top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Kemunculan Ular Sawa 7 Kaki Gemparkan Penghuni KRK

Penulis: Mohamad Ameruddin Mohamah Nor

Penyunting: Muhammad Danish Muqrieyz Jamaluddin

Foto: Mohamad Ameruddin Mohamah Nor


BANGI, 16 Nov – Penemuan ular sawa batik sepanjang 7 kaki ditemui di jalan raya berhadapan Kolej Rahim Kajai, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menggemparkan pelajar UKM yang menetap di kolej tersebut.


Ular yang beratnya sekitar 20 kilogram itu kelihatan menuju ke arah Kolej Rahim Kajai daripada lintasan pejalan kaki di hadapan Stadium UKM sebelum berhenti di tengah jalan raya tersebut pada pukul 11:30 malam semalam.


Mohammad Fais Bin Mohammad, 33, yang merupakan Krew Pusat Kawalan Operasi Pejabat Pertahanan Awam Daerah Hulu Langat menyatakan bahawa ular yang dijumpai itu bersifat agresif dan tidak sarankan masyarakat membuat tindakan bersahaja tanpa perlindungan atau pertolongan daripada anggota pertahanan.


“Ular jenis macam ni kebanyakannya boleh dijumpai di persekitaran hutan dan penempatan yang ada reban ayam dan sebagainya kerana ular spesis macam ni memakan haiwan seperti ayam, tikus dan kucing. Saiz ular yang dijumpai ini boleh dikatakan saiz dewasa jadi kambing pun mereka boleh telan.” - kata Fais


Fais juga menyatakan bahawa walaupun ular spesis ini tidak berbisa, namun apabila kelakuannya aktif dan agresif, ia boleh mengakibatkan kecederaan yang serius apabila merasa dirinya terancam.


Nadia Nurshazira, 22, yang merupakan pelajar tahun 3 Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa dirinya sangat terkejut apabila melihat ular tersebut semasa memandu kereta miliknya dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman.


“Ketika mahu pulang ke kolej, saya melihat beberapa buah kereta berhenti di tepi jalan dan saya sangkakan ada construction berlaku lewat–lewat malam ni. Tapi lepas saya nampak ular tu, saya terus rasa panik dan terkaku dalam kereta saya.” – kata Nadia


Ular tersebut duduk secara pasif selama 20 minit di jalan raya berhadapan Kolej Rahim Kajai sebelum kedatangan anggota JPAM dan Wisma Aman.


“Syukur alhamdulillah beberapa minit kemudian anggota JPAM dan Wisma Aman datang untuk menyelesaikan perkara ini dan harap-harap haiwan liar macam ni tak masuk dalam kawasan persekitaran kolej kami” – kata Nadia.


Fais menyarankan kepada masyarakat untuk tidak berasa cemas apabila berhadapan dengan situasi seperti ini dan sentiasa menjaga persekitaran yang bersih untuk mengelakkan kedatangan haiwan seperti tikus, katak dan pelbagai lagi yang secara tidak langsung akan mengundang kedatangan ular.


“Kita harus segera menghubungi talian kecemasan 999 atau talian hotline yang lain untuk mendapatkan bantuan jika kita berhadapan dengan situasi macam ni. Yang penting, kita jangan cemas atau kelam kabut di hadapan spesis macam ni untuk mengelakkan serangan daripada mereka” - ujar Fais.


Ular sawa batik itu telah berjaya ditangkap dan diserahkan kepada anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sekitar 12:30 tengah malam tadi.


442 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page