Nadi Bangi
Kenali Apa Itu Cabin Fever Dan Cara Menanganinya
Oleh: Saeid Juwanda
Penyunting: Arif Zahran

Tahukah anda, dalam norma baharu bekerja dari rumah bagi membendung penyebaran wabak Covid-19, meluangkan masa yang berlebihan di rumah berkemungkinan besar mampu menjadi faktor kepada banyak rakyat Malaysia untuk memperolehi tabiat negatif baharu yang mungkin merupakan salah satu simptom masalah gangguan emosi yang tidak dikenali ramai?
Selain daripada pekerja perkhidmatan penting, rakyat Malaysia digalakkan melakukan segala kerja mereka secara atas talian tanpa meninggalkan rumah. Walaupun duduk di rumah merupakan langkah yang penting untuk mengurangkan penyebaran Covid-19, duduk di rumah terlalu lama juga boleh menyebabkan anda mengalami satu masalah gangguan emosi.
Secara dasar, masalah gangguan emosi ini tidak dikategorikan sebagai masalah kesihatan mental dan ianya bukanlah masalah yang kritikal. Tetapi, ia berkemungkinan untuk menjadi lebih parah. Apakah masalah gangguan emosi tersebut? Masalah tersebut dikenali sebagai cabin fever.
Menurut sebuah artikel di CNN, Vaile Wright, seorang ahli psikologi dan pengarah penyelidikan klinikal dan kualiti di Persatuan Psikologi Amerika mentafsirkan cabin fever sebagai bukan sejenis gangguan psikologi tetapi sebagai satu pemikiran yang melibatkan pelbagai emosi negatif dan tekanan yang berkaitan dengan pergerakan yang terhad.
Menurut Lisa Fritscher di dalam artikelnya pula, cabin fever merupakan satu fenomena yang dialami seseorang hasil daripada terkurung atau berada di tempat yang terpencil. Ia bukanlah sesuatu yang boleh ditentukan serta – merta tetapi boleh dikesan melalui beberapa simptom yang dialami.
Steven Gans, pakar psikiatri yang mengulas artikel tersebut menyokong bahawa tidak semua individu mengalami simptom yang sama tetapi apa yang kerap dilaporkan adalah mereka yang mengalaminya mempunyai peratus yang tinggi untuk merasakan perasaan gelisah dan mudah marah.

Perkara ini turut disokong oleh Adrienne Sng, Pengarah Perkhidmatan Klinikal Boy’s Town di dalam sebuah artikel di laman web rasmi agensi kerajaan Singapura, di mana dia menyatakan bahawa individu yang berbeza mungkin mengalami kombinasi simptom dan berada di tahap yang berbeza – beza bergantung kepada keperibadian, tabiat, dan kemampuan mereka mengatasinya.
Menurut pakar – pakar psikologi ini, antara simptom – simptom yang boleh dialami seseorang individu ketika mengalami cabin fever adalah kelesuan, kesedihan, kemurungan, masalah menumpukan perhatian, kurang sabar, penurunan motivasi, mudah berputus asa, sukar untuk bangun daripada tidur dan sentiasa mengidam makanan.
Kebiasaannya, jika seseorang individu mengalami lebih daripada dua simptom tersebut mereka sedang mengalami cabin fever. Walau bagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan, cabin fever bukanlah satu penyakit yang kronik dan boleh dirawat dengan beberapa cara yang mudah.
Sekiranya simptom yang dialami agak ringan, hanya dengan berfikiran positif seseorang itu mampu untuk memerangi masalah tersebut dan boleh merasakan penambahbaikan dari segi tingkah laku dan psikologi. Namun begitu, mereka yang mengalami simptom yang berat perlu melakukan rawatan secara fizikal melalui aktiviti – aktiviti harian.

Antara akviti tersebut adalah dengan bersenam. Berkurung di dalam rumah bukanlah alasan untuk berhenti bersenam. Malah, anda mungkin merasakan lebih senang untuk meluangkan masa untuk bersenam kerana tiada perkara lain yang boleh dilakukan di tempat awam berikutan prosedur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan.
Selain itu, cara mudah untuk merawat cabin fever adalah dengan melakukan aktiviti yang memberi stimulasi mental kepada diri sendiri. Memang tidak dapat disangkal bahawa televisyen mampu untuk bertindak sebagai alat untuk menghanyutkan diri daripada arus realiti. Akan tetapi, aktiviti – aktiviti yang tidak membenarkan anda untuk berfikir boleh memupuk perasaan bosan dan malas. Luangkan masa anda dengan melakukan aktiviti seperti membaca atau mempelajari sesuatu yang baharu.
Seterusnya, menjaga pemakanan yang optimum juga mampu untuk merawat cabin fever. Sebahagian besar daripada kita menggunakan alasan terperangkap di rumah untuk menjusitifikasikan cara pemakanan kurang sihat.
Sedarkah anda, bahawa makan berlebihan membuatkan kita lebih malas dan sentiasa letih? Menjaga cara pemakanan yang optimum mampu meningkatkan tahap motivasi dan tenaga kita di samping meningkatkan keyakinan diri.
Pada pendapat saya, cara yang paling berkesan bagi merawat cabin fever adalah dengan meneruskan dan meningkatkan hubungan sosial bersama ahli keluarga dan rakan – rakan. Terkurung di dalam rumah bukanlah penghalang untuk kita tidak mengekalkan hubungan dengan orang lain.
Bagi mereka yang duduk bersendirian, gunakan gajet dan kemudahan teknologi yang sedia ada untuk membuat panggilan video bagi memudahkan interaksi bersama mereka. Hubungan sosial yang aktif mampu mempengaruhi mood seseorang individu ke arah yang lebih positif.
Walaupun duduk di dalam rumah dan menjaga jarak sosial kelihatan bertentangan dengan naluri manusia untuk bersosial, ianya sangat penting untuk dipatuhi. Garis panduan yang ketat ketika wabak ini diambil untuk meminimumkan peningkatan kes virus COVID-19. Sekiranya kita mengabaikan cadangan ini, ia boleh menyebabkan peningkatan jumlah kes dan kematian.
Namun begitu, ini tidak bermakna kita perlu membahayakan kesihatan diri sendiri bagi mengejar matlamat tersebut. Kesihatan diri juga perlu dititikberatkan dan diberi perhatian kerana ia boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif terhadap diri kita apabila kita terlepas pandang dan mengasmbil mudah.