Nadi Bangi
KEMBALI BEKERJA MENGIKUT SOP
Oleh: Fatin Roslee
Penyunting: Amelin Yazimi

Sumber: Astro Awani
PUTRAJAYA, 12 Mei – Lebih 43.6 peratus pekerja dalam sektor ekonomi dan sosial sudah kembali bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula 4 Mei yang lalu.
Kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh PKPB selama empat minggu lagi, iaitu sehingga 9 Jun, 2020.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya pada 10 Mei lalu berkata, keputusan melanjutkan PKPB ini dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ini bermakna, semua peraturan dan SOP yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuatkuasa sehingga 9 Jun 2020.”
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setakat semalam, pasukan "task force" pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan sebanyak 53,250 pemeriksaan di seluruh negara.
Beliau turut berkata, fasa nasihat dan amaran sudah berakhir dimana pihak polis diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar SOP dalam tempoh PKPB dijalankan.
Danial Haziq, seorang kakitangan di Kolej Yayasan Pahang mengatakan bahawa hanya pejabat sahaja yang dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP yang telah ditetapkan.
“Langkah kerajaan untuk melanjutkan PKPB ini adalah langkah yang wajar kerana wabak COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya.”
Seorang suri rumah, Nora Zakaria, berkata, “Keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor ekonomi beroperasi semula perlu dipandang secara positif oleh orang ramai. Langkah ini dapat menggerakkan semula ekonomi negara dan demi kebaikan kita juga.”
Selain itu, Farisha Nur Zara, seorang pelajar, berharap agar semua rakyat Malaysia yang keluar bekerja di luar sana tetap mematuhi SOP yang ditetapkan dalam tempoh PKPB ini
Beliau juga turut menzahirkan rasa bangga dan ucapan terima kasih buat semua pekerja yang terus bekerja dalam keadaan dilanda wabak ini.