top of page
  • Writer's pictureAhmad Fayyadh

Kemeriahan Sambutan Dua Dalam Satu: Sambutan Hari Guru SMK Kelapa Sawit

Penulis: Ahmad Fayyadh Muhamad

Penyunting: Aina Umairah Muhammad Dhalan



KULAI, 17 MEI- Sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kelapa Sawit pada tahun ini disambut dengan penuh meriah selepas dua tahun tidak dapat diraikan akibat pandemik COVID-19.


Sambutan Hari Guru di Malaysia diadakan pada tanggal 16 Mei setiap tahun bagi menghargai jasa dan pengorbanan kepada para pendidik yang telah mendidik anak bangsa dengan penuh dedikasi.


Menurut salah seorang guru SMK Kelapa Sawit Nur Nadia Tukiman, 32, berkata sambutan Hari Guru pada kali ini lebih meriah setelah dua tahun tidak dapat disambut.

“Sambutan Hari Guru pada tahun ini boleh dikatakan sangat meriah dan kami sangat teruja kerana sudah dua tahun tidak dapat merasa sambutan Hari Guru yang disambut secara fizikal,” katanya.


Selain itu, menurut Guru Bahasa Inggeris, Tajul Ariffin, 35, berkata walaupun dalam suasana fasa endemik kemeriahan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah tetap dirasai dengan kehadiran pelajar-pelajar.


“Sambutan pada tahun ini sedikit berbeza kerana kita masih perlu menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam fasa endemik, walau bagaimanapun mesej yang ingin disampaikan pada Hari Guru ini tetap sampai serta meriah disambut bersama pelajar tersayang,” katanya.


Bukan sahaja guru dapat merasai kemeriahan sambutan Hari Guru pada tahun ini malah pelajar seperti Ammeera, seorang pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini turut merasai kemeriahan suasana Hari Guru di sekolahnya.


“Sambutan Hari Guru pada tahun ini memang seronok sebab kami sudah lama tidak merasai aktiviti sekolah seperti ini sejak pandemik COVID-19 yang lalu.


“Kemeriahan sambutan Hari Guru di sekolah lebih meriah apabila diadakan dalam bulan Syawal pada tahun ini sekali gus memberi peluang kepada kami untuk beraya bersama guru tersayang,” katanya ketika ditemu bual.


Apa yang membuatkan sambutan kali ini meriah ialah sambutan dua dalam satu iaitu sambutan raya dan hari guru membolehkan guru dan pelajar untuk sama-sama beraya pada hari persekolahan.


Tema pada tahun ini “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana selari dengan peranan guru sebagai tunjang penting dalam menjayakan ekosistem pendidikan negara.


35 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page