akan diajukan setiap syarikat adalah lebih kurang maka dari situ kita akan bersedia dengan soalan-soalan yang diberikan malah kita lebih mudah untuk menjawab segala persoalan yang diajukan dari situ syarikat akan ambil sebagai pekerja kerana komunikasi salah satu keperluan utama,” menurut beliau.
Manakala Nikhil Khandelwal turut menasihati pelajar agar tidak hanya tertumpu pada media sosial kerana ia merupakan perkara yang hanya membazirkan masa sahaja sedangkan pelajar boleh memperbaiki serta menguasai kemahiran diri.
“Kita perlu bersedia untuk menghadiri temuduga dengan mendengar forum atau perbincangan dari situ kita mengambil idea-idea dan jadikan ia modal untuk kita memasarkan diri kita daripada kita hanya membuang masa melihat kehidupan orang lain serta berangan menjadi seperti mereka di media sosial lebih baik kita mencari syarikat yang boleh membayar gaji yang tinggi kepada kita,” katanya
Program Job Creator Upskilling for Future Generation ini dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat yang dijalankan di Bilik Seminar, Pusat Pembangunan Karier, UKM.
Comentários