top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kemampanan Alam Sekitar Penting Bagi Elak Bencana Banjir

Penulis: Ghirija Muthu

Penyunting: Audrey Tung

Sumber: Google


Bencana banjir yang berlaku di sesetengah kawasan tertentu di Malaysia terutamanya di Lembah Klang yang telah mengorbankan 17 nyawa, kerosakan harta benda serta kemusnahan infrastruktur bukan semata-mata disebabkan oleh keadaan cuaca namun faktor manusia juga mendorong kepada bencana banjir ini.


Faktor manusia yang mengabaikan kemapanan alam sekitar menjadi penyebab utama kerana tidak mempunyai sikap tanggungjawab ke atas alam sekitar, tidak sedar dan peka terhadap isu-isu alam sekitar serta gagal dalam pengurusan alam sekitar. Akibatnya kebanyakan tempat yang tidak pernah mengalami banjir, kini menghadapi dengan bencana alam tersebut. Di samping, keadaan ini juga telah menjejaskan kehidupan serta kesejahteraan rakyat seperti kehilangan tempat tinggal, kenderaan menjadi rosak, tanaman serta kehilangan sumber pendapatan. Adakah rakyat masih degil dengan tidak menjaga alam sekitar untuk masa depan?


Penjagaan alam sekitar perlulah diambil kira dan diberi perhatian oleh semua orang bagaimana kita perlu mengurus alam sekitar ini. Kegagalan pengurusan alam sekitar dengan baik menyebabkan berlakunya bencana alam ini. Sebagai contohnya projek-projek pembangunan yang dilaksanakan sudah pastinya akan adanya aktiviti penerokaan hutan dan pembalakan haram yang akhirnya menjejaskan keseimbangan ekosistem kerana hutan adalah aset yang penting sebagai kawasan tadahan hujan.


Pada pendapat saya, walaupun perkara ini telah disentuh pada zaman-zaman dulu, namun rakyat kini masih degil tidak mempunyai sikap tanggungjawab ke atas alam sekitar. Maka, mereka sepatutnya diberi pendedahan secara mendalam dan memberi pengajaran secara luas tentang pentingnya kemapanan alam sekitar. Untuk itu, pencerobohan hutan sepatutnya diberhentikan dan dikawal serta merta bagi mengelak bencana alam seperti ini berlaku pada masa hadapan.


Sistem saliran dan perparitan yang tidak sistematik juga menyumbang kepada berlakunya bencana banjir ini. Longkang yang kecil serta penyelenggaraan yang tidak mempunyai penentuan skala memberi kesan yang amat besar sekiranya berlaku hujan pada kadar yang tidak dijangka. Jika kita melihat pada kawasan Sri Muda, air pasang di Sungai Klang yang lebih tinggi daripada paras air di saluran. Pembukaan pintu kawalan ketika air pasang tinggi membenarkan air masuk ke dalam Taman Sri Muda.


Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa sepatutnya menyediakan garis panduan yang jelas kepada pembina projek pembangunan di kawasan Lembah Klang supaya mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi mempunyai mesra alam sekitar. Selain itu, pelan perancangan sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang perlulah dilaksanakan supaya banjir seperti ini tidak diulangi dan memberi impak yang besar kepada rakyat dan negara.


Kita sedia maklum bahawa kos tanggungan setiap keluarga adalah sangat banyak dan mencecah RM7,000 hingga RM8,000 bagi menampung kos kerosakan dan ianya tidak termasuk kos perbelanjaan bagi kenderaan masing-masing. Kerajaan telah menawarkan bantuan yang mencecah RM10,000 kepada seisi keluarga. Pada pendapat saya, ianya satu kaedah bantuan yang boleh mengurangkan beban mangsa banjir. Hal ini demikian kerana, bukan puncanya daripada penduduk di Taman Sri Muda, malah akibat daripada kerja manusia yang suka membuat aktiviti pembalakan hutan yang banyak berlaku pada masa kini dengan pembinaan perumahan secara berleluasa di kawasan Lembah Klang. Pihak kerajaan haruslah mengambil perhatian dan membuat pelan tindakan bagi mengelak perkara ini timbul lagi pada masa akan datang.


Kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, perlulah melindungi, memelihara dan memulihara alam sekitar dan menjadikan ianya satu usaha yang berterusan agar ini dapat dielakkan berulang. Apabila alam sekitar rosak, kos membaik pulih juga menelan belanja yang tinggi serta membebankan rakyat dan negara.


Oleh itu, semua pihak termasuk rakyat dan pihak berkuasa berusaha mencari jalan penyelesaian dan kaedah yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Alam sekitar adalah satu aset yang sangat penting dan perlu diambil tahu oleh semua orang. Perancangan strategik perlu dilaksanakan kerjasama dengan pihak kerajaan, pihak industri dan pihak bukan kerajaan (NGO) dan juga masyarakat dalam menguruskan hal ehwal berkaitan dengan pengurusan alam sekitar.


Ingatlah mencegah lebih baik daripada mengubati. Maka, kemapanan alam sekitar perlu menjadi keutamaan kepada semua pihak supaya bencana alam dapat dibendung dan alam sekitar dapat dijaga dengan sebaiknya untuk generasi yang akan datang.

150 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page